Aisyah jijik bersama suami selepas perkahwinannya dikhianati
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17 Jun 2015
Saya mengenali Aisyah ketika sama-sama mengikuti kegiatan kumpulan riadah berbasikal kira-kira setahun lalu.
Sejak itu, hampir setiap aktiviti berbasikal kumpulan kami disertainya. Melalui seorang rakan, saya dapat tahu Aisyah sudah berkahwin tetapi ada juga yang berkata dia hidup bujang.
Apa yang pasti, selama mengenalinya Aisyah tidak pernah bercerita tentang rumah tangga apatah lagi membawa suaminya menyertai aktiviti kami yang biasanya membabitkan pasangan suami isteri atau ahli keluarga.
Sebaliknya dia lebih senang mengayuh solo atau bersama rakan-rakan bujangnya. Suatu hari saya memberanikan diri bertanya tentang, dan tanpa berselindung dia bercerita panjang.
Kata Aisyah, perkahwinannya sekadar atas kertas kerana hakikatnya sejak 10 tahun lalu tugas sebagai isteri terhenti sama sekali biarpun gelaran itu masih disandang hingga ke hari ini.
Segala aktiviti ‘suami isteri’ dari di dalam bilik tidur hingga keluar sudah dilupakan. Malah sejak tempoh itu boleh dikira dengan jari berapa kali dia dan suami, Arshad, bertegur sapa.
Tertanya-tanya mengapa secara tiba-tiba Aisyah boleh tawar hati dengan suami yang mengikut ceritanya merupakan calon pilihan hati.
Katanya, tiga tahun mereka bercinta di universiti sebelum mendirikan rumah tangga sebaik tamat pengajian.
Lima tahun pertama perkahwinan, rumah tangga yang dibina cukup bahagia. Apatah lagi Arshad amat menyayangi dan melindungi Aisyah bagai menatang minyak yang penuh.
Dalam tempoh itu mereka telah dikurniakan dua anak lelaki yang kini telah meningkat remaja. Anak sulung berusia 15 tahun, yang bongsu 13 tahun.
Menurut Aisyah, segalanya bermula apabila dia dikejutkan dengan pengakuan Arshad telah berkahwin lagi.
Sangkanya Arshad sengaja mahu mengusiknya kerana tanpa ada tanda-tanda, malah hubungan mereka selama ini berjalan lancar tanpa ada perselisihan yang besar.
Arshad sendiri tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai isteri dua kerana hampir setiap malam dia akan balik ke rumah.
“Arshad nyata bersungguh dan mengakui telah enam bulan berkahwin lagi. Dia mengaku berkahwin secara senyap di selatan Thailand dan dia mengaku kerana tidak sampai hati untuk terus membohongi saya kerana katanya dia amat sayangkan saya.
“Waktu itu dunia saya jadi gelap seketika. Bagai ada satu batu besar menghempap kepala. Untuk beberapa ketika saya terdiam seolah-olah cuba menghadam berita yang baharu saya terima ini.
“Berulang kali Arshad menyatakan bahawa perkahwinan baharunya tidak akan mengubah apa-apa antara kami berdua kerana sayangnya pada saya tetap sama seperti dahulu dan tidak akan mensia-siakan saya selagi hayatnya ada.
“Namun, kata-katanya bagai dengar tidak dengar di telinga saya. Sebaliknya, saya cuba menggagahkan diri bertanyakan siapa wanita baharu dalam hidupnya itu. Perlahan dia menyebut nama ‘Fiza’, saya minta dia ulangi kerana nama tersebut seakan sama dengan nama rakan baik saya yang juga rakan perniagaan online.
“Sekali lagi dia menyebut nama yang sama dan individu yang dimaksudkan adalah individu yang sama saya kenali.
“Tubuh saya bagai kebas. Malah kalau ditoreh saat itu mungkin tidak berdarah. Dunia keliling saya berpusing, kaki saya bagai tidak mencecah bumi. Saya terduduk tidak mampu bersuara mahupun menangis. Masya-Allah, bala apa yang telah diturunkan pada saya. Dua orang yang paling saya percaya di dunia ini telah mengkhianati saya.
“Seminggu saya mengurung diri dalam bilik memutuskan hubungan saya dengan dunia luar. Anak-anak pun saya tidak peduli. Apatah lagi ahli keluarga dan rakan-rakan yang menelefon.
“Saya menangis dan menangis. Cuba mencari di mana silap saya. Apa yang saya terlepas pandang, mengapa saya tidak nampak apa yang berlaku di depan mata saya dan macam-macam lagi. Arshad cuba memujuk, tapi wajah dan suaranya pun saya tidak boleh pandang atau dengar.
“Selepas seminggu, saya akhirnya keluar dan mencari kekuatan bersemuka dengan Arshad. Saya nyatakan yang saya mahu bercerai kerana saya tidak boleh menerima apa yang telah berlaku. Lebih-lebih lagi apabila dia memilih rakan baik saya sendiri yang selama ini keluar masuk rumah saya seperti rumahnya sendiri. Malah, Fiza sudah saya anggap macam adik dan cukup baik dengan anak-anak saya. Rupa-rupanya dalam baik dia ada niat tersembunyi.
“Arshad tidak setuju dengan kemahuan saya, malah dia kata sampai mati pun dia tidak akan lafaz cerai pada saya,” katanya.
Selepas peristiwa itu, menurut Aisyah, dia memfailkan permohonan cerai di mahkamah syariah dengan alasan suaminya telah berkahwin lain tanpa kebenarannya.
Malangnya, kesnya berlarutan hingga ke hari ini tanpa nampak penghujung, biarpun telah hampir 10 tahun berlalu.
Aisyah berkata, kesnya tertangguh lama disebabkan pelbagai alasan termasuk keengganan Arshad memberi kerjasama.
Suaminya itu kerap mengelak apabila dipanggil ke mahkamah dan tetap berkeras enggan menceraikannya.
“Apabila kes mahu disebut di mahkamah ada sahaja halangan. Sehingga akhirnya saya sendiri berasa putus asa dan membiarkan keadaan tergantung tanpa apa-apa keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, hubungannya dengan Arshad tidak pernah pulih. Aisyah bukan sahaja tidak bertegur sapa, malah tidak boleh memandang wajah Arshad, rasa jijik, menyampah dan benci membuak dalam hati.
Jika ada sesuatu perkara berbangkit membabitkan mereka berdua, anak-anak menjadi penghubung, tempat menyampaikan pesanan.
Begitu pun, Arshad masih pulang ke rumah biarpun dua atau tiga minggu sekali bagi menjenguk anak-anak. Keadaan tersebut berlarutan hingga masuk tahun ke 10 tanpa nampak apa-apa perubahan.
Aisyah dengan hidupnya, Arshad pula dengan caranya. Anak-anak yang ketika krisis tercetus masih kanak-kanak, kini sudah meningkat remaja dan semakin terbiasa dengan keadaan di mana ayah mereka hanya ‘ayah separuh masa’.
Ditanya, adakah tidak berasa berdosa memandangkan dia masih isteri orang tetapi hidup bagai orang bujang ke mana-mana tanpa halangan, Aisyah terdiam sejenak.
“Memang sejak akhir-akhir ini saya ada memikirkan hal itu. Apatah lagi saya aktif menyertai aktiviti luar yang sudah tentu mendedahkan saya dengan pergaulan lelaki dan wanita.
“Sebab itu, selepas ini saya berazam untuk menghidupkan semula tuntutan saya di mahkamah. Kali ini saya akan pastikan sampai kepada kata putus. Saya harap kali ini Arshad bersedia menceraikan saya cara baik.
“Lagipun, secara zahirnya kami memang sudah tidak ada apa-apa hubungan. Hanya terikat dengan lafaz nikah yang telah dikhianati oleh Arshad ketika dia mengahwini kawan baik saya dahulu,” katanya.
Aisyah juga mengaku tindakan itu didorong oleh perkembangan terbaharu apabila hatinya telah ‘diusik’ oleh seorang jejaka yang sama-sama menyertai aktiviti luar bersamanya.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan