Isnin, 2 Mac 2015

Memantapkan sistem sokongan keluarga

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 20/02/2015



ANAK-ANAK akan menjadi mangsa keadaan setiap kali berlaku krisis dalam rumah tangga. – Gambar hiasan


SAIZ keluarga semakin mengecil dewasa ini apabila statistik menunjukkan keluarga nukleus bertambah manakala bilangan keluarga jauh dan besar mengecil.

Situasi itu memberi kesan yang besar kepada sistem sokongan keluarga apabila anak-anak kecil tidak mendapat tunjuk ajar daripada keluarga terdekat seperti nenek dan datuk atau saudara-mara.

Orang tua pula menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan kewangan dan fizikal apabila mereka sudah mencapai usia emas.

Tidak hairanlah apabila China mewujudkan undang-undang tertentu bagi memaksa anak-anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua di negara itu.

Walaupun langkah itu mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak, undang-undang tersebut dilihat boleh menyelesaikan masalah sementara di negara yang menghadapi isu penduduk selepas mengamalkan konsep one child policy itu.

Kajian literatur menunjukkan bahawa masalah yang berkaitan dengan penuaan boleh diselesaikan dengan kembali kepada sistem keluarga besar. Kajian itu merupakan maklumat yang diperoleh daripada jurnal, buku, dokumen dan tesis untuk sesuatu penyelidikan baharu.


Kaedah mediasi

Di Singapura contohnya, tribunal khas diwujudkan untuk memberi ruang kepada ibu bapa yang berusia mendapat sokongan kewangan dengan mengguna pakai kaedah mediasi.

Kaedah tersebut dijadikan sebagai mekanisma utama untuk mencapai kata sepakat antara anak-anak dan ibu bapa. Mekanisma itu menekankan kepada tanggungjawab anak-anak dalam memelihara orang tua mereka selain menjaga adat dan nilai ketimuran serta tuntutan agama dalam menjaga ibu bapa yang telah tua.

Antara perkara yang menarik di Singapura ialah sistem kaunseling yang berkesan dalam menangani krisis rumah tangga.

Hal ini kerana Mahkamah Syariah di Singapura meletakkan matlamat untuk menyelamatkan rumah tangga sebagai salah satu fungsi mahkamah.

Disebabkan itu, sistem kaunseling yang kebiasaannya dibuat melalui perintah mahkamah berjaya menyelamatkan sebahagian besar pasangan daripada bercerai.

Sistem itu menjadi sebahagian daripada konsep mahkamah keluarga yang diamalkan di negara berkenaan dan beberapa negara yang lain.

Di negara maju seperti Australia, pusat hubungan keluarga yang ditubuhkan di merata tempat bertujuan untuk memberi kaunseling dan khidmat kepada anggota keluarga yang memerlukan khidmat nasihat.

Bagi pasangan yang ingin bercerai, mereka dijemput hadir untuk mendengar taklimat tentang tanggungjawab keibubapaan selepas bercerai.

Taklimat itu akan memberi pendedahan tentang undang-undang yang ada dan kesannya kepada mereka serta tanggungjawab terhadap anak-anak.

Dalam keadaan tertentu, video pendek mengenai kesan perceraian ditayangkan kepada pasangan yang ingin bercerai bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa perceraian bukanlah satu-satunya langkah penyelesaian yang ada.

Taklimat itu juga boleh membantu ibu bapa merancang pengurusan anak-anak selepas bercerai kerana peratusan keganasan rumah tangga di negara berkenaan agak tinggi.

Prosiding mahkamah

Sistem mahkamah keluarga dibantu oleh konsultan keluarga yang terdiri daripada pakar psikologi bagi membantu pasangan dalam prosiding mahkamah sama ada ianya berkaitan dengan proses perceraian atau proses penjagaan anak.

Sebagai negara yang mengamalkan child focused policy, apa-apa bentuk bantuan yang difikirkan perlu dalam membantu kanak-kanak bagi prosiding mahkamah boleh diperoleh termasuk menyediakan peguam khusus. Peguam tersebut bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan kanak-kanak berkenaan terjaga terutama dalam hal penjagaan kanak-kanak selepas ibu bapa bercerai.

Walaupun tidak semua perkara sesuai untuk dicontohi, sistem sokongan yang sesuai perlu diwujudkan dalam menghadapi ketenatan masalah sosial yang dihadapi pada hari ini. Peningkatan anak-anak yang hamil di luar nikah dan kanak-kanak yang berkahwin pada usia muda juga sangat memerlukan sokongan terutama daripada anggota keluarga untuk memberi khidmat nasihat dan sokongan moral kepada mereka.

Budaya yang memberi penekanan pada konsep menghukum hendaklah ditukar kepada memberi harapan dan membuang stigma yang tidak membantu perkembangan kanak-kanak terutama anak tidak sah taraf. Ia perlu menjadi satu kemestian dalam kalangan ibu bapa untuk menguasai ilmu keibubapaan terutama mendidik anak-anak pada abad ini.

Mempunyai undang-undang dan polisi yang baik sahaja tidak mencukupi dalam menghadapi masalah kekeluargaan pada hari ini. Penekanan hendaklah diberikan dalam bentuk pemulihan terutama perkembangan spiritual yang menjadi tunjang kepada akhlak yang baik. Perkara inilah yang menjadi tuntutan syariah dalam menjaga hubungan keluarga dengan menekankan tentang perlunya mendahulukan tunjuk ajar yang baik dan sentiasa bersifat ihsan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman