Gambar hiasan
Oleh : NOR KHALILAH GUSTI HASSAN & WAN AMALIA WAN MOHD DAUD
Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 08/02/2015
“BAHANA bersuamikan seorang penagih dadah, akibatnya kekadang tak tercapai dek akal fikiran. Memang tidak waras!” Tegas Rasya sewaktu saya menemuinya baru-baru ini. Intonasinya tegas, penuh penyesalan dan kemarahan.
Rasya (bukan nama sebenar) tidak sekali pun terfikir bahawa keterbukaannya menerima suami yang dikatakan sudah insaf daripada menjadi penagih itu telah menjerat dirinya sendiri. Dia bukan sekadar menjadi hamba seks dan wang suaminya, malah menjadi punching bag suami sendiri sekiranya keinginan tak dipenuhi.
“Hati ikhlas terima dia. Terima kisah silamnya. Konon sebab cinta. Sebab dia dah berubah dan mahu jadi suami yang baik. Tapi hakikatnya itu kebodohan saya. Bodoh sebab cinta...” Sambung Rasya lagi. Kali ini nadanya mendatar, lebih menyerah. Ada air mata mengalir di pipi mulus milik Rasya. Saya memegang bahunya. Sebagai orang luar, saya hanya mampu mendengar, memberikannya bahu untuk bersandar dan meluahkan derita hati yang berolak dan berputar.
“Sepatutnya selepas dia mengaku bekas penagih dadah dulu, saya kena undur diri dan batalkan rancangan perkahwinan. Saya masih belum terlambat. Tapi entah kenapa saya jadi bodoh. Saya abaikan semua ciri-ciri penting seorang suami tanpa fikirkan kesan hari ini. Sungguh menyesal. Sampai mati pun saya akan kesal...”
Rasya, seorang wanita berusia lewat 20 an kini terpaksa menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta bagi menangani masalah tekanan yang teruk atau depressi. Rasya jadi begitu selepas dipaksa untuk turut sama-sama mengambil dadah oleh bekas suaminya dalam tempoh yang lama; lebih-lebih lagi ketika mahu menjalinkan hubungan intim.
Wanita tersebut, yang saya namakan Rasya di kolum ini pernah dirawat di hospital di Kuala Lumpur dan kemudiannya dibawa pulang oleh keluarganya ke negeri Pantai Timur untuk menjalani rawatan alternatif. Dia juga pernah mengalami kemurungan setelah bercerai dengan suami atas campur tangan keluarga yang menyedari perubahan drastik terhadap tubuh dan personaliti Rasya.
Itu kisah Rasya; yang boleh dikategorikan sebagai wanita bernasib baik meski pun terpaksa melalui tempoh tragik sepanjang bergelar isteri dengan seorang bekas penagih dadah yang kemudiannya menjadi penagih semula.
Ramai lagi wanita, dan banyak lagi kisah wanita yang tidak terungkap di luar sana. Barangkali masih belum terbela nasibnya atau masih belum terfikir kesudahan kisahnya dek kerana dihimpit dengan pelbagai faktor dan situasi lain.
Rasya diselamatkan keluarga. Masih terlihat cerah masa hadapannya kerana keluarganya mengambil berat. Ada ekonomi dan kewangan kukuh untuk membantu memulihkan semangat dan jati diri Rasya. Tapi bagaimana dengan wanita lain yang tidak berkemampuan seperti keluarga Rasya? Semoga ALLAH SWT melindungi semua wanita yang tidak berdaya.
WOW kali ini bersiaran membawakan isu “Bahana suami penagih dadah” untuk dibincangkan bersama. Kisah-kisah seperti Rasya diharapkan menjadi pedoman dan panduan kepada para wanita termasuk remaja dalam memilih pasangan hidup. Kami juga menghidangkan pandangan ugamawan, kaunselor dan pakar dalam memberikan pandangan terhadap isu ini. Sama-sama kita mengambil iktibar dan memandang perkongsian ini daripada sudut pandang yang positif.
Sara suami, bawa berubat
Kami pernah bercerai hampir tiga tahun sebelum saya ambil keputusan untuk bersamanya semula. Sepanjang perkahwinan, suami selalu mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Akibat ketagihan dadah dia selalu leka dan menghabiskan duit gajinya membeli najis itu. Saya mengetahui mengenai tabiat buruk suami selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga. Itu pun selepas balik ke kampung suami dan mendengar cakap orang kampung.
Pada asalnya suami menafikan sikap buruknya itu dan memberi alasan ia perangai lama dan dia telah berubah. Tetapi lama-kelamaan dia tidak mampu menyembunyikan tabiat buruknya setelah wangnya selalu tidak cukup. Saya memberinya amaran untuk berubah dan dia berjanji akan mencari jalan penyelesaian. Sayalah yang membawanya ke pusat pemulihan dan meninggalkannya di situ untuk suatu tempoh yang lama. Sepanjang tempoh itu saya perlu bekerja. Memang tertekan. Saya terpaksa berpindah ke kampung saya kerana tidak mampu lagi meneruskan kehidupan di bandar. Dalam masa sama saya perlu berulang-alik melawat suami.
Setelah suami keluar dari pusat pemulihan, anak-anak tak mahu dengan dia. Ketika itu anak-anak berumur enam tahun dan 13 tahun. Pada penghujung November 2011 saya ambil keputusan untuk bercerai keraana saya sudah biasa hidup susah seorang diri. Tambahan pula anak-anak sudah besar dan tidak mahu dengan dia. Anak-anak juga mungkin sudah biasa hidup tanpa bapa.
Selama empat belas tahun kami berkahwin, kami tidak pernah ada masalah lain. Hanya kewangan dan sikap buruk penagihan dadah suami. Terus-terang, tekanan perasaan yang saya lalui amat hebat. Tiga bulan pertama selepas penceraian saya selalu bermurung. Berpisah badan, atau berjauhan tidak mendera perasaan saya seperti mana apa yang saya rasa setelah bercerai.
Suami bersungguh-sungguh menangis dan merayu di hadapan saya buat saya simpati dan tersedar akan ujian dan musibah ke atas perkahwinan kami. Akhirnya hati saya lembut untuk menerimanya semula. Sebelum habis edah, kami bersatu semula.
Kini, suami telah 100 peratus meninggalkan perangai buruknya. Dia juga sedar najis dadah membawa kepada perpisahan kami. Sebagai isteri, saya sedaya upaya membantu untuk memulihkan semangatnya. Saya masih membantunya menjalani pemulihan di pusat-pusat rawatan alternatif dan kaunseling.
Anak-anak telah besar jadi tiada masalah untuk saya meluangkan lebih masa menemani suami. Harapan saya agar masa depan kami lebih cerah di masa hadapan. Alhamdulillah hikmah kejadian itu suami berubah jadi lebih bertanggungjawab. - Sue, 39, Pegawai pentadbiran
Suami dipenjarakan kerana dadah
Najis dadah adalah punca segala-galanya. Kerana dadah suami jadi lupa siapa dirinya. Dia ditangkap dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengedar dadah. Ketika itu, anak sulung kami baru berumur lapan bulan. Hati saya bagai disiat-siat sebaik mengetahui suami sebenarnya seorang tokan dadah.
Selama perkahwinan, memang saya banyak makan hati dengan suami. Tetapi sebagai isteri yang tiada pendapatan sendiri, saya terpaksa menelan segala kepahitan. Suami banyak duit. Duit menjadikan dia gelap mata dan ego. Dia kaki perempuan dan paling tidak tahan dia kaki pukul.
Suami saya seorang yang panas baran. Bila dah pukul dia akan minta maaf. Kami selalu bergaduh depan anak dan bila saya menjawab memang teruk saya dipukulnya sehingga saya terpaksa menghantar anak kepada orang tua di kampung. Suami tumbuk saya seperti saya ini alat permainan yang tiada deria rasa.
Suami saya jenis yang suka buat dulu. Pukul sesungguh hatinya dan selepas itu bila rasa bersalah dia akan minta maaf. Kami dah beberapa kali nak bercerai tapi memikirkan saya tidak bekerja dan anak perlukan bapa, saya tidak jadi bercerai sehinggalah dia ditangkap dan didakwa mengedar dadah. Dalam tempoh berulang alik ke mahkamah, pertuduhan suami dipinda daripada mengedar kepada memiliki dadah dan dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan sebatan.
Hati saya remuk-redam. Perkara yang paling saya takutkan adalah tinggal berseorangan bersama-sama anak. Saya terlalu muda ketika itu, iaitu 20 tahun. Tetapi apakan daya, ia jadi titik tolak perubahan dalam hidup saya. Menjadi isterinya pun saya tidak bahagia. Saya akhirnya memfailkan penceraian dan memulakan hidup baru. Sudah lebih 20 tahun kenangan pahit itu berlalu. Anak sulung saya dengan bekas suami pun bakal menamatkan pengajian ijazah di sebuah universiti awam di Selangor tahun ini.
Saya kasihankan anak kerana emosinya sering terganggu dengan ejekan rakan-rakan sekampung yang mengetahui mengenai bapanya. Sehingga saya tidak lagi balik ke kampung sebelah mentua untuk menjaga hati dan perasaan anak sulung.
Saya kini telah mendirikan rumah tangga dengan suami baru dan memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinan ini. Saya ingin melupakan segala kenangan silam. Selepas dibebaskan dari penjara, bekas suami ada mencari saya dan ingin merujuk semula tetapi ketika itu saya sudah tiada perasaan terhadapnya. Saya dengar sekarang dia masih dengan tabiat lamanya menagih dadah walau pun telah mendirikan rumah tangga buat kali kedua. Tanggungjawab saya kini hanya untuk memastikan keluarga baru saya, anak-anak dan suami hidup sejahtera. Paling saya tidak mahu adalah tumpuan anak sulung terhadap pelajaran terjejas. Pesan saya kepada para wanita di luar sana, berhati-hatilah dalam memilih pasangan. Bahana dadah itu mungkin tidak berat terhadap kita tapi apabila terjadi kepada anak-anak, kita akan menyesal seumur hidup. - Zuraida, 45, Suri rumah
Kantoi hisap dadah dalam tandas
Kisah saya terelalu pedih untuk diimbau namun untuk peringatan dan pengajaran bersama, saya kongsikan apa yang berlaku sepanjang perkahwinan. Bagi saya selama mana pun suami cuba menyembunyikan perangai buruknya, ia tak akan selama-lamanya tersimpan. Suatu hari kebenaran akan terbukti juga.
Suami saya seorang yang panas baran dan tidak bertanggungjawab. Saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengannya apabila dia kerap berada dalam tandas. Waktu masuk tandas juga seperti telah ditetapkan. Sehari tiga kali iaitu pagi antara jam 10 dan 11 kemudian tengah hari dan petang jam 4. Saya perhatikan dia akan masuk tandas dalam tempoh yang lama dan setelah keluar, dia seperti selesema dan mengesat hidung menggunakan tapak tangan. Sikapnya itu sama seperti yang kita lihat dalam filem-filem yang menunjukkan ciri-ciri penagih dadah.
Saya pernah bertanyakan suami perkara itu dan akibatnya saya dipukul dan ditumbuk sampai lebam-lebam. Saya mula mengesyaki ada yang tidak kena dengan suami. Sewaktu saya mengandung anak pertama kami, perangai suami semakin menjadi-jadi. Sudahlah duit gajinya habis dijoli dengan kawan-kawan dan membeli dadah, dia memaksa pula saya menyerahkan duit gaji saya.
Suami pernah datang ke tempat kerja saya untuk meminta RM200. Alasannya mahu keluar bersama kawan-kawan. Saya syak dia mahu membeli dadah. Saya enggan berikan duit padanya dan kerana kehendakknya tak dipenuhi, saya dipukul sehingga saya jatuh dari kerusi. Sakit pinggang saya ketika itu hanya ALLAH yang tahu. Suami meninggalkan saya tanpa rasa bersalah mahupun simpati. Saya tertekan kerana dia selalu peras ugut duit saya.
Setelah saya bersalin, saya ditempatkan di rumah adik suami untuk berpantang. Adik iparlah yang menjaga saya siang malam tanpa jemu kerana kasihankan saya. Suami balik ke kampung dengan alasan mahu menjauhkan diri dari saya kerana dia penagih dadah.
Walaupun pelik saya biarkan sahaja kerana kalau didesak bimbang akan jadi pergaduhan. Suatu hari, beberapa orang bangsa asing datang ke rumah adik ipar saya mencari suami. Berdasarkan luaran dan lenggok bahasa saya tahu mereka geng Ah Long.
Rupa-rupanya suami meminjam duit Ah Long untuk membeli dadah dan bermain nombor ekor. Padanlah dia tidak mahu duduk dengan saya di rumah adik ipar dan balik ke kampung. Rupanya dia takut dicari Ah Long.
Ketika itu saya diugut bunuh oleh Ah Long sekiranya mereka tidak jumpa suami saya. Saya dijadikan galang ganti dalam urusan pinjaman suami dengan Ah Long tersebut. Betapa hancurnya hati saya ketika itu. Disebabkan takut, saya menghubungi keluarga dan dibawa tinggal dengan abang. Selepas habis berpantang saya memfailkan cerai taklik kerana tidak mahu lagi terlibat dalam masalahnya.
Selepas dia ceraikan saya dia ditangkap dan dipenjarakan. Kini dia telah dibebaskan dan dia langsung tidak memberikan apa-apa nafkah terhadap saya sehingga hari ini. Sehingga hari ini walau pun telah lima tahun kami bercerai bekas suami saya tidak berani menjejakkan diri ke Selangor kerana hutangnya dengan Ah Long masih belum langsai. Semua ini sebab dadah. Dadah merosakkan akal dan fikiran bekas suami saya. Dia menghisap dadah sejak remaja dan sejak belum bertemu dengan saya.
Bermula dengan menghidu gam sampailah kepada menagih dadah. Dia cakap, dia dah tak mampu nak berhenti sebab ia dah terlalu lama. Giannya itu sampai tahap hisap sampai berdarah hidung.
Ketika bercinta karektor suami seorang yang sangat baik dan kelihatan sempurna di mata saya. Soal kewangan pun dia stabil dan tidak menunjukkan tanda-tanda seorang penagih dan penjual dadah. - Nor Hayati, 30, Kakitangan swasta
Tiada ulasan:
Catat Ulasan