Sabtu, 4 April 2015

18 tahun dipukul suami

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 31/03/2015
Oleh : NURSYAMIMI SAIDI

Hentikan keganasan terhadap wanita

Lapan belas tahun dipukul suami, Ema (bukan nama sebenar) sendiri sukar percaya dia mampu bertahan selama itu sebelum mengambil keputusan untuk berlindung di Rumah Perlindungan Wanita di bawah kelolaan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Di sebalik kekuatan dan semangat yang ditonjolkan semasa sesi perkongsian cerita bersama mangsa keganasan rumah tangga anjuran WAO dan Dulux bersama baru-baru ini, membongkar satu pengalaman pahit yang tidak akan dia lupakan sampai bila-bila.

Sebagai orang wanita Islam, apabila dituduh menjual diri merupakan satu penghinaan yang cukup menyedihkan apatah lagi apabila tuduhan tersebut datang daripada suami sendiri melakukan, bagaikan tiada pegangan agama.

Lebih teruk apabila orang sekeliling turut percara dan mula memandang negatif sedangkan tuan empunya badan yang dituduh tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk tersebut, sebaliknya bersusah payah mencari rezeki halal di sebuah firma guaman.

“Saya berusaha keluar dari ‘cengkaman penyeksaan’ suami sendiri kerana tidak tahan menderita mental dan fizikal. Saya merasakan tuduhan yang dilemparkan kepada saya itu lebih menyakitkan berbanding dipukul. Pernah sampai terfikir untuk membunuh diri, namun saya beristighfar dan cuba mencari penyelesaian yang lebih baik.

“Ketika itu saya terfikir, jika saya mati siapa yang akan menjaga anak-anak saya kelak. Saya tidak mahu bekas suami saya menjaga mereka kerana saya tahu dia tidak mampu menyayangi mereka seperti saya,” ujarnya.


Walaupun kini Ema sudah pulih sepenuhnya berkat bimbingan dan sokongan WAO, kesan penderaan masih dapat dilihat terutama pada tiga orang anaknya.

Ujarnya, anak-anak masih trauma sehingga kini hingga langsung tidak boleh mendengar jeritan atau suara yang kuat.

Anaknya yang sulung mudah terkejut sehingga mengundang ketakutan dalam diri, manakala seorang lagi menunjukkan jiwa yang sangat membenci ayahnya dan memberontak dengan cara tidak mahu belajar,

Kata Ema, dia tidak mahu anak-anaknya mempunyai perasaan seperti itu kerana tidak mahu hubungan dengan ayah mereka terputus walaupun tidak hidup sebumbung.

“Memang anak-anak akan terus bersamanya saya sampai bila-bila tetapi saya juga tidak mahu mereka melupakan ayah mereka.

“Saya juga akan berusaha untuk memberikan masa depan yang lebih cerah dengan menyediakan keperluan dari segi kewangan dan pelajaran kepada anak-anak,” katanya.

Berbeza pula cerita dengan Ambika (bukan nama sebenar). Walaupun 14 tahun telah berlalu, dia masih trauma dan tidak dapat melupakan penderaan emosi dan fizikal yang dilakukan bekas suami sehingga menimbulkan kesan yang begitu mendalam terhadap kehidupannya kini.

Demi cinta yang dikejarnya, wanita ini sanggup membelakangkan keluarga dan mengahwini lelaki yang dianggap golongan berkasta rendah oleh keluarganya sehinggalah dia dibuang terus daripada salasilah keluarganya.

“Pada awal perkahwinan, semuanya indah belaka sehinggalah kami menghadapi masalah kewangan dan keluarga langsung tidak membantu. Bekas suami mula bertukar menjadi ‘kaki botol’. Saya terpaksa bekerja menyara keluarga tetapi dia menuduh saya melakukan pekerjaan yang tidak baik.

“Akibatnya, saya dipukul setiap kali pulang dari bekerja dan bukan saya sahaja, anak-anak juga ditendangnya tanpa belas kasihan.

“Hampir setahun kami terseksa dan mujurlah ada rakan terdekat saya yang mengesyorkan untuk menghubungi WAO,” katanya yang mempunyai empat orang anak dan berada di bawah jagaannya.

Pada awalnya, Ambika sangat takut untuk mendapatkan perlindungan kerana sebelum ini dia pernah cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh konco-konco bekas suaminya. Dia dipukul teruk mengakibatkan kecederaan pada gegendang telinga dan tulang pipi.

Namun, memikirkan anak-anaknya yang turut menjadi mangsa, dia nekad untuk mendapatkan bantuan daripada WAO.

Mangsa dera usah diam diri
Perkongsian cerita dua orang bekas penghuni Rumah Perlindungan di bawah kelolaan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang telah berjaya memulihkan diri akibat penderaan emosi dan fizikal oleh pasangan masing-masing, memberikan kesedaran kepada bahawa wanita sepatutnya dilindungi, disayangi serta dihormati dan bukan untuk diperlakukan dengan ganas, disakiti dan dihina.

Perasaan takut yang diterapkan secara halus oleh pelaku ke atas mangsa secara berulang kali dan ancaman serta desakan yang dibuat secara berterusan menjadi faktor penting dalam kejadian keganasan rumah tangga.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan berkata, keganasan rumah tangga dianggap sebagai satu subjek yang ‘taboo’ bagi kebanyakan masyarakat kerana berkaitan dengan sensitiviti yang melibatkan kepercayaan tradisional, hal peribadi keluarga dan hubungan suami isteri.

“Kajian terbaharu daripada Akta Keganasan Rumah Tangga menunjukkan anggaran 39 peratus daripada wanita Malaysia telah didera oleh pasangan mereka dan keganasan ini merupakan sebahagian daripada masalah sosial yang ketara tetapi tersembunyi.

“Ramai yang tidak sedar dengan berdiam diri, hak-hak mereka dicabuli dan nyawa mereka bakal diperjudikan di tangan pasangan sendiri.

“Pelbagai kempen telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah, namun tidak dapat dibendung sepenuhnya andai mangsa hanya berdiam diri,” katanya.

Kata Sumitra, WAO menawarkan latihan yang meluas kepada sukarelawan yang terlibat untuk memberikan bantuan kepada mereka yang berada dalam keadaan fizikal dan emosi yang kompleks.

Fungsi WAO adalah untuk memberikan tempat perlindungan sementara, kaunseling dan perlindungan untuk anak-anak sementara mangsa melalui prosedur mahkamah atau tujuan memulihkan semangat diri.

Katanya, wanita yang teraniaya boleh ke rumah perlindungan WAO tanpa mengira status, latar belakang dan agama.

Mereka boleh tinggal di rumah tersebut selama mana yang mereka mahu, bergantung kepada keadaan mereka. Segala keputusan adalah dilakukan oleh mangsa sendiri tanpa dipengaruhi oleh sukarelawan, yang hanya bertugas untuk memulihkan dan memberikan sokongan dari segi moral, kewangan, dan nasihat.

Maklumat lanjut mengenai WAO boleh melayari laman http://www.wao.org.my/. atau menghubungi talian bantuan, 03-79563488 jika memerlukan bantuan dari segi sokongan dan perlindungan.
Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut seluruh dunia pada setiap Mac, Dulux, jenama dari AkzoNobel dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) membawa inisiatif untuk menyokong pelbagai usaha memperkasakan wanita melalui warna sebagai inspirasi.

Pengarah Urusan AkzoNobel Decorative Paints, Asia Tenggara, Selatan dan Asia Barat, Jeremy Rowe berkata, pihaknya mahu menyediakan platform untuk mendidik masyarakat tentang diskriminasi terhadap wanita melalui kerjasama bersama badan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yang melibatkan perlindungan wanita.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan WAO dalam membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hak-hak wanita dan kami percaya bahawa warna merupakan medium terbaik yang boleh menyalurkan mesej dengan memberi inspirasi kepada perubahan.

“Diilhamkan oleh inisiatif Human Cities, kami cuba menonjolkan isu-isu global dan dengan semangat ini, kami meraikan sumbangan yang disampaikan oleh semua wanita tidak kira di tempat kerja, dalam keluarga atau pada masyarakat,” katanya yang turut hadir dalam perkongsian bersama bekas penghuni WAO bersama media baru-baru ini.

Melalui program kerjasama itu, Dulux telah mengecat semula sebahagian besar daripada Rumah Perlindungan WAO bagi meningkatkan lagi kuasa transformasi warna sekali gus memberikan ruang hidup yang lebih bermakna kepada wanita di bawah jagaan pertubuhan itu.

Bilik-bilik di dalam rumah tersebut telah dicat dengan warna berbeza bagi mewujudkan suasana yang berlainan.

Bilik permainan kanak-kanak yang dicat dengan warna pastel lembut untuk persekitaran yang lebih menenangkan dan santai, manakala bilik kaunseling pula dicat dengan warna ungu yang memberi kesan ke atas rohani dan jasmani, menaikkan semangat, menenangkan minda, dan menggalakkan imaginasi dan kreativiti.

Kata Jeremy, pemilihan warna adalah berdasarkan harapan yang disandarkan WAO untuk wanita-wanita ini terus mempunyai semangat yang lebih tinggi untuk bangkit semula daripada hidup yang merana suatu ketika dahulu.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman