Isnin, 24 Ogos 2015

Isteri terlantar sakit, abang ipar kahwin lagi

SEMBANG-SEMBANG
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/06/2015

Perkahwinan adalah ikatan janji antara seorang lelaki dan wanita untuk hidup bersama sehingga ke akhir hayat dengan izin Allah. Harapan setiap pasangan adalah untuk menikmati kebahagiaan berkekalan selepas sah disatukan sebagai suami dan isteri.

Namun kita hanya merancang. Yang menentunya adalah Allah SWT kerana segala-galanya dia yang aturkan. Kita hanya perlu reda dan menerimanya dengan tabah serta sabar. Tidak siapa mampu menolak andainya kebahagiaan yang dirancang itu terganggu dengan ujian Allah. Jika baik perancangan itu, bersyukurlah. Jika tidak, reda dan banyak bersabar.

Minggu ini, saya ingin berkongsi kisah sedih seorang pembaca yang sangat kecewa dengan sikap abang iparnya yang bernikah lagi ketika kakaknya sedang sakit. Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti cerita Saliha (bukan nama sebenar) seperti yang dikirim kepada saya. Begini kisahnya.

“Saya berusia 30 tahun, anak bongsu daripada adik beradik seramai lima orang. Dua abang dan dua kakak saya telah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri.

“Ibu kami masih hidup tetapi bapa sudah lama meninggal dunia kerana sakit jantung. Kami adik beradik sangat rapat dan saling membantu antara satu sama lain.

“Nasib tidak menyebelahi kami apabila kakak kedua saya, Nani (bukan nama sebenar) disahkan menghidap kanser rahim tahap 4 sejak dua tahun lalu.

“Kesihatannya merosot dan dia terpaksa berhenti kerja kerana tidak berdaya lagi untuk meneruskan tugasnya sebagai seorang penjawat awam. Suaminya seorang pegawai bank berusia awal 40-an.


“Mereka dikurniakan tiga orang anak yang masih menuntut di sekolah menengah. Sejak Kak Nani sakit, urusan rumah tangga juga terbengkalai. Banyak perkara yang tidak dapat Kak Nani lakukan terutama menguruskan rumah tangganya.

“Bagi memudahkan urusan menjaga kebajikannya, kami adik beradik dan ibu bersetuju membawa Kak Nani tinggal di kampung bersama ibu dengan izin suaminya.

“Anak-anak dipindahkan bersekolah di kampung kami nun jauh di utara tanah air. Tinggal abang ipar meneruskan tugasnya di bandar. Setiap minggu, dia akan pulang ke kampung menjenguk kakak.

“Secara kebetulan, saya memang bekerja di kampung dan urusan menjaga Kak Nani, saya ambil-alih pada waktu malam. Selama setahun kami sangat gembira kerana Kak Nani kuat semangat.

“Kami adik beradik memberinya semangat untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Dalam tempoh itu, Kak Nani telah melakukan rawatan kimoterapi dan rawatan sampingan lain yang diperlukan bagi pesakit kanser.

“Masuk tahun kedua, abang ipar saya mula berubah. Dia jarang balik menjenguk isterinya. Setiap minggu, dia hanya menelefon bertanya khabar isteri dan anak-anaknya. Saya mula tidak sedap hati.

“Apabila saya telefon tanya mengapa tidak balik, dia jawab sibuk dengan kerja. Takkan hujung minggu pun sibuk, pada hal boleh ambil cuti tahun untuk menjenguk isteri yang sedang sakit dan anak-anak.

“Sekali dua, saya boleh tahan dengan alasannya tetapi lama kelamaan saya mula panas hati apabila dia selalu bagi alasan yang sama.

“Akhirnya, saya ke bandar bertemu abang ipar tanpa menelefon dan buat temu janji dengannya. Terkejut dia apabila saya berkunjung ke rumahnya. Saya lagi terkejut apabila di rumah itu, ada seorang perempuan.

“Abang ipar berubah wajah dan bertanya kenapa saya tidak beritahu dahulu nak datang. Nampak sangat dia gelabah dan hilang punca. Hati saya semakin panas. Mesti ada yang tidak kena dan saya syak dia mesti menyimpan rahsia daripada kami semua.

“Saya tanya dia siapa perempuan yang ada di dalam rumah itu. Lama baru dia menjawab yang perempuan itu adalah isteri baharunya. Ya Allah, sampainya hati dia.

“Isteri terlantar sakit, dia senang lenang di rumah bersama isteri baharu. Lelaki jenis apa agaknya dia ini? Tak ada hati perut langsung. Padanlah banyak alasan tak balik kampung jenguk isteri dan anak-anak, rupa-rupanya sudah ada isteri baharu.

“Kemarahan saya sampai ke puncaknya. Macam-macam saya katakan kepadanya di hadapan perempuan itu. Saya pun tak ingat apa yang saya kata tetapi semuanya yang memedihkan dan sesuai dengan perbuatannya yang tidak ada belas kasihan kepada kakak saya yang sedang sakit serius.

“Saya sangat kecewa dengan keputusannya menikah lagi dalam keadaan Kak Nani yang begitu. Tergamak dia buat macam itu kepada kakak saya. Sepatutnya dia perlu bersama Kak Nani sepanjang masa memberi semangat dan menemaninya untuk terus hidup.

“Saya bagi amaran kepada dia, kalau apa-apa jadi kepada Kak Nani, jangan menyesal.

“Keadaan menjadi kalut apabila dia berbalas-balas jawapan dengan saya dan menjelaskan kenapa dia berkahwin lagi. Saya tidak peduli dengan alasannya dan meninggalkan rumah itu dengan air mata bercucuran di pipi kerana sedih kakak saya diperlakukan sedemikian rupa.

“Sampai di rumah saya tidak beritahu ibu dan Kak Nani tentang apa yang berlaku kerana tidak mahu lagi mengeruhkan suasana. Saya ajak abang-abang dan kakak sulung saya berbincang. Kepada mereka saya ceritakan apa yang telah berlaku.

“Abang-abang marahkan saya kerana tidak mengajak mereka bersama. Tetapi saya beritahu saya hanya nak jumpa abang ipar, tidak sangka pula jadinya lain.

“Kami berempat beradik menangis dan berpelukan sesama sendiri kerana bersimpati dengan nasib Kak Nani. Anak-anaknya juga tidak kami beritahu kerana tidak mahu pelajaran mereka terjejas. Buat sementara ibu juga tidak tahu.

 “Di dalam hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Kami berjanji akan menjaga Kak Nani dengan sebaik-baik mungkin. Begitu juga dengan kebajikan anak-anaknya akan kami bagi perhatian dan keutamaan juga.

“Saya tidak percaya lagi dengan abang ipar dan tidak akan memaafkan dia selagi hayat saya. Apa yang dia buat kepada Kak Nani amat keterlaluan. Saya akan ingat sampai bila-bila.

“Sejak bersemuka dengan saya, abang ipar tidak pernah balik menjenguk isteri dan anak-anaknya lagi. Saya tidak menghalang dia balik tetapi mungkin dia malu dengan kami semua kerana rahsianya sudah terbongkar.

“Sampai bila kami hendak menyimpan rahsia ini, saya tak tahu. Tetapi keadaan Kak Nani semakin hari semakin lemah. Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan menyerahkan segalanya kepada Yang Esa. “Mohon Allah permudahkan segala-galanya!” Saliha menamatkan ceritanya.

Sebak dada saya membaca cerita Saliha. Saya sangat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada kakaknya, Nani. Memang saya sangat sedih dengan apa yang dibuat oleh suami Nani. Anda sendiri mungkin boleh menilainya terutama para suami di luar sana.

Saya sangat berharap kisah yang diceritakan Saliha ini akan menjadi teladan untuk semua orang. Hargailah isteri atau suami anda dan jagalah mereka dengan baik ketika sihat atau sakit kerana itu adalah tanggungawab dan amanah.

Semoga Nani sentiasa di dalam rahmat Allah dan dipulihkan kesakitannya dan sihat seperti sedia kala. Insya-Allah. Menamatkan catatan, saya titipkan pesanan ini untuk renungan bersama. Hargailah anugerah Allah serta bersyukurlah dengan nikmat kurniaan-Nya walaupun kadang-kala ada yang pahit untuk ditelan. Salam 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman