Isnin, 9 Mac 2015

Minta isteri simpan gaji demi zuriat

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 01/02/2015


Saya berkahwin pada pertengahan 2014 dan bakal bergelar bapa sedikit masa lagi. Saya dan isteri bekerja tetapi tidak berpendapatan tinggi. Masalah yang saya hadapi sekarang, setiap bulan isteri memberi duit kepada ibu, bapa dan adiknya serta menanggung perbelanjaan keluarganya sehingga dia sendiri tidak ada duit perbelanjaan.

Apabila melihat isteri tidak ada duit perbelanjaan, saya memberi sedikit wang kepadanya sedangkan gaji saya hanya cukup makan. Boleh dikatakan setiap bulan saya meminjam wang daripada kawan untuk perbelanjaan.

Sepanjang perkahwinan, kami langsung tiada duit simpanan. Oleh kerana risaukan masa depan, saya meminta isteri menghentikan pemberian wang kepada keluarga, sebaliknya disimpan untuk kegunaan zuriat yang bakal lahir.

Untuk pengetahuan ustaz, saya dan isteri tingggal di rumah ibu saya dan setiap hujung minggu kami balik ke rumah ibu isteri.

Isteri adalah anak sulung manakala adik lelaki kedua tidak bekerja, jadi saya berpendapat tanggungjawab menjaga keluarga harus dipikul bapa mentua dan adik ipar sendiri, malangnya isteri enggan mendengar nasihat saya.

Mohon ustaz memberi nasihat kerana saya tidak mahu isteri menjadi derhaka. Tindakan ini bukan untuk kesenangan sendiri, sebaliknya kebahagiaan keluarga dan anak yang bakal lahir.

HAMBA ALLAH
Pulau Pinang


Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua sama ada ibu bapa sendiri atau mentua adalah arahan Allah SWT. Sebagaimana maksud firman-Nya: "...dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada ibu bapa, ibunya mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan susah payah.

"Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai pering-kat dewasa yang sempurna kekuatannya." (surah al-Ahqaf, ayat 15)

Suami adalah ketua keluarga. Sebagai ketua, dia hendaklah mempunyai ilmu dan tidak seharusnya hanya pandai memerintah dan mengarah. Ia perlukan kemahiran bermesyuarat, berbincang, bertanggungjawab, amanah, tegas, sabar dan bertolak-ansur.

Tanggungjawab menjaga keluarga terletak kepada mereka yang berkemampuan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT dari segi kesihatan, ilmu dan harta. Keluarga mentua juga seperti keluarga sendiri.

Oleh itu jangan dicampur adukkan hukum dengan kewajipan membantu keluarga, hak suami isteri, sumber rezeki, isteri bekerja, membiayai mentua, simpanan masa depan, bantu ahli keluarga yang tidak bekerja dan lain-lain lagi.

Semua perkara yang disebutkan ini mempunyai hukum dan kaedah yang tersendiri. Teruskan mencari ilmu menguruskan rumah tangga yang dipanggil 'husnul muasyarah' iaitu baik pergaulan dengan ahli keluarga. Semoga saudara terus mencari ilmu dan diberikan rezeki luas serta keluarga berkat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman