Rabu, 17 Jun 2015

Memperbaharui hubungan suami isteri

JOM AUDIT DR. MUHAYA MUHAMAD
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14 Jun 2015


Sebenarnya isterilah yang paling kenal atau tahu perangai suami. Isteri tahu apa yang dilakukan suaminya di belakang isteri melalui gerak hati, selain Allah SWT Yang Maha Mengetahui segala yang dilakukan hamba-Nya di dunia ini.

Sebagai isteri hubungan suami isteri ini amat erat, kerana hubungan ini bukan setakat hubungan fizikal sahaja tetapi melibatkan hubungan roh melalui gerak hati. Walaupun usia meningkat, kasih sayang antara suami dengan isteri perlu dipupuk bahkan sentiasa diperbaharui. Banyak suami yang berasa terbiar, apabila usia semakin meningkat, kerana isteri mulai lupa dirinya menjadi isteri, tetapi lebih mengingatkan dirinya sebagai seorang nenek kepada beberapa orang cucu. Sebenarnya semakin tua suami semakin memgharapkan isteri membelai dan menjaganya dengan baik dan kasih sayang.

Kita perlu sentiasa bersyukur dan menghargai keberadaan pasangan kita di sisi kita. Kalau suami imej dirinya negatif, contohnya ego, bererti wajib isteri mempositifkannya dengan cara yang bijaksana. Sebenarnya, seseorang itu menjadi ego kerana kurang harga diri dan keyakinan diri. Tanda-tanda orang yang ego, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain.


Kemarahan akan keluar daripada hati yang suka marah, sebab itu kena pastikan kemarahan itu kerana apa dan kepada siapa? Adakah kita marah kepada diri kita sendiri atau kita marah kepada orang sekeliling kita. Suami biasanya tunjukkan keegoannya kepada isteri, sebab dia tidak boleh menjadi ketua di rumah. Orang lelaki ketua sebab itulah ada egonya.

Isteri yang hendak atasi masalah suami yang ego, dia kena tingkatkan keyakinan diri suaminya. Maka, pandanglah suami dengan kasih sayang dan rasa hormat. Selalu puji dan berikan penghargaan kepada suami. Pujuklah suami, jangan komen atau cuba mengajar suami, kerana keegoannya akan tercabar. Orang berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepadanya, adalah fitrah. Orang berbuat jahat kepada orang yang berbuat baik kepadanya, adalah kejam. Orang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya, adalah sunah. Para isteri kalau kita sabar dengan keegoan dan kezaliman suami, adalah sunah.

Ingatlah untuk menangani dan berhadapan dengan perkara yang negatif, perlu ada kecerdasan emosi. Bagi mengekalkan kecerdasan emosi mesti ada ilmu, amal dan sikap istiqamah. Dari segi emosi, yang perlu ada cumalah kasih sayang, hormat, murah hati, ceria dan banyakkan senyum. Kalau isteri biasanya bermasalah dengan suami yang ego, suami pula biasanya bermasalah dengan isteri yang kuat emosional. Apabila wanita emosional bermakna ada yang tidak kena di hatinya. Jika isteri emosional, suami cuba fahami isteri, layani isteri, hargai isteri, kembali semula melayani isteri seperti mula-mula berkahwin dahulu, yang saling kasih sayang dan menghargai antara satu sama lain. Suami sentiasalah menghargai isteri dan pandanglah isteri sebagai ladang pahala.

Antara suami dengan isteri sikap suka menghargai antara satu sama lain sangat perlu, bagi membugarkan kasih sayang. Kebiasaannya orang Melayu amat sukar mengucapkan pujian, sangat lokek untuk memberikan penghargaan, berat mulut untuk mengucapkan kasih sayang dan berterima kasih. Lebih teruk lagi kalau kita menjadi orang yang tidak tahu mengenang budi. Suami mulakanlah tabiat suka berterima kasih dan memuji isteri. Kalau isteri berasa pelik mungkin dia akan kata suami buang tabiat maka biarkan. Teruskan memuji isteri sebanyak mungkin hingga ia menjadi kebiasaan dalam rumah tangga. Seterusnya sentiasalah berkomunikasi dengan baik dan rasional antara suami dengan isteri.

Para suami sebagai ketua keluarga, tentukan fokus ke arah mana, akhirnya akan dibawa keluarganya; sama ada berniat untuk bersama-sama ke neraka hidup bergelumang dosa dan kemurkaan Allah atau bersama-sama ke syurga berusaha mendapatkan pahala dan keredaan Allah SWT? Bayangkan ke mana keluarga kita hendak dibawa hala tujunya untuk lima atau 10 tahun akan datang? Lakukan solat berjemaah untuk menyambung kasih sayang yang mungkin dirasakan telah renggang.

Menghargai

Bagi seorang isteri pula, kalau suami bersikap tidak boleh bersabar dengan kita, jangan salahkan suami. Pertama, renung diri kita sendiri di manakah silapnya, hingga suami berperangai begitu dengan kita. Kemungkinan besar sikap sabar itu memang sikap suami, tetapi sikap sabarnya hilang apabila beristerikan kita yang tidak penyabar, bercakap kasar dan tidak menghormatinya. Mungkin silap isteri juga, yang asyik mencari kelemahan, kesalahan dan kekurangan suami, hingga tidak nampak kebaikannya, yang menyebabkan apabila kita berada bersama-samanya kita hanya hendak mengutuk dan menghinanya sahaja, sedangkan hendak memujinya susah sangat. Maka sebab itulah suami itu berubah laku, daripada pada awalnya dia seorang yang baik, kini bertukar menjadi orang bersikap negatif dan tidak penyabar.

Sedangkan di pejabat, dia menjaga tingkah lakunya, sebab kawan-kawan di pejabat memujinya; mungkin dia dijadikan contoh teladan, pandangan positif dan puji-pujian ini membuatkan suami semakin hendak menunjukkan kebaikannya dan membuktikan memang dia seorang yang berguna dan boleh diharapkan. Sebab itu aura sangat penting, ada orang pula di rumah dia baik di pejabat pula buruk perangainya. Orang yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran, bermakna auranya tidak kuat. Orang yang tulen, di mana sahaja dia berada, dia tetap sama tidak ada sesiapa dan apa-apa pun yang boleh mengubah perangainya. Kita kena lembut tetapi tegas.

Sebelum salahkan suami, cuba lihat diri kita dahulu, adakah kita seorang isteri yang lemah lembut? Adakah kita menjaga, telinga, hidungnya, mata, hatinya. Kalau isteri menjaga keempat-empat perkara ini akan sentiasalah "berbulan madu" pasangan ini.

Bagi memperbaharui cinta antara suami dengan isteri, disenaraikan tip-tip 7P.

1. PUJI - Setiap pasangan perlu saling memuji dan menghargai antara satu sama lain, terutamanya dalam semua aspek kehidupan, seperti bantu-membantu dalam menguruskan rumah tangga.

2. PELUK – Setiap pasangan suami isteri hendaklah menzahirkan kecintaan melalui pelukan yang mesra antara satu sama lain sekerap mungkin, kerana pelukan menghasilkan kasih sayang yang berterusan.

3. PENGHARGAAN – Sentiasa menghargai pasangan dengan ucapan sayang dan cinta, senyuman dan juga pemberian hadiah.

4. PERHATIAN – Sentiasa memberikan perhatian yang khusus terhadap pasangan, agar pasangan tidak berasa dirinya terpinggir dan diabaikan.

5. PERSEFAHAMAN – Wujudkan suasana yang ceria melalui sikap toleransi terhadap pasangan.

6. PERGAULAN – Menjaga batas-batas pergaulan dengan orang lain bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada keretakan rumah tangga.

7. PERMOHONAN – Sentiasa memohon rahmat dan keampunan kepada Allah supaya hubungan yang terjalin kekal terpelihara sehingga ke akhir hayat.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman