Isnin, 9 Mac 2015

Menderita tanggung hutang bekas suami

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 07/03/2015


SETIAP isteri mengimpikan seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan menjaganya sehingga ke akhir hayat. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan isteri hidup bahagia bersama suami dan keluarga masing-masing.

Namun ada juga yang ditinggalkan tanpa sebarang khabar, digantung tidak bertali dan terpaksa naik dan turun mahkamah syariah bagi mendapatkan kebebasan.

Ada juga yang dianiaya suami dengan bebanan hutang dan masalah yang tidak mudah hendak diselesaikan seperti mana yang dilalui oleh pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Faizah (bukan nama sebenar).

Kami bertemu dalam satu majlis. Perbualan hampir dua jam merungkai segala kekusutan yang terbuku di hati Faizah. Sebagai penulis, saya berpendapat cerita Faizah sangat menarik dan perlu dikongsi sebagai teladan.

Kita ikuti kisah Faizah

“Saya berusia awal 40-an, pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan dua orang cucu.

“Saya masih bekerja untuk menyara hidup di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang ibarat kata, cukup-cukup makan dan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya dan anak-anak.

“Kedua-dua anak saya yang sudah berkahwin mempunyai kehidupan mereka sendiri sekarang dan saya hanya menjaga anak bongsu saya yang kini sedang menuntut di universiti.

“Alhamdulillah, kedua-dua anak yang berkahwin juga tidak pernah melupakan saya sejak saya menjadi ibu tunggal tujuh tahun lalu.



“Saya bernikah dalam usia 23 tahun tetapi rumah tangga yang dibina tidak sebahagia pasangan lain. Suami bukan lelaki yang sesuai untuk dijadikan ketua keluarga dan imam dalam rumah tangga.

“Kehidupan saya sebagai isteri sangat perit, menjadi bahan maki hamun suami dan kadang-kadang ditinggalkan macam tunggul kayu. Tidak ada kasih sayang dan perhatian daripada suami.

“Akhirnya saya diceraikan setelah tiga tahun naik turun mahkamah. Alhamdulillah berkat kesabaran, saya kini semakin tenang, damai dan bahagia dengan cara hidup saya sendiri di samping anak-anak yang menjaga saya bagaikan menatang minyak penuh.

“Namun kebahagiaan saya itu tergugat apabila saya menerima sepucuk surat saman dari sebuah bank. Semuanya gara-gara bekas suami membuat pinjaman peribadi atas nama saya semasa kami masih hidup bersama.

“Biasalah masa sedang bahagia, apa sahaja permintaan suami, kita ikut kerana terlalu percaya dan sayangkan dia. Tambahan pula dia berjanji akan membayar ansuran bulanan dan hanya meminjam nama saya sahaja tetapi setelah kami bercerai, dia tidak pernah membayarnya.

“Rupa-rupanya lelaki yang saya harapkan dapat melindungi hidup saya adalah seorang putar alam, kaki belit dan tidak menjalankan tugasnya sebagai suami dengan baik termasuk tidak menunaikan janjinya untuk membayar ansuran pinjaman peribadi tersebut.

“Saya ingatkan setelah bercerai, saya akan tenang tetapi sayangnya tidak. Saya perlu menyelesaikan hutang ansuran pinjaman peribadi itu terlebih dahulu kerana ia atas nama saya.

“Ini bermakna sudah 15 tahun pinjaman itu tidak berbayar walaupun saya telah memberi alamat penuh rumah dan majikan tempat bekas suami bekerja kepada pihak bank terbabit.

“Jika diikutkan perjanjian dengan bank, pinjaman itu sepatutnya sudah selesai dibayar. Saya mengaku di peringkat awal, saya kerap mendapat panggilan dari bank menyuruh saya menjelaskan pinjaman itu, sedangkan satu sen pun saya tidak mengambil wang pinjaman tersebut.

“Saya juga telah berusaha banyak kali menghubungi bekas suami, sayangnya semua talian yang digunakannya tidak boleh digunakan lagi. Saya juga menghubungi kawan-kawan bekas suami yang masih ada tetapi mereka juga sudah lama tidak bertemu dengannya.

“Akhirnya saya berhenti mencari kerana tidak tahu lagi di mana hendak mencarinya. Kedatangan surat saman itu tentunya memeningkan kepala saya, manalah saya mampu untuk membayar hutang sebanyak itu, sedangkan gaji saya hanya cukup untuk menyara hidup saya.

“Kenapa bekas suami tergamak melakukan semua ini kepada saya? Itulah persoalan yang bermain di fikiran saya. Sedangkan dia telah berjanji akan membayar pinjaman tersebut, tidak kira apa yang berlaku.

“Kini saya dalam dilema, tidak tahu ke mana hendak mengadu. Keluarga juga tentu tidak mahu terlibat kerana perkahwinan saya dahulu mereka tidak restui. Perkara sudah terjadi, mahu tidak mahu saya harus hadapi.

“Nak minta tolong anak-anak, mereka juga bukan orang berada, tambahan pula cucu-cucu saya masih kecil. Saya amat kesal dengan sikap bekas suami dan berdoa agar Allah buka pintu hatinya untuk tampil memikul tanggungjawab tersebut.

“Di saat saya sedang terumbang-ambing dan susah hati, kawan-kawan rapat sedia berkongsi masalah saya dan membantu membawa saya mendapatkan nasihat daripada beberapa pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya dibawa menemui pihak bank untuk berbincang dan menyelesaikan hutang pinjaman saya itu. Alhamdulillah mereka memberi budi bicara untuk saya membayarnya setakat yang termampu.

“Kini saya mula membayarnya mengikut kemampuan saya. Anak-anak saya yang sudah bekerja berjanji akan membantu saya. Mereka juga kini sedang berusaha mencari ayah mereka dengan apa cara sekalipun.

“Saya berharap segala urusan untuk menyelesaikan perkara itu dipermudahkan oleh Allah. Pada masa yang sama, saya menasihati wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah dalam rumah tangga supaya berhati-hati apabila suami memujuk untuk membuat pinjaman atau apa sahaja yang berkaitan dengannya.

“Tengok dan baca sebarang dokumen yang diberi kepada anda agar tidak tertipu. Jangan percaya bulat-bulat, bimbang akan terjadi seperti saya. Kini, saya hanya gigit jari dan menyesal tidak sudah.

“Tapi saya bertekad akan berusaha menyelesaikan kes ini dengan cara yang terbaik agar hidup saya tidak lagi dibebani dengan ingatan terhadap hutang ini.

“Seperkara lagi, kepada generasi muda yang ingin mendirikan rumah tangga, carilah calon suami yang boleh dipercayai, ada latar belakang agama dan telus dalam perhubungan. Sebaik-baiknya selidik dahulu bakal suami sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama.

“Saya berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan saya untuk menyelesaikan masalah ini. Jika bekas suami terbaca catatan ini, saya minta dia bertaubat dan tampil menyelesaikan masalah ini secara telus.

“Jika pun terlepas di dunia, di akhirat akan dituntut, anda telah menganiaya seorang wanita yang menjadi ibu kepada anak-anak anda, yang telah bersusah payah mendidik dan membesarkan mereka,” begitu Faizah menamatkan ceritanya.

Terkedu saya seketika dengan cerita Faizah. Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepadanya, tetapi saya pasti Faizah, seorang yang tabah dan kuat semangat.

Saya juga berharap Faizah akan menyelesaikan segala masalah ini mengikut saluran undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Jangan ikut perasaan.

Saya doakan Faizah akan diberi perlindungan dan dirahmati Allah serta diberi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Mengakhiri catatan, pesanan saya, ujian yang datang adalah cabaran untuk menguji kesabaran dan ketabahan. Walau perit pasti ada jalan keluarnya!

Salam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman