Selasa, 7 April 2015

Kerana privasi, menantu berkurung di dalam bilik

Oleh : Normala Hamzah  (SEMBANG-SEMBANG)
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 04/04/2015


“Orang lain pun nikah juga tapi tidaklah sampai berlagak diva dan makan hingga ke dalam bilik,’’ demikian resah dan rungutan seorang ibu mengenai menantu yang baru sebulan lebih tinggal bersamanya setelah selamat dinikahkan.

Itu sebahagian daripada kisah rumah tangga yang terdengar di zaman moden ini, zaman di mana segala-galanya kemungkinan berlaku tanpa diduga.

Ibu bapa mengharapkan setelah bernikah, anak-anak dan menantu akan hidup bahagia dan menghargai keluarga kedua-dua pihak, tetapi ada juga yang kecewa kerana apa yang berlaku tidak seperti diharapkan.

Inilah kisah yang dilalui oleh seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai, Maznah berusia lewat 50-an dari selatan tanah air. Ingin tahu kisah selanjutnya, kita baca cerita Maznah seperti dikirim kepada saya.

Begini ceritanya:

“Saya mempunyai tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Anak sulung dan kedua sudah berkahwin tetapi yang bongsu masih di kolej.

“Saya mempunyai dua orang menantu perempuan. Seorang tinggal berasingan dan seorang lagi tinggal bersama saya dan suami kerana itu permintaan kami.

“Saya sunyi kerana di rumah hanya tinggal kami berdua sahaja. Dengan adanya mereka berdua, saya sangat berharap hidup saya akan bertambah gembira terutama setelah mereka dikurniakan anak.

“Lagipun tempat kerja mereka dekat dengan rumah.

“Sayangnya itu semua tidak berlaku. Setelah berkahwin perangai menantu perempuan kedua saya berubah. Dia tidak mesra seperti masa bertunang dahulu. Balik kerja berkurung di dalam bilik.


“Kalau saya di dapur, dia di ruang tamu, begitulah sebaliknya. Apa yang silap saya pun tidak tahu. Dari sehari ke sehari, sikapnya semakin menjadi-jadi. Hujung minggu tidak pernah ada di rumah, ada sahaja program mereka suami isteri.

“Itupun saya tidak kisah lagi, saya terus diam sebab tidak mahu rumah tangga mereka jadi kecoh. Saya bertahan kerana anak tidak mahu dia tersepit antara saya dengan isterinya.

“Saya bukan berniat untuk membuka pekung di dada tetapi saya ingin berkongsi kisah ini dengan pembaca yang mungkin menghadapi masalah yang sama seperti saya tetapi tidak tahu macam mana hendak menanganinya.

“Saya harap menantu saya itu dapat membantu saya di rumah apabila balik dari kerja, sekurang-kurangnya mencuci pinggan mangkuk atau memasak. Itu sahaja yang saya harapkan, tetapi itu semua tidak berlaku.

“Jangan katakan memasak, masuk dapur pun jarang. Kalau nak makan, mereka membawa makanan ke bilik walaupun dibeli di luar. Tukang melayannya adalah anak saya. Sayang sangat dengan isterinya itu.

“Sejak mereka bernikah lima bulan lalu, belum pernah sekali saya merasa masakan air tangan menantu kedua ini. Malu saya jika saudara mara dan jiran tetangga tahu perangai sebenar menantu saya ini.

“Saya juga hairan kenapa dia boleh berubah seperti itu sedangkan seingat saya, tidak ada apa yang berlaku antara kami. Saya pernah bercerita dengan suami tetapi dia tidak percaya dan minta saya kikis perasaan negatif tersebut.

“Masa baru bertunang dahulu, bukan main rajin ke rumah saya, siap ke pasar membeli bahan mentah untuk dimasak. Duduk bertunggu tangga di rumah saya sampai berhari-hari tidak ada masalah. Sudah bernikah lain pula jadinya.

“Bayangkan setiap hari selepas balik kerja mereka berkurung di dalam bilik sempit itu sambil makan dan menonton televisyen, macam saya dan suami tidak wujud di dalam rumah. Mereka langsung tidak ada rasa hormat dan menjaga hati kami suami isteri.

“Saya pernah menyuarakan rasa tidak puas hati saya kepada anak saya dan dia menafikan isterinya seperti itu. Tentang makan di bilik itu, katanya untuk privasi..., mereka mahu bersendirian di rumah dan tidak mahu diganggu.

“Seingat saya, kami suami isteri tidak pernah menganggu mereka. Buatlah apa yang mereka hendak buat. Kami tidak pernah bertanya. Hendak ke mana, balik bila dan buat apa, langsung tak pernah ambil tahu hal mereka.

“Privasi apa yang mereka mahukan lagi? Orang lain pun kahwin juga tetapi tidaklah sampai makan minum di dalam bilik, sedangkan di dalam rumah semua yang diinginkan boleh diperoleh. Sebut sahaja semua ada. Itu yang saya hairan.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa menantu saya jadi begitu. Nak kata kurang didikan, keluarganya memang orang yang baik-baik dan sangat baik dengan kami. Itu yang saya tidak faham. Nak kata berjawatan tinggi, menantu saya biasa-biasa sahaja.

“Rupa paras pun boleh tahan sahaja, bukan macam artis top yang cantik dan ramai peminat. Semuanya sederhana sahaja. Mungkin dia rasa dirinya hebat, dapat kahwin dengan orang bandar.. Waalahhualam!

“Kini, saya menunggu hari mereka keluar dari rumah. Saya tidak kuasa lagi menegur dan memujuk. Malah saya katakan kepada anak saya, kalau macam inilah perangai isteri kamu, elok kamu tinggal sendiri.

“Anak saya juga tidak banyak tanya, mungkin dia menunggu saya bersuara supaya saya menyuruhnya keluar. Saya tidak mahu memujuk lagi. Menyesal saya pelawa mereka tinggal bersama saya dahulu. Kalau saya tahu inilah perangainya, tentu saya tidak akan ajak.

“Benarlah kata orang tua-tua, jangan tenguk pada kulitnya sahaja, tenguklah juga dalam dirinya, akhlak dan pekertinya. Itulah yang berlaku kepada saya. Walaupun mungkin saya telah membuat penilaian terhadap menantu saya ini, mungkin ini ujian untuk saya.

“Anak sulung saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Walaupun dia tidak mendengarnya dari mulut saya sendiri, setiap kali balik kampung dia akan melihat bagaimana dinginnya menantu kedua saya dengan kami sekeluarga, lagaknya berlebihan, macam diva sangat.

“Saya menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian untuk menguji kesabaran saya. Saya berdoa agar anak saya boleh membimbing isterinya ke jalan yang lebih baik dan diredai Allah SWT. Saya tahu, masih boleh dibetulkan keadaan jika anak saya bersungguh-sungguh. Walaupun sedih dan kecewa saya tetap menerima mereka sebagai anak menantu.

“Saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk menerima mereka sebagai anak menantu yang baik dan hormatkan orang tua seperti mana yang diharapkan oleh semua ibu bapa. Mudah-mudahan mereka akan berubah,” Maznah menamatkan ceritanya dengan nada kecewa.

Alahai..., macam-macam cerita berlaku di dalam rumah tangga sekarang ini. Isu tidak sehaluan menantu dan mentua masih ada walaupun tidak serius seperti dahulu.

Saya bangga dengan Maznah kerana bersabar dengan kerenah menantunya itu dan saya harap masalah ini akan selesai dalam masa terdekat. Masih boleh dilentur lagi.

Saya kira menantu Maznah terkena kejutan. Hanya dia yang tahu kenapa. Saya juga berharap anak Maznah akan memainkan peranan untuk menegur isterinya itu. Semuanya terletak di tangan suami, jika suami berani maka semuanya akan menjadi mudah.

Kita semua perlu ingat, ibu bapa mentua sama tarafnya dengan ibu bapa kandung dan mereka perlu dihormati dan bukan disakiti. Sebagai anak, kena ingat perkara tersebut. Bimbinglah isteri ke arah kebaikan. Cepatlah bertaubat sebelum terlambat.

Kepada Maznah banyak bersabar ya... biarkan mereka berdikari. Jangan dipujuk lagi untuk terus tinggal bersama Maznah, biarkan mereka membina hidup sendiri. Kita doakan mereka berubah. Doakan juga agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga!

Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, jangan biarkan air mata ibumu mengalir, sebaliknya berusahalah untuk menjadikan dia tertawa dan tersenyum sepanjang masa.

Salam.

malahamzah56@gmail.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman