Sabtu, 4 April 2015

Suami minta gaji

Sumber : Utusan Malaysia
Bersama NORAZMAN AMAT  
Tarikh : 01/04/2015

CERAI atau tidak? Itu persoalan yang sering bermain di minda setelah sekian lama dia menanggung kesengsaraan lantaran rumah tangga yang sering sahaja dilanda masalah. Bukan Liya tidak berusaha untuk menyelesaikan kemelut yang menggoncang mahligai yang dibina selama ini, namun semakin dicuba semakin banyak masalah yang timbul.

Ibarat retak menanti belah, hanya masa dan keadaan yang akan menentukan apa kesudahannya. Suaminya, Ramli semakin menjadi-jadi perangai ‘gilanya’. Sudah setahun dia tidak bekerja dan Liya anak-beranak juga ‘dipaksa’ untuk hidup sebumbung di rumah ibu bapa mentua. Kononnya untuk menjimatkan belanja, kini Ramli mula menagih Liya membayar ‘gaji’, gara-gara disuruh menjaga anak.

Ramli mula mengungkit, jika sebelum ini anak-anak dihantar ke rumah ibu bapa Liya dengan dibayar ‘upah’ atas kesanggupan mereka itu. Maka alasan yang sama digunakan Ramli untuk memaksa Liya berbuat hal yang sama.

Walhal, tugas Ramli bukannya sukar mana. Hanya menjaga anak dan hal-hal lain dalam rumah, Liya yang uruskan. Bermula menyediakan makanan pagi, tengah hari dan malam, membasuh, menyidai dan melipat pakaian serta membersihkan rumah, Liya tidak kisah untuk melakukannya sekalipun badan keletihan. Tapi Ramli, menjaga anak yang seramai tiga orang itu pun mahu minta dibayar. Bukan seratus dua sebaliknya RM1,000.

Ada kala timbul perasan kesal berkahwin dengan Ramli. Namun Liya pasrah, itu jodohnya. Paling malang, Ramli juga tidak menyukai keluarga Liya, lebih-lebih lagi kedua-dua ibu bapa Liya. Katanya, ibu bapa Liya penyibuk kerana sering bertanyakan bila Ramli hendak serius dalam bekerja.


Sejak berkahwin dengan Liya sudah lima enam kali Ramli diberhentikan kerja. Walhal, tanggungjawab menanggung keluarga bukannya terletak di bahu isteri tetapi suami.

Bosan dengan pertanyaan demi pertanyaan dan nasihat yang diberikan, Ramli menggunakan kuasa veto sebagai suami menghantar tiga anak-anaknya ke rumah ibu bapanya pula. Mahu tidak mahu, Liya terpaksa menuruti kehendak Ramli. Sekali gus segala perbelanjaan di rumah tersebut terpaksa ditanggung oleh Liya.

Ibu bapa Ramli? Mereka tak kisah Ramli tidak bekerja. Sebaliknya mereka turut menyokong permintaan Ramli agar dibayar upah menjaga anak. Hal-hal sedemikian membuatkan Liya banyak menangis sendirian. Apalah nasibnya dapat suami yang tidak bekerja dan ibu bapa mentua pula sekongkol! Hakikatnya Liya bukan menantu pilihan...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman