Sumber : Kosmo
Tarikh : 02/04/2015
WASIAT dari segi bahasa berasal daripada perkataan wassa yang bererti
memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas
mati.
Dari segi istilah pula merujuk kepada pemberian atau sumbangan oleh
seseorang kepada pihak lain setelah meninggal dunia sama ada perkataan
wasiat itu diucapkan atau tidak dalam bentuk harta atau manfaat.
Pensyariatan wasiat dapat dilihat melalui nas al-Quran, hadis, amalan
sahabat dan ijmak. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan seseorang
itu supaya berwasiat seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 106 yang
bermaksud:
“Hai
orang-orang yang beriman, apabila salah seorang daripada kamu
menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat
itu) disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu atau dua orang yang
berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi,
lalu kamu ditimpa bahaya kematian.”
Di samping itu, Rasulullah SAW menggalakkan seseorang itu membuat
wasiat sebagaimana dalam hadis: “Tiada hak (patut) bagi seorang Muslim,
mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam
melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Ikut sunah
Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan
meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut
sunah. Dia juga mati sebagai seorang yang bertakwa dan bersyahadah serta
mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Antara syarat utama wasiat ialah pewasiat hendaklah seorang yang
mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan tidak dipaksa serta pemilik
kepada harta yang diwasiatkan.
Penerima wasiat pula hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara
kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki
harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki,
Syafie dan Hanbali).
Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih, tidak alih atau manfaat
yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian
pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud
semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan). Sighah wasiat boleh
berlaku sama ada secara jelas (sarih) atau tersirat (kinayah) atau sama
ada melalui lisan, tulisan atau isyarat.
Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan
syarak adalah setakat sepertiga daripada harta bersih peninggalan yang
masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja
pengebumian dan pembayaran hutang-hutang sekiranya ada.
Disebabkan itu, wasiat yang melebihi kadar sepertiga harta pewasiat
adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih
itu. Ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang melarang
wasiat melebihi sepertiga daripada harta pewasiat.
Saad bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Mekah.”
Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.”
Baginda menjawab: “Tidak.”
Aku berkata: “Sebahagiannya.”
Baginda menjawab: “Tidak.”
Aku berkata: “Sepertiga.”
Baginda menjawab: “Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak.
Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik
daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia
dengan tangan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perbezaan wasiat dan faraid:
1 - Pembahagian faraid ditetapkan oleh Allah dalam al-Quran manakala
pembahagian wasiat tidak melebihi sepertiga daripada jumlah harta.
2 - Hukum faraid berlaku selepas kematian si waris manakala wasiat
dilakukan ketika hidup dan berkuat kuasa selepas pewasiat meninggal.
3 - Hukum faraid yang menentukan kaedah agihan harta pusaka si mati
kepada ahli waris yang berhak menerimanya, manakala wasiat boleh
diagihkan kepada orang lain sekalipun bukan waris.
Berdasarkan penerangan di atas, perlu difahami bahawa pelaksanaan
wasiat adalah berbeza dengan faraid. Terdapat ruang yang disediakan
untuk kita menginfakkan sebahagian harta kepada individu-individu yang
tidak termasuk dalam senarai pembahagian faraid dengan syarat tidak
melebihi sepertiga daripada harta pusaka.
Justeru itu, dengan adanya instrumen wasiat, kita mampu membantu
golongan yang tidak berkemampuan sekalipun kepada golongan yang bukan
waris seperti anak angkat, fakir miskin atau jiran tetangga.
Lantaran sifat wasiat yang fleksibel, ia juga membuka ruang kebajikan
kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu individu-individu yang
dalam kesusahan bagi memperoleh ganjaran pahala di akhirat kelak.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Ahad, 5 April 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan