Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/08/2015
Bukan mudah untuk memenangi hati anak tiri walau sebaik mana sekalipun perlakuan baik seorang wanita yang menjadi pengganti ibu mereka.
Cerita orang dulu, ibu tiri selalu mendera anak-anak tiri dan menjadikan mereka seperti hamba di dalam rumah kini semakin tidak relevan lagi kerana kebanyakan ibu tiri tahu tanggungjawab mereka apabila mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang sudah mempunyai anak.
Jika pun ada, hanya segelintir, sebab anak-anak sudah boleh menerima kenyataan kehadiran pengganti ibu atau bapa mereka disebabkan keperluan dan faktor gaya hidup bukan untuk merampas apa-apa.
Keadaan itu menjadi lebih sedih apabila ibu tiri disisihkan anak-anak tiri setelah bapa mereka pergi menyambut panggilan Ilahi. Mahu tidak mahu maka si ibu tiri terpaksa kembali kepada hakikat hidup, bersendirian dan kembali kepada keluarga kandung.
Inilah pengalaman yang dilalui oleh Maiza (bukan nama sebenar) yang kini terpaksa menerima kenyataan anak-anak tiri tidak ikhlas menerimanya sebagai teman hidup arwah bapa mereka dulu.
Semuanya kerana wang ringgit dan harta. Dengki dan iri hati dengan kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah bapa mereka kepada ibu tiri.
Dalam pertemuan tidak dirancang dengan saya di satu majlis hari raya baru-baru ini, Maiza berkongsi cerita tentang kehidupannya menjadi ibu tiri kepada anak-anak tiri yang berpelajaran tinggi dan punya kedudukan tetapi tidak matang.
Begini ceritanya.
“Saya berusia 65 tahun, seorang pesara kerajaan dan mempunyai tiga orang anak yang semuanya telah berkeluarga. Setelah kematian suami pertama, saya menikah dengan seorang keluarga arwah yang saya kenal sejak dari zaman kami muda lagi sebab kami satu sekolah.
‘’Anak-anak saya pada mulanya melarang tetapi saya ikutkan hati sebab saya tahu suami baru ini boleh menjaga saya hingga ke hari tua. Dalam apa juga keadaan saya perlu dahulukan diri saya.
“Memang anak-anak ada tetapi saya tidak fikir mereka akan menjaga saya hingga ke hari tua saya sebab masing-masing sibuk dan ada tanggungjawab mereka sendiri.
“Betul tekaan saya. Kami hidup bahagia walaupun saya tahu anak-anak tiri saya tiga orang itu tidak suka kepada saya. Mereka bimbang saya akan membolot semua harta ayah mereka yang juga terkenal orangnya.
“Niat saya bukan ingin merampas kasih sayang mereka terhadap ayah mereka, juga tidak kerana harta tetapi kerana inginkan seorang teman hidup. Itu sahaja.
“Saya tidak nampak mereka membenci saya di peringkat awal tetapi setelah perkahwinan kami masuk lima tahun, saya baru sedar bahawa kehadiran saya tidak diterima oleh mereka.
“Macam-macam yang mereka lakukan untuk menidakkan hak saya sebagai isteri ayah mereka walaupun suami amat mengambil berat dan sayangkan saya dan anak-anak saya.
“Mereka pandai berlakon, di depan manis, di belakang mengutuk saya bukan-bukan terutama dalam kalangan saudara mara sebelah suami. Macam-macam cerita buruk tentang saya mereka fitnahkan.
“Duit ringgit yang saya terima daripada ayah mereka sering dipertikaikan. Ke mana saya pergi dengan ayah mereka dan anak-anak saya juga selalu diungkit walaupun ada masanya anak-anak saya mengeluarkan perbelanjaan untuk kami semua apabila pergi bercuti ke mana-mana.
“Suami sedar sikap anak-anaknya mula berubah setelah dia jatuh sakit. Semua hal mereka ingin ambil tahu terutama perjalanan syarikat. Dua daripada anak suami bekerja dengannya, jadi mereka tahu semua urusan perjalanan syarikat milik ayah mereka.
“Menyulitkan keadaan, satu hari suami diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital. Keadaan suami tidak mengizinkan dia untuk terus bekerja. Urusan syarikat berpindah tangan kepada anak sulungnya yang bekerja di situ.
“Saya tidak kisah sebab saya ada pencen untuk dibelanjakan, anak-anak saya juga bukan calang-calang orang, semuanya berkelulusan tinggi. Setakat menjaga saya seorang mereka masih mampu malah tak luak sedikit pun duit mereka.
“Apa yang saya sedih saya tidak diberi hak untuk menjaga suami sepanjang dia dirawat, sekadar dibenarkan untuk melawatnya sahaja. Mereka tergamak menyuruh pembantu rumah menjaga ayah mereka daripada membuka ruang untuk saya berbakti kepada suami ketika dia sedang sakit.
“Walaupun ibu tiri, tetapi saya berhak ke atas suami saya. Sedihnya hati saya Allah sahaja yang tahu sebab anak-anak tiri mengawal saya untuk melawat dan menjaga suami.
“Saya tawakal dan bersabar dengan perangai mereka. Tuhan itu maha adil dan mendengar kesusahan hamba-Nya. Setelah dua minggu dirawat, akhirnya suami meninggal dunia.
“Saya berada di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir bersama anak-anaknya dan juga anak kandung saya. Saya bertekad tidak akan menuntut apa-apa kecuali apa yang mahkamah perintah diberikan kepada saya sebagai isteri arwah.
“Anak-anak saya juga berpesan supaya saya tidak meminta apa-apa sebab mereka boleh bagi saya kemewahan yang saya mahu. Saya tahu anak-anak saya tidak mahu jadi isu kemudian hari.
“Setelah selesai urusan pengebumian, anak-anak tiri saya mengadakan perbincangan. Tak boleh tunggu sehingga saya habis edah.
“Mereka jemput saya sama. Dalam perbincangan itu, saya dimaklumkan yang rumah yang saya tinggal bersama bapa mereka adalah rumah pusaka walaupun terang-terang rumah tersebut diletakkan atas nama saya dan arwah suami (bapa mereka).
“Harta lain akan diberi mengikut faraid dan perintah mahkamah sebab arwah suami tidak membuat sebarang wasiat. Saya tidak banyak cakap, tidak meminta dan tidak memberi pandangan.
“Terserah kepada mereka semua. Bagi saya terima tidak bagi pun saya reda, sebab itu harta bapa mereka. Saya menumpang sahaja walaupun di sisi hukum saya berhak mendapatnya.
“Selesai perbincangan itu saya beritahu mereka saya hendak tinggalkan rumah itu setelah habis edah. Tidak gunanya lagi saya tinggal di rumah itu yang bukan milik saya, lagipun bapa mereka sudah tidak ada.
“Tidak seorang pun membantah. Saya tahu mereka suka saya keluar dari rumah tersebut sebab mereka tidak ikhlas menerima saya sebagai pengganti ibu mereka. Mereka hanya pura-pura baik di depan bapa mereka tetapi mengutuk saya di belakang.
“Saya tidak menyesal menikahi bapa mereka sebab arwah seorang lelaki yang baik dan melindungi saya sepanjang hidup bersamanya.
“Saya kasihankan arwah suami yang tentunya tidak akan tenang di sana disebabkan perangai anak-anaknya. Apa pun saya doakan semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.
“Saya akan teruskan hidup bersama anak-anak menantu dan cucu saya. Malah saya juga berdoa agar satu hari nanti hubungan saya dengan anak-anak tiri akan kembali akrab. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya,’’ sayu Maiza menamatkan ceritanya.
Selesai bercerita saya nampak air matanya mengalir. Saya genggam tangannya dan meminta dia bersabar.
Kata saya, setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, hanya masa yang menjadi penentu. Jangan salahkan diri kerana perkahwinan tersebut, sebab soal pertemuan jodoh dan maut itu ditentukan oleh Allah .
Dari ceritanya, saya yakin Maiza telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak tirinya. Sayangnya kebaikan itu mungkin tidak disedari oleh anak-anak tirinya disebabkan oleh rasa cemburu melihat kebahagiaan ayah mereka dengan ibu tiri.
Sebagai sahabat, saya yakin Maiza akan tabah menghadapi ujian ini. Bersyukurlah kerana Maiza masih ada anak menantu dan cucu yang sangat sayang kepadanya.
Semoga hidup Maiza dilindungi dan dirahmati Allah dunia dan akhirat. Amin.
Menamatkan catatan, pesanan saya, kadang kala Allah tidak memberi apa yang kita mahu tetapi memberi apa yang kita perlu.
Salam
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Isnin, 24 Ogos 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan