Khamis, 27 Ogos 2015

Manja suami bukan 
serah tanggungjawab

Untuk erat kasih sayang

Bersama Norazman Amat
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 05/08/2015

Nak tergelak pun ada, keliru pun ada. Itulah reaksi tatkala Rohaya (bukan nama sebenar) menceritakan keadaan suaminya. Bahkan mungkin ada yang tak akan percaya bahawa di zaman serba canggih ini, seorang lelaki masih tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan duit di mesin ATM dan mengisi petrol ke tangki minyak kereta.

Awal perkahwinan, bicara Rohaya, dia seboleh-bolehnya cuba memahami keadaan suaminya. Namun kini mencecah enam tahun perkahwinan, keadaan tersebut masih tidak berubah. Katanya, jangan paksa dia melakukan sesuatu yang dia tak tahu.

Alahai pening juga kepala dibuatnya apabila segala urusan yang sepatutnya boleh dilakukan bersendirian oleh suami, tapi tidak mampu untuk dilakukannya. Maka terpaksalah Rohaya menemaninya setiap masa.

Semua ini mungkin berpunca daripada sikap kemanjaan terlampau suaminya terhadap ibu bapanya di zaman bujangnya. Suaminya mengakui, sekalipun dia berkereta untuk pergi ke tempat kerja, tapi minyak kereta akan sentiasa penuh kerana diuruskan oleh ayahnya.

Justeru, dia tidak tahu langsung bagaimana untuk melakukannya tanpa bantuan daripada ibu bapa.

Begitu juga, kad ATM banknya dipegang oleh ibunya. Jadi segala keperluan duitnya, akan diatur oleh ibunya. Bila tiba hari gaji, dia hanya memberitahu ibunya untuk mengeluarkan sejumlah wang yang diperlukan.

Apa yang dia tahu, ibunya telah melakukan segala-galanya termasuklah urusan nafkah Rohaya, pembayaran duit kereta, minyak kereta, perbelanjaan dapur, pakaiannya dan sebagainya. Dia tidak pernah ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang belanja.

Justeru, sebaik berumah tangga, sudah tentu kelakuan si suami mendatangkan rasa pelik pada Rohaya. Pada awalnya, Rohaya hanya menyangka suaminya sekadar ingin bermanja-manja dengannya. Dan Rohaya melayannya.


Bahkan kata Rohaya, dialah isteri yang paling bertuah apabila kad ATM suami, dia yang pegang. Jadi dia tahu berapa gaji suaminya dan berapa duit yang tinggal dalam akaun suaminya.

Namun sehinggalah saat dia hendak bersalin anak sulung, maka kad ATM diserahkan kepada suami dengan harapan, kalau berlaku apa-apa semasa proses bersalin, maka dia boleh menguruskannya termasuklah urusan bayaran kos bersalin. Ternyata, waktu itu wajah suaminya kelihatan gugup. Dia resah dan gelisah. Dan akhirnya satu pengakuan dibuat yang membuatkan Rohaya tercengang-cengang. Seakan tidak mahu mempercayainya tapi itulah realiti yang sedang berlaku.

Dalam keadaan sakit hendak bersalin, terpaksalah Rohaya ‘dicuri’ untuk dibawa keluar sebentar, semata-mata mahu mengeluarkan wang di mesin ATM yang terletak di lobi hospital.

Saat itulah barulah Rohaya sedar bahawa suaminya bukan mahu ‘bermanja’ dengannya tapi sememangnya dia tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kad ATM termasuklah mengisi minyak petrol ke dalam tangki kereta.

Bukan itu sahaja yang suaminya tak tahu. Bahkan boleh dikatakan banyak kerja rumah yang suaminya tak tahu untuk melakukannya termasuklah menukar lampu yang terbakar.

Ternyata apabila keadaan ini berlarutan sehinggalah enam tahun hidup bersama, sudah tentu perkara-perkara remeh sedemikian akan menjadi beban kepada Rohaya.

Ada kalanya, berlaku juga beberapa siri pergaduhan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh. Sikap suaminya yang suka mengadu dan bercerita dengan ibunya membuatkan Rohaya semakin tawar hati untuk terus hidup bersama suaminya.

Rohaya bingung memikirkan apa yang harus dia lakukan untuk ‘memulihkan’ suaminya agar menjadi lelaki yang serba tahu dan tidak hanya bergantung dengan orang lain walaupun isu yang remeh temeh!.

TIP KAUNSELOR

1 Tugas seorang suami amatlah berat sehingga Allah meletakkan tanggungjawab utama dalam kehidupan kepada kaum lelaki.

2 Manakala kehadiran perempuan dalam kehidupan di dunia ini adalah sebagai pelengkap yang akan menyempurnakan keperluan hidup sesuai dengan fitrah kejadian dan peranan yang diciptakan untuknya.

3 Tugas seorang suami dalam rumahtangga lebih bersifat tugasan yang berbentuk fizikal dan mental seperti mencari nafkah dan keperluan keluarga meliputi makan minum, tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan juga keselamatan.

4 Sebaliknya tugas isteri lebih kepada pelaksanaan hidup seperti melahirkan zuriat, menjaga keperluan rumahtangga seperti menyediakan suasana hidup keluarga yang harmoni dan sejahtera.

5 Namun untuk melalui kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran ini suami isteri perlu bekerjasama merancang dan melakukan visi kehidupan mereka bersama-sama.

6 Sebagai ibu bapa pula mereka juga mempunyai peranan yang besar dalam membantu anak-anak membangunkan keluarga mereka kerana anak-anak memerlukan panduan dan pandangan serta pengalaman ibu bapa.

7 Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengurus masalah anak menantu akan membuatkan anak-anak terasa kehadiran ibu bapa sebagai mentor mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman