Rabu, 17 Jun 2015

Cabaran wanita dalam menuntut hak

Terkadang dinafikan hak kerana kegagalan pelaksana

Bersama Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/06/2015

MINGGU lalu saya ke Kuala Terengganu untuk menjadi ahli panel forum bertajuk, “Hak Wanita dan Kanak-kanak: Sejauh mana Telah Kita Capai?” Ada empat ahli panel termasuk saya yang mana setiap seorang menerangkan kedudukan wanita dan kanak-kanak daripada segi hak mereka dan adakah Malaysia telah berjaya memperkasakan hak golongan ini.

Sebanyak 90 peratus peserta adalah wanita dan ada sekumpulan kecil remaja wanita. Persoalannya, apakah dia hak-hak wanita dan kanak-kanak dan sejauh mana kita berjaya menerangkan kepada golongan ini mengenai hak mereka.

Adakah cukup dengan menerangkan sahaja? Adakah hak wanita dan kanak-kanak terus menerus dipijak-pijak, dilanggar dan diabai? Dalam hal wanita dan kanak-kanak Islam, telah sekian lama, kita memastikan wanita dan kanak-kanak mendapat hak mereka.

Dalam hal wanita, haknya sebagai wanita, isteri dan ibu. Hak wanita Islam sangat jelas. Sebagai anak perempuan, ia dilindungi bapa dan ibunya sejak kecil hingga dia berumahtangga. Anak perempuan mempunyai hak mewarisi pusaka tanpa mengira umur dalam bahagiannya tetap iaitu 1/3 daripada bahagian keseluruhan dan jika tiada anak lelaki, anak perempuan berhak kepada 2/3 daripada keseluruhan bahagian.

Ini menunjukkan wanita berhak memiliki harta dan mewarisi harta tanpa mengira umur. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan wanita Barat suatu masa dahulu.

Sebagai anak, ia berhak diberikan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal oleh ibu bapanya dan orang yang wajib memberi nafkah ini ialah bapa.

Jika anak tidak sah taraf sama ada lelaki atau perempuan, daripada segi warisan, mereka mewarisi daripada ibu sahaja dan jumlah yang mereka peroleh adalah sama seperti anak sah taraf yang mewarisi daripada kedua ibu bapa mereka.



Daripada segi nafkah, mereka ditanggung oleh ibu mereka atau waris sebelah ibu. Sebenarnya sebagai kanak-kanak, Islam menggariskan hak mereka daripada dalam kandungan ibu mereka lagi dan sebaik sahaja janin terbentuk.

Islam mengharamkan pengguguran janin tanpa sebab yang kukuh. Malahan jika ibu perlu menjalani hukuman mati, mahkamah akan menangguhkan hukuman sehingga anak dilahirkan. Islam juga membenarkan pembahagian pusaka dibuat setelah anak dilahirkan jika ayahnya meninggal dunia semasa anak dalam kandungan.

Semua ini jelas menunjukkan Islam memberi hak kepada kanak-kanak tanpa mengira jantina dan hak tersebut dihormati dan dilaksanakan.

Bagi wanita, sebagai kanak-kanak perempuan haknya diteruskan sehingga dewasa. Apabila ingin berumahtangga, anak perempuan mempunyai hak memberi persetujuan kepada perkahwinannya. Walaupun bapa sebagai wali juga mempunyai hak memilih calon suami untuk anak perempuan, namun anak perempuan berhak menolak calon suami yang tidak disukainya.

Jika bapa enggan menjadi walinya kerana tidak berkenan dengan calon suami, anak perempuan berhak memohon kepada mahkamah untuk bapa memberi alasan atas keengganannya itu. Jika mahkamah mendapati alasan tidak berasas, mahkamah akan membenarkan pasangan berkahwin dengan wali hakim.

Salain itu, wanita juga berhak kepada mas kahwin atau mahar. Suami wajib menyerahkan mahar kepada isterinya sebagai tanda akad nikah yang telah dilafazkan. Sebagai isteri wanita berhak kepada nafkah semasa berkahwin mengikut kemampuan suami. Nafkah bermakna makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan, perlindungan dan kasih sayang.

Tanggungjawab utama dan pertama seorang isteri ialah mentaati suaminya, menjaga kehormatan diri dan keluarga serta menjaga harta suami dan keluarga. Sebagai isteri, wanita berhak dilayan dengan kasih-sayang, tidak dianiaya atau didera serta dihargai dan dihormati.

Tidak ada di mana-mana dalam Islam yang isteri mesti diperbuat seperti hamba abdi, orang gaji atau diperlakukan sesuka hati. Jika seorang isteri kurang didikan agamanya, maka suami bertanggungjawab mendidiknya.

Apabila menjadi ibu, seorang wanita mempunyai hak tertentu sebagai ibu seperti berhak memelihara anaknya dan menyusukannya. Ibu berhak mendapat hak hadanah mendahului bapa jika pasangan bercerai dan hak tersebut tidak mungkin dapat diketepikan walaupun ibu bertanggungjawab menyebabkan perceraian.

Kemelut kahwin lari

Hak wanita sebagai anak perempuan, isteri dan ibu jelas dalam Islam. Namun dalam beberapa hal, wanita dinafikan haknya bukan kerana mereka tiada hak tetapi pelaksana gagal melaksana dan menghormati hak tersebut.

Misalnya dalam perkahwinan Islam hari ini di Malaysia, ada ibu bapa yang tidak menyetujui perkahwinan anaknya sehingga anak terpaksa ‘kahwin lari’ di negara jiran. Perkahwinan di luar negara boleh membawa pelbagai implikasi.

Ada masanya kerana ia tidak memenuhi syarat maka ia menjadi tidak sah atau ia dilangsungkan oleh pihak yang tiada autoriti untuk melangsungkan perkahwinan tersebut. Ada ramai pasangan yang tidak tahu pernikahan mereka tidak sah kerana jahil ilmu dan sikap ibu bapa yang terlalu ego serta mementingkan nama dan darjat. Tidak kurang juga yang berkahwin kerana berpoligami.

Perkahwinan kedua atau ketiga yang dilangsungkan di luar negara mencabar hak wanita sebagai isteri. Islam tidak mewajibkan suami meminta kebenaran isteri pertama untuk berpoligami, namun Islam mewajibkan suami berlaku adil dan amanah terhadap isteri-isterinya.

Apabila seorang suami berpoligami dengan tidak memberitahu isteri sedia ada, isteri tersebut akan merasa dikhianati kerana lafaz akad nikah yang dibuat adalah atas dasar kasih-sayang dan saling menghormati. Oleh kerana suami mempunyai tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri, poligami boleh menyebabkan nafkah isteri sedia ada terjejas.

Isteri kedua yang dinikah di luar negara juga adalah wanita yang telah melepaskan haknya untuk dinikah secara sah dan teratur. Jika perkahwinan didapati tidak sah, wanita ini juga akan menanggung segala kepahitan dan kesukaran.

Perkahwinan di luar negara perlu disahkan terlebih dahulu sebelum didaftarkan. Jika tidak didaftarkan, isteri kedua hilang locus standi atau hak menuntut di mahkamah di Malaysia. Jika ada anak, anak juga hanya boleh didaftarkan sebagai anak sah taraf dan di’bin’ atau ‘binti’kan bapanya setelah mahkamah berpuas hati bahawa pernikahan itu adalah sah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman