Khamis, 5 Mac 2015

‘Saya mengandung, suami layan wanita lain’

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/02/2015

MASALAH rumah tangga yang berlaku dalam hidup pasangan suami isteri banyak disebabkan sikap curang pasangan masing-masing.

Hal sama berlaku kepada Mazni (bukan nama sebenar) yang berhadapan kecurangan suami tahap melampau.

Berikut kisah Mazni seperti dikongsikan bersama saya:

“Ini kali pertama saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama anda dengan harapan dapat menjadi iktibar semua.

“Biarkan saya perkenalkan diri. Nama saya Mazni, baru setahun lebih berkahwin dan sudah dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima bulan. Kehadiran bayi kecil ini membahagiakan saya.

“Suami yang dahulunya kaki perempuan kini telah berubah, mungkin teruja dengan kehadiran cahaya mata pertama kami. Bukan tujuan saya menceritakan keburukan suami tetapi apa yang saya ingin kongsi adalah bagaimana caranya kita menangani sikap suami yang suka berkawan dengan ramai perempuan.


“Yang penting kita mesti berani untuk menjaga hak kita supaya tidak dirampas wanita lain.

“Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka, percintaan kami terlalu singkat sehinggakan saya tidak pernah fikir bahawa kami akan bernikah begitu cepat. Tapi itulah jodoh yang telah Allah tentukan kepada saya.

“Dalam suka dan tidak suka, keluarga saya terpaksa menerima pilihan hati saya kerana tidak mahu saya bertindak di luar batasan.Sebelum berkahwin saya tahu suami seorang yang romeo, kaki perempuan dan suka enjoy.

“Malah beberapa hari sebelum kami diijabkabul, dia masih berjumpa seorang janda dan ramai lagi teman perempuannya di luar pengetahuan saya. Tapi saya tidak kisah sebab dia telah bersetuju untuk bernikah dengan saya. Saya yakin dia akan menjadi suami yang baik dan mampu menjaga saya hingga ke akhir hayat saya.

“Salah satu perkara yang harus saya terima adalah takdir, kerana takdir jugalah yang telah menyatukan saya dengan suami. Biar buruk macam mana perangai, dia tetap suami saya. Itu hakikat yang perlu saya terima.

“Saya yang pilih dia, saya harus akur dengan takdir yang telah disusun untuk saya. Di awal perkahwinan memang tiada masalah, kami sangat bahagia walaupun kadang-kadang ada perselisihan faham. Biasalah dalam rumah tangga mesti ada pro dan kontra.

“Selepas berkahwin saya lihat perangai suami berubah sama sekali, dia tidak seperti dahulu, dia banyak menghabiskan masa bersama saya jika tidak bekerja. Saya bersyukur dan terus berdoa agar dia akan terus berubah.

“Setelah empat bulan menjadi suami isteri, saya disahkan mengandung tiga bulan. Gembiranya hati saya Allah sahaja yang tahu, macam-macam ujian yang saya terima selepas mengandung. Kerenah suami mula mengganggu bahagia kami.

“Masuk enam bulan usia perkahwinan, perang besar berlaku. Saya terpaksa membuat laporan polis kerana dipukul oleh suami dan bertindak lari meninggalkan rumah. Dengan tiba-tiba suami menjadi panas baran dan bertindak di luar batas kemanusiaan.

“Bayangkan sepanjang saya keluar dari rumah tidak pernah sekalipun suami datang memujuk atau menghubungi saya, malahan duit belanja pun tidak diberi padahal ketika itu saya sedang mengandung. Saya macam orang bodoh menunggu dia datang memujuk. Silap saya juga keluar dari rumah tetapi tindakan saya adalah untuk menyelamatkan diri saya.

“Mujurlah keluarga memberi sokongan kuat kepada saya agar terus bersabar. Seperti yang saya bimbangkan, suami kembali ke perangai asalnya dan berlaku curang kepada saya. Dia sering bertukar perempuan, dan tidak pernah mengambil tahu tentang kesihatan saya.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, sakitnya hati, luluhnya jiwa saya rasa apabila mengenangkan dia melayan perempuan lain sedangkan saya terabai dengan anak dalam perut yang sedang membesar.

“Pada masa sama, yang saya harapkan perkahwinan kami tidak akan berakhir dan saya berdoa agar suami akan kembali ke pangkal jalan. Saya buat solat tahjud dan hajat, minta Allah lembutkan hatinya, tetapkan imannya.

“Saya tidak mahu anak saya lahir tanpa melihat ayahnya. Saya mahu menyelamatkan rumah tangga saya. Sokongan keluarga terus menjadi kekuatan saya. Akhirnya saya mendapat petunjuk dari Allah SWT. Saya merendah diri dengan pergi melutut kepada suami untuk mencari penyelesaian. Semuanya kerana kasih dan cinta saya kepadanya.

“Saat itu, saya merasakan maruah saya terlalu rendah seperti dipijak-pijak tetapi apakan daya, atas nama isteri dan demi masa depan anak di dalam perut, saya reda. Hilang malu saya, hilang segala-galanya yang ada pada seorang wanita. Tapi saya puas.

“Saya tidak sanggup memikul gelaran janda dalam usia yang muda dan mengambil keputusan mengalah kerana saya yakin, rumah tangga kami masih boleh diselamatkan jika saya berbuat demikian. Ibu bapa saya juga menasihati saya supaya mengalah dan pulang ke pangkuannya.

“Sayangnya tidak ada respons daripada suami. Dia seperti tidak kisah dengan rayuan dan tangisan saya. Malah saya dimalukan di hadapan keluarganya dan dipaksa meminta maaf kepada mereka dengan alasan saya yang lari keluar rumah, bukan dihalau.

“Soal maruah jangan dipersoalkan lagi, saya tidak ada kuasa dan kekuatan untuk melanggar arahan suami ketika itu. Apa yang membuatkan saya kesal di sini keluarga suami seolah-olah menyalahkan saya seorang dalam masalah kami ini tanpa mengetahui perangai buruk anak mereka. Dengan linangan air mata, saya ikut kehendak suami. Saya buat seperti yang dia mahu.

“Alhamdullilah ada juga hikmah di sebalik segala yang berlaku. Selepas semua ini terjadi kami lebih memahami antara satu sama lain. Suami lebih terbuka dengan saya, tidak lagi kasar dan melayan saya seperti pasangan yang baru bernikah. Sekali gus menjadikan saya sangat bahagia menanti kelahiran anak sulung kami.

“Ujian untuk saya tidak berakhir di situ. Ketika saya menuggu saat untuk bersalin saya dikejutkan dengan berita suami saya pernah mengadakan hubungan sulit bersama seorang teman baik saya.

“Sekali lagi saya tersentak dan makan hati. Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya, antara sedar dengan tidak, air mata saya bercucuran ke pipi. Sampai bila harus saya tanggung semua ini?

“Saya meminta suami memberi penjelasan tentang perkara tersebut. Dia mengaku tentang dakwaan itu dan memberitahu kejadian itu berlaku semasa kami sedang bercinta.

“Sejak itu, saya tidak pernah mempercayai suami saya walaupun hanya satu peratus, malahan alasannya yang mengatakan sudah ada anak untuk tidak mahu mengulangi perkara yang sama sudah basi bagi saya. Saya hanya tersenyum setiap kali dia ucapkan kata-kata tersebut.

“Sebabnya saya tahu, bila-bila masa dia boleh melakukan apa yang dia mahu terutama bab perempuan. Apa pun saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Sebagai manusia biasa tahap kesabaran seseorang itu ada hadnya. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya banyak lagi peristiwa pahit yang saya alami tapi cukuplah sekadar ini sahaja yang dapat saya kongsikan.

“Yang lain biar saya simpan di hati sebab pada saya setiap masalah rumah tangga perlu diselesaikan oleh tuan empunya diri sahaja. Orang lain tidak boleh campur. Buruk baik suami kita kena reda selagi kita boleh bertahan dan hidup bersamanya.

‘’Tapi macam saya katakan, tahap kesabaran saya sebagai manusia khasnya isteri juga ada batasnya, kalau sudah meletup tidak ada gunanya lagi. Saya juga tidak pernah lupa untuk terus berdoa agar satu hari nanti suami saya benar-benar bertaubat dan berubah. Saya yakin akan sampai masanya nanti dia akan berubah.

“Kepada mertua, jangan lihat kebaikan anak sahaja dan menyalahkan menantu. Dengar cerita kedua-dua pihak dan sentiasa tegur dan nasihatkan anak.

“Saya harap para suami dapat berfikir dengan matang sebagai lelaki, suami dan bapa. Jangan ambil mudah masalah rumah tangga. Belajar untuk menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab. Jangan hanya pandai bernikah tetapi tanggungjawab dan fungsi sebagai suami dan bapa tidak dilaksanakan. Ingat di dunia mungkin anda semua terlepas, tapi di akhirat... ganjaran Allah pasti menanti!’’ Mazni menutup ceritanya.

Syabas dan tahniah saya kepada Mazni yang berani memperjuangkan hak dan mempertahankan kedudukannya sebagai isteri. Kekuatan dan semangat inilah yang harus ada pada semua wanita yang bergelar isteri, bukan merintih dan menangis.

Menutup kata istimewa buat Mazni, perubahan daripada lemah kepada kuat adalah pertarungan yang panjang, tapi itulah perjuangan sejati. Kerana di antara waktu-waktu itu ada bahagia yang menunggumu!

Salam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman