Nasi sudah menjadi bubur
Bersama NORAZMAN AMAT
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19/08/2015
Zalina masih berteleku di sejadahnya. Telekungnya hampir basah akibat tangisan kerana menyesali apa yang telah dilakukannya. Berkali-kali Zalina menyalahkan dirinya. Tetapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Nasi sudah menjadi bubur. Segala-galanya sudah terlambat untuknya berpatah balik. Dia betul-betul menyesal dan sama sekali tidak menyangka perbuatannya tersasar begitu jauh.
Kalau sebelum ini dia meminta cerai daripada suaminya kerana tindakan suami bermain kayu tiga, tetapi kini dia pula yang terperangkap dalam cinta tiga segi sehingga sanggup melukakan hati seorang perempuan lain. “Ya Allah kejamnya aku!”. Berkali-kali Zalina menyalahkan dirinya.
Ternyata pertemuannya dengan Zali dalam satu majlis telah mendorong hatinya untuk mengenali lebih dekat lelaki itu. Mana tidaknya dengan penampilannya yang nampak ‘warak’ telah ‘mengusik’ emosinya yang sememangnya kesunyian selepas diceraikan.
Sekalipun Zali menjelaskan bahawa telah berkeluarga, namun Zalina tidak kisah. Baginya, kalaulah jodohnya ada dengan Zali, sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang adil kepada isteri-isterinya. Zalina tahu dengan jawatan penting yang disandangnya dalam syarikat, sudah tentu Zali tidak akan menolaknya mentah-mentah.
Ternyata kepercayaan Zalina membuatkan Zali mengambil kesempatan ke atas dirinya. Mana tidaknya, Zalina sanggup berhabisan untuk menambat hati lelaki itu. Dan Zali apa lagi, peluang terhidang di depan mata, maka rugilah kalau tak dikebas! Sehingga akhirnya, Zalina sanggup menyerahkan ‘mahkotanya’ kepada Zali bagi membuktikan cintanya.
Malangnya, ibarat habis madu sepah dibuang, Zali mula menjarakkan dirinya. Pelbagai alasan diberikan termasuklah mensyaratkan Zalina tidak menghubunginya pada bulan Ramadan lalu atas alasan mahu menumpukan perhatian kepada ibadah.
Zalina mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan mereka. Lalu Zarina berkeras untuk berjumpa Zali. Dan malam itu, Zali secara berterus terang menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak mahu kesetiaan dan kepercayaan isterinya diragut kerana hubungan mereka. Zali berlalu meninggalkan Zalina termangu-mangu. Betapa Zalina mula sedar bahawa selama ini dirinya dipergunakan oleh Zali untuk kepentingan dirinya.
PANDANGAN KAUNSELOR
Perasaan sepi dan keseorangan bukan sesuatu yang asing bahkan menjadi salah satu daripada lumrah kehidupan yang dilalui oleh manusia. Apatah lagi bagi mereka yang diuji dengan kegagalan dalam kehidupan. Tidak terkecuali bagi pasangan suami isteri di mana noktahnya adalah perpisahan.
Hal-hal sedemikian, sudah pasti mengundang rasa sedih, rindu, sepi dan keseorangan. Hakikatnya bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang mengharungi ‘tempoh bertenang’. Hanya kekuatan jiwa dan emosi membolehkan seseorang membuat keputusan bijak untuk perancangan masa hadapan yang perlu ditempuh.
Yang pasti, sebagaimana yang didedahkan dalam ruangan Baiti Jannati kali ini, kerana terlalu melayan perasaan dan emosi yang sedia gundah, segala tindakan dan keputusan yang diambil, dibuat tanpa membuat pertimbangan sewajarnya. Ditambah pula dengan jiwa yang kosong dan desakan mahu mendapatkan perlindungan daripada seorang lelaki, maka apa sahaja yang dikehendaki cuba dipenuhi tanpa merasa curiga di atas niat seseorang.
Ibarat tiada beban, batu digalas, inilah padahnya apabila manusia gagal mengawal emosi dan nafsu. Kegagalan pertama yang dilalui, dengan mudah dicampak ke tepi dan tidak dijadikan sempadan agar tidak kecundang buat kali kedua.
Cukup sukar untuk kita menafikan bahawa manusia itu sememangnya mudah lupa. Keperitan bersuamikan lelaki yang suka bermain kayu tiga, sepatutnya menjadikan wanita lebih berhati-hati. Bagaimanapun, ternyata desakan memenuhi keperluan naluri mengatasi segala-galanya.
Hanya kerana mengharapkan cinta daripada seorang lelaki, segala-galanya sanggup ditanggung dengan harapan lelaki berkenaan akan mengahwininya. Ternyata percaturan yang dibuat tidak seindah yang diimpikan. Akhirnya diri terjerat dengan kata-kata manis seorang lelaki yang hanya mahu mengambil kesempatan.
Paling malang dalam situasi di atas, segala-galanya sudah diserahkan termasuklah maruah diri. Justeru, apa lagi yang boleh diharapkan? Secara psikologi, manusia memerlukan lima keperluan asas dalam hidup. Antaranya kasih sayang, penghargaan, keriangan, kebebasan dan keperluan hidup seperti makan minum, keselamatan dan perlindungan. Apabila lelaki dapat memenuhi perkara asas ini wanita tidak akan beralih kasih kepada yang lain walaupun mereka melalui pengalaman yang menyakitkan.
Sebagai contoh kes minggu ini menunjukkan wanita apabila mendapat perhatian dan belaian daripada seorang lelaki yang tidak diketahui niatnya akan mudah menyerahkan diri tanpa berfikir panjang akibat daripada perbuatannya sendiri. Bagi wanita, sayang dibuktikan dengan pengorbanan untuk melakukan apa sahaja. Juga untuk menunjukkan kesetiaannya.
Berbeza dengan lelaki, kalau semuanya sudah ‘dinikmati’, apa lagi yang hendak diharapkan? Di sini letaknya kelemahan wanita yang tidak mampu menilai cinta sejati lelaki. Bukan itu sahaja, wanita juga lemah bila berhadapan dengan lelaki yang ‘kononnya’ alim tanpa menyelidiki terlebih dahulu latar belakang lelaki berkenaan. Walhal, penampilan fizikal bukanlah gambaran keseluruhan perwatakan seseorang.
Wanita mudah percaya dengan apa sahaja yang dilihat oleh mata kasarnya sehingga tidak dapat menilai dengan mata hatinya. Apatah lagi apabila perasaan sedang berbunga wanita tidak lagi menghiraukan apa yang dilakukan oleh lelaki kepadanya. Dan inilah yang membuatkan ramai lelaki mengambil kesempatan kerana mereka tahu, wanita jenis ini suka diperlakukan demikian demi kelangsungan perhubungan yang diharapkan.
Tidak dinafikan, sikap lelaki yang bijak mengambil kesempatan di atas kealpaan wanita adalah satu kelebihan yang memberi pulangan demi kepentingan dirinya. Apa yang penting apabila mangsa telah masuk perangkap pemburu perlu berhati-hati agar tidak terlepas apa yang mahu diburu. Justeru lelaki putar belit ini akan memperlihatkan kebaikan dirinya dengan apa cara sekalipun agar wanita yang menjadi mangsa akan terus dapat dipergunakan demi kepentingan hidupnya.
Inilah hakikat yang perlu disedari oleh wanita agar mereka tidak menjadi mangsa kepada perasaan sendiri. Walaupun keperluan diri perlu diutamakan jangan sampai menjadi bahan permainan orang lain akibat kelalaian diri sendiri. Oleh itu wanita adalah penentu kepada dirinya sendiri. Jangan biarkan nasib diri ditentukan oleh orang lain hanya kerana terlalu percaya dan mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Rabu, 26 Ogos 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan