Sumber : Kosmo
Tarikh 28/08/2015
KUALA LUMPUR – Suami kepada pengarah dan pelakon, Erma Fatima yang muncul buat kali pertama semalam memberitahu Mahkamah Syariah Gombak Timur bahawa dia enggan bercerai walaupun isterinya itu telah memfailkan tuntutan untuk berpisah pada awal Mei lalu.
Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 51, menyatakan demikian ketika hadir pada prosiding sebutan semula kes tuntutan cerai yang tertangguh dua kali sebelum ini kerana ketiadaannya untuk memberikan keterangan.
“Saya tidak bersetuju dengan perceraian ini,” katanya ringkas apabila ditanya Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang sebelum itu telah menegurnya dengan mempersoalkan tentang kegagalannya menghadirkan diri di mahkamah.
Terdahulu peguam syarie, Jamal Mohd. Sulaiman yang mewakili Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmat, 47, bingkas memohon kepada mahkamah untuk mendengar pendirian Bade selepas anak guamnya terpaksa lama menunggu berikutan kegagalan defendan untuk hadir.Sebaik Bade selesai menyatakan pendiriannya itu, Jamal pantas menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guamnya yang merupakan pelakon dan pengarah filem masih mahu meruskan perceraian ini.
Sehubungan itu, Jamal terus memohon kepada mahkamah agar kes tuntutan cerai oleh anak guamnya selaku plaintif diletakkan di bawah jawatankuasa Pendamai atau diadakan siasatan sama ada wujudnya syiqaq (perselisihan yang berpanjangan dan meruncing antara suami isteri).
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan peguam Erma itu dengan mengarahkan agar kedua-dua pihak diminta mengemukakan wakil masing-masing dalam jawatankuasa tersebut apabila kes tuntutan cerai ini disebut semula pada 7 Okttober ini.
Jawatankuasa Pendamai adalah terdiri daripada seorang pengerusi (pegawai agama) dan wakil daripada setiap pihak suami dan isteri yang bertelagah.
"Tetapi jika kedua-dua pihak mahu menyelesaikan perceraian secara baik sebelum kes ini disebut semula pada 7 Oktober nanti, maka bolehlah mengemukakannya kepada mahkamah," kata Shaiful Azli.
Terdahulu, pasangan suami isteri selebriti ini tiba di mahkamah tepat pukul 2.30 petang dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam secara bersama.
Erma yang memakai jubah hitam dan bertudung manakala Bade yang memakai kemeja berpetak dan berseluar panjang kemudiannya terus menuju ke dewan mahkamah. Mereka kemudiannya meninggalkan mahkamah setengah jam selepas itu.
Pengarah filem Embun itu telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu pada awal Mei lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan