Tarikh : 11/03/2015
KUALA LUMPUR - Mahkamah Syariah perlu bertindak lebih tegas dan adil
dalam mengendalikan kes-kes berkaitan tuntutan nafkah, khususnya
melibatkan wanita yang telah bercerai dan mempunyai anak, demikian
menurut seorang penganalisis.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata,
antara kelemahan sistem Mahkamah Syariah pada hari ini ialah kes bekas
suami enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak pada
waktu dan kadar yang ditetapkan.
Katanya, mahkamah seharusnya boleh mengeluarkan arahan tindakan lanjut
kepada pihak majikan bekas suami untuk melakukan pemotongan gaji bagi
tujuan nafkah anak.
"Apakah tindakan Mahkamah Syariah sekiranya bekas suami gagal membayar
nafkah pada kadar sepatutnya atau tidak membayar secara konsisten?
Mengapa tiada kerjasama dan penyelarasan antara mahkamah syariah dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan majikan seperti Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) dalam perkara ini?
"Apabila ada penyelarasan antara ketiga-tiganya, JPA (dalam hal
melibatkan penjawat awam) boleh bertindak terus dengan membuat potongan
gaji bulanan bekas suami untuk diberikan kepada bekas isteri sebagai
nafkah (bekas isteri dan anak). PDRM pula perlu bertindak sekiranya
bekas isteri membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya
kepada Bernama.
Mengambil contoh kes tuntutan nafkah anak yang difailkan oleh pelakon
Rita Rudaini Mokhtar terhadap bekas suaminya Mohd Aidil Zafuan Abdul
Razak, Ahmad Martadha berkata, ia mengambil masa lama untuk diselesaikan
ekoran ketiadaan mekanisme penguatkuasaan yang jelas.
Pada 8 November 2012, Rita Rudaini, 39, memfailkan tuntutan nafkah
sebanyak RM5,392 sebulan untuk dua anak lelakinya, dan hanya melalui
keputusan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 26 Januari 2015,
Mohd Aidil Zafuan diperintahkan untuk membayar nafkah RM3,000 sebulan
untuk kedua-dua anaknya.
Ahmad Martadha berkata, penyelesaian isu tuntutan nafkah yang
berlarutan boleh dielakkan dengan keputusan tegas Mahkamah Syariah dan
pematuhan keputusan berkenaan.
"Jika ini dapat dilakukan nasib wanita-wanita bercerai yang diberikan
hak penjagaan anak akan lebih terbela dan tidak perlu 'turun naik
mahkamah'. Anak-anak juga dapat dijaga dengan baik dan hak serta
kebajikan mereka terjamin," katanya.
Beliau berkata, isu lain yang perlu diberi perhatian Mahkamah Syariah
ialah kes wanita yang ditinggalkan suami dan ingin menuntut cerai, turut
memakan masa untuk diselesaikan.
Katanya adalah tidak wajar bagi Mahkamah Syariah mengambil masa terlalu
lama bagi menyelesaikan sesebuah kes penceraian, lebih-lebih lagi
apabila seseorang wanita itu ingin berkahwin lain dan memulakan
kehidupan baru.
"Selain itu, isu penjagaan anak apabila ibu bapa sudah bercerai perlu
diberi perhatian serius. Apakah tindakah mahkamah dan PDRM dalam
menyelesaikan kes keengganan bekas suami menyerahkan hak jagaan anak
yang diperintahkan mahkamah kepada ibu?
"Apakah tindakan segera yang diambil sekiranya laporan polis dibuat
oleh si ibu? Justeru, keputusan yang jelas serta tindakan tegas wajar
bagi mengelakkan golongan bekas isteri dan ibu beranggapan Mahkamah
Syariah bertindak tidak adil terhadap mereka sekali gus membuatkan
mereka berasa ditindas," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan