Elak wanita teraniaya selepas bercerai
Oleh : MOHAMMAD YASIR JAAFAR
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 15 Jun 2015
KUALA LUMPUR 14 Jun - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) mencadangkan supaya meminda peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga 1984 dengan mewajibkan pasangan berkahwin meletakkan nama suami dan isteri sebagai penama bersama pemilik rumah.
Presidennya, Musa Awang berkata, sekiranya pindaan itu dilaksanakan, ia akan memberi lebih jaminan kepada kedua-dua belah pihak dalam soal pembahagian harta khususnya terhadap golongan isteri yang tidak bekerja apabila berlakunya penceraian.
“Meskipun undang-undang sedia ada telah memperuntukkan bahawa pembahagian harta itu dilakukan mengikut nilai sumbangan, namun pindaan itu akan memberi lebih jaminan untuk pasangan itu menerima hak masing-masing.
“Kita berharap Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dapat mempertimbangkan cadangan tersebut bagi memastikan tiada mana-mana pihak teraniaya apabila bercerai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun, pindaan itu juga perlu diperincikan dengan memastikan setiap pasangan suami dan isteri itu layak untuk dinamakan sebagai pemilik rumah bersama.
“Sebagai contoh, nama pasangan itu tidak boleh disenarai hitam atau berstatus bankrap selain kelayakan kewarganegaraan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pendaftar JKSM, Mohamad Shakir Abdul Hamid ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini, menyokong penuh terhadap cadangan berkenaan yang secara jelas bertujuan memberi keadilan dan perlindungan khususnya terhadap golongan isteri sekiranya berlaku penceraian.
“Pada kebiasaannya kalau ada pendakwaan di mahkamah dan pasangan itu meletakkan nama suami isteri sebagai pemilik, maka ia akan memberikan perlindungan dan jaminan bahawa kedua-dua mereka mempunyai hak.
“Kalau hanya berdasarkan nama pemilik rumah sahaja dia akan berhak sepenuhnya manakala pihak lain (bukan penama) tidak akan mendapat apa-apa, sekali gus cadangan ini boleh mengelakkan daripada mana-mana pihak teraniaya,” katanya.
Menurutnya, walaupun begitu, berdasarkan hukum syarak sekiranya kedua-dua memberikan sumbangan terhadap rumah yang didiami itu, pihak yang bukan penama masih boleh membuat tuntutan.
“Namun proses tuntutan itu mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi jika sebaliknya di mana suami isteri itu dinamakan sebagai pemilik maka ia lebih terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pegawai Syariah Malaysia, Abu Suffian bin Abu Yaziz pula menjelaskan, ia merupakan cadangan yang baik kerana pelaksanaannya akan membuatkan pembuktian dilakukan dengan lebih mudah dalam mahkamah.
“Apabila timbul pertikaian, bukti itu boleh dikemukakan namun masih tertakluk dengan sumbangan yang dilakukan oleh pasangan suami isteri.
“Peruntukan undang-undang sedia ada tetap akan menilai sumbangan kedua-dua belah pihak tetapi dengan ada pindaan itu ia akan lebih menjamin kedudukan salah satu pihak terutamanya terhadap isteri yang tidak bekerja,” katanya.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan