Rabu, 17 Jun 2015

Ramai bekas suami bayar nafkah elak dijel


Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Jun – Keba­nyakan bekas suami yang enggan membayar tuntutan nafkah terhadap bekas isteri dan anak selepas bercerai hanya akan melunaskan tuntutan itu apabila mengetahui mereka akan dikenakan hukuman penjara.

Penolong Pengarah Kanan Ba­hagian Sokongan Keluarga Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Roziana Mat Amin berkata, pelbagai tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap bekas suami yang ingkar dengan arahan membayar tuntutan nafkah seperti saman, penyitaan harta, sita jual serta pemenjaraan.

“Namun yang ironinya apabila bekas suami tahu yang mereka akan dikenakan tindakan pemenjaraan, mereka terus membayar tuntutan nafkah yang tertunggak.

“Mereka terus ada duit untuk bayar tuntutan yang tertunggak sehingga ada kes yang melibatkan nilai mencecah RM20,000 hingga RM30,000, malah nilai yang tertinggi pernah direkodkan adalah sebanyak RM120,000,” katanya.



Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Informasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) 2015 di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Pendaftar JKSM, Mohamad Shakir Abdul Hamid.

Mengulas berhubung tindakan pemenjaraan, Roziana memberitahu, bekas suami yang degil dengan arahan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 hari.

“Namun selepas membayar jumlah yang tertunggak, tindakan pemenjaraan itu akan terbatal secara automatik.

“Banyak juga kes yang dipenja­rakan dan setakat ini mereka ini dihantar ke penjara Sungai Buloh termasuk di negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka dan Johor,” katanya.

Menurutnya, sejak bahagian sokongan itu diwujudkan pada 2008, jumlah kes tuntutan yang gagal diselesaikan telah berjaya dikurangkan.

“Dalam tempoh 2009 hingga 2014, kira-kira 3,000 kes berjaya diselesaikan berbanding tempoh 2000 hingga 2009 yang menyaksikan banyak kes tidak diselesaikan mencecah 7,000 kes,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman