Isnin, 2 Mac 2015

Hak jagaan dan lawatan anak

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 16/01/2015



UNDANG-UNDANG Keluarga Islam secara prinsip umumnya meletakkan keutamaan kepada ibu sebagai penjaga dan bapa mempunyai hak lawatan.

Tujuan perintah sedemikian bukan untuk membuat pembahagian atau pemisahan hak ibu atau bapa tetapi terma tersebut merujuk kepada keperluan anak tersebut berada di satu tempat yang selesa tanpa perlu berpindah-randah kerana perpindahan tempat tinggal boleh menjejaskan kebajikan anak tersebut.

Undang-undang hadanah adalah undang-undang yang berdasarkan kepada anggapan hak anak mendahului hak ibu atau bapa.

Dalam menentukan hak penjagaan, mahkamah mestilah mengambil kira siapakah yang paling layak antara kedua-duanya berdasarkan kepada keadaan anak tersebut.

Jika anak itu masih kecil, sudah tentu anak tersebut memerlukan ibunya jika ibu itu berkelayakan. Ini kerana tumpuan hak hadanah ialah kemampuan untuk memberi kasih sayang kepada anak itu, sekali gus membantu pembentukan emosi, mental dan psikologi.

Hak kanak-kanak

 
Bapa pula berperanan dalam memenuhi keperluan fizikal, disiplin dan keperluan kewangan sebagai penjaga hakiki. Jika tanggungjawab ini tidak ditunaikan, ia akan menjejaskan pembesaran anak tersebut terutama dari aspek disiplin anak-anak seperti yang biasa terjadi dalam keluarga yang berpecah belah jika tanggungjawab tersebut tidak dibantu oleh ahli keluarga terdekat yang lain.

Dari aspek amalannya, anggapan bahawa anak di bawah umur pasti diletakkan di bawah jagaan ibu adalah suatu anggapan yang lemah kerana mahkamah melihat kebajikan anak tersebut melebihi kepentingan lain. 
Walaupun secara amnya, hak jagaan anak bawah umur diletakkan di bawah jagaan ibu tetapi anak-anak lebih berhak mendapat seorang penjaga yang baik.

Oleh itu, dalam keadaan seorang isteri dan ibu mengabaikan tanggungjawab rumah tangganya dan gagal memberi perhatian serta kasih sayang secukupnya kepada anak-anaknya, hak jagaan boleh diberikan kepada bapa. Walaupun begitu, ibu berhak diberi hak lawatan.

Bagi kanak-kanak yang telah melepasi umur hadanah iaitu tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan, undang-undang memberikan hak kepada kanak-kanak tersebut untuk membuat pilihan sama ada untuk tinggal dengan ibu atau bapa.

Dalam keadaan seperti ini, mahkamah tetap memberi keutamaan kepada pilihan kanak-kanak melebihi hak penjaga, tanpa menghiraukan sama ada penjaga itu ibu ataupun bapa kerana tujuan mahkamah adalah menjaga kebajikan kanak-kanak.

Pilihan kanak-kanak kebiasaannya akan menjadi asas kepada perintah. Walaupun begitu, nafkah anak diwajibkan kepada pihak bapa. Pilihan tersebut mestilah dibuat secara berhemah kerana ditakuti anak tersebut membuat pilihan kerana kesukaan kepada kehidupan yang leka dan tidak memberi manfaat kepada kehidupannya.

Ulama juga memberi perhatian dalam perkara ini dengan memberi contoh iaitu jika pihak bapa lebih suka kepada kehidupan yang berfoya-foya dan ibunya menyuruhnya pergi ke sekolah, maka keutamaan hendaklah diberikan kepada pihak ibu.

Mekanisme untuk memastikan anak tersebut tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat keputusannya mestilah dibentuk, terutamanya dalam sistem mahkamah. Ini kerana ibu atau bapa mempunyai kecenderungan untuk mempengaruhi anak-anak (parental alienation syndrome) bagi memilih mereka sehingga keadaan ini menjejaskan kesukarelawan anak tersebut membuat pilihan.

Sulh

Penyelesaian secara sulh yang terdapat dalam sistem Mahkamah Syariah di negara ini adalah bentuk penyelesaian yang baik kerana ibu bapa digalakkan untuk berbincang dan seterusnya mencapai kata sepakat demi kebajikan anak mereka. Kes dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan menjimatkan kos dan masa.

Bagaimanapun, apa-apa bentuk penyelesaian melalui kaedah sulh juga hendaklah mengambil kira kebajikan kanak-kanak yang sudah tentu tidak dapat memberi pandangan dalam majlis tersebut.

Misalnya, persetujuan untuk memberikan hak jagaan anak yang masih kecil kepada bapa yang pada ketika itu memerlukan jagaan ibu tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah. Begitu juga apa-apa penyelesaian yang melibatkan kanak-kanak terpisah daripada adik-beradiknya yang lain juga adalah perkara yang patut dielakkan kerana ia memberi kesan negatif kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka sudah besar.

Secara umumnya, perkahwinan ibu yang mendapat hak jagaan anak akan terjejas jika beliau berkahwin semula dengan orang yang tidak mempunyai pertalian dengan anak tersebut atas anggapan bahawa ibu tersebut dikhuatiri lalai terhadap tanggungjawabnya. 

Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut: “Kamu mempunyai hak yang lebih terhadap anak tersebut selama mana kamu tidak berkahwin”.

Bagaimanapun, interpretasi yang tepat mengenai hadis tersebut tidak bermaksud ibu tersebut hilang hak tetapi hilang keutamaan. Jika tidak ada orang yang lebih utama untuk menjaga anak itu, maka ia berbalik kepada ibunya.

Undang-undang Keluarga Islam juga mempunyai peruntukan ini dengan pindaan bahawa hak tersebut tidak akan hilang jika kebajikan anak tidak terjejas. Bagaimanapun, terdapat kecenderungan mahkamah memakai peruntukan tersebut secara terus.

Seharusnya undang-undang hendaklah dipakai mengikut maqasidnya. Ini untuk mengelakkan berlakunya implikasi sosial yang tidak sihat, terutamanya jika pertelingkahan ibu bapa yang berpanjangan boleh menjejaskan kebajikan anak dan mengganggu pembesaran mereka. 

Undang-undang Syariah tidak melarang perceraian jika ia penyelesaian yang terbaik, bagaimanapun tanggungjawab ibu bapa adalah selama-lamanya selagi anak belum mencapai umur dewasa dan mampu berdikari.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman