Isnin, 31 Mac 2014

Nurul Izzah, suami diperintah lantik Jawatankuasa Pendamai

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 12/03/2014


KUALA LUMPUR 11 Mac - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik segera wakil Jawatankuasa Pendamai dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie, Ab. Malek Awang menetapkan 1 April ini bagi kedua-dua pihak membawa wakil masing-masing selepas gagal berbuat demikian pada prosiding hari ini.

''Kalau nak teruskan lagi kes ini, sila bawa wakil, asyik tertangguh saja,'' tegur Ab. Malek selepas kes itu sudah tiga kali ditangguhkan.

Peguam syarie, Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah selaku plaintif pula tiada sebarang bantahan.

Terdahulu, peguam syarie, Zulkifli Che Yong memaklumkan, beliau baru dilantik bagi mewakili defendan, Raja Ahmad Shahrir dan memohon satu tarikh sebutan lain bagi membawa wakil Jawatankuasa Pendamai.

Nurul Izzah dan suaminya tidak hadir di mahkamah hari ini kerana diberitahu mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan.



Pada 18 Februari lalu, Normawaddah memaklumkan pihak media, kes berkenaan yang disebut di dalam kamar hakim telah ditangguhkan sehingga hari ini kerana anak guamnya ingin berbincang dan menyelesaikan kes cerai tersebut secara baik dengan suaminya.

Nurul Izzah, 34, anak sulung kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir, 35, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Pasangan itu yang berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara, dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman