Ahad, 5 April 2015

Saman bekas suami kes rogol anak

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/03/2015

Shah Alam : Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan tuntutan saman kecuaian difailkan seorang ibu terhadap bekas suami dan isteri bekas suaminya selepas anak pasangan itu merogol anak perempuan sulungnya, lima tahun lalu.

Ahli perniagaan wanita berusia 34 yang tidak boleh dinamakan itu, bersyukur kerana selepas dua tahun berjuang untuk anaknya, akhirnya mahkamah membenarkan permohonan tuntutannya.

"Saya gembira ia berakhir. Peristiwa ini amat memberi kesan kepada kedua-dua anak saya (mangsa dan adik lelakinya) kerana mereka kini trauma dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah, mengarahkan kedua-dua defendan (bekas suami dan isterinya) membayar ganti rugi am berjumlah RM150,000 dan ganti rugi teladan berjumlah RM50,000 beserta kos RM20,000.

Mengikut pernyataan tuntutannya, plaintif pertama (ibu mangsa) membawa pulang plaintif kedua (mangsa) daripada jagaan kedua-dua defendan pada Disember 2012.



Pada Jun 2013, plaintif kedua mengadu dia dirogol beberapa kali oleh abang tirinya ketika tinggal di rumah bapanya di Klang antara tahun 2010 hingga Mei 2012. Ketika kejadian, mangsa berusia lapan tahun.

Ada kesan kena rogol

Pemeriksaan kesihatan mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara mangsa selain kanak-kanak itu mengalami kesakitan di bahagian kemaluan serta tekanan emosi dan mental.

Pada Julai 2013, abang tiri mangsa, seorang juvana, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan merogol mangsa.

Plaintif dalam tuntutan mereka menyatakan kedua-dua defendan gagal memastikan keselamatan mangsa di rumah mereka sehingga dia dirogol, gagal mengutamakan keselamatan dan kebajikan mangsa di rumah itu serta menempatkan plaintif di bilik yang boleh dimasuki orang lain melalui laluan bilik air yang dikongsi bersama.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan menafikan anak lelaki mereka merogol mangsa ketika dia tinggal bersama mereka.

Kedua-dua plaintif diwakili peguam, Hazizah Kassim, manakala defendan diwakili peguam P Visnuvarman.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman