Selasa, 31 Mac 2015

Pasangan daftar di JAIPs selepas nikah di Thailand

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015

MUKADIMAH - CINTA sejati atau bakal diperdaya? Itu persoalan yang bermain di fikiran apabila terjadi kes wanita berusia lebih 50-an ditipu suami warga asing yang jauh lebih muda daripada mereka.
MOHD. SOKRI HUSIN

Kes sebegini dahulunya terpencil dalam kalangan masyarakat namun kini semakin ramai golongan wanita berusia 50-an yang menjadi ‘mangsa cinta’ warga asing ini.

Ada antara wanita terbabit mengambil keputusan untuk berkahwin di luar negara seperti selatan Thailand dan perkahwinan itu pula tidak didaftarkan di negara ini.

Apabila terjadi kes seperti wang dilarikan suami atau digantung tidak bertali oleh suami yang pulang ke negara asal, wanita yang menjadi mangsa sukar untuk mendapat pembelaan yang wajar.

Dua minggu lalu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Faizal Razali turut mendedahkan ada kalangan warga asing yang memohon berkahwin itu berumur 20-an hingga awal 40-an dan pasport atau visa mereka hampir luput manakala kebanyakan wanita Malaysia yang menjadi pasangan mereka berumur 50-an.

Susulan itu, hasil tinjauan Utusan Malaysia di negeri bersempadanan selatan Thailand iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan mendapati memang berlaku perlakuan tidak bertanggungjawab warga asing ini terhadap wanita tempatan.  Ikuti luahan wanita terbabit akan untung rugi nasib mereka bersuamikan warga asing ini kepada wartawan SAFINA RAMLI, SHOLINA OSMAN, ZAAIN ZIN dan TUAN AIMUNI TUAN LAH baru-baru ini.

Pada masa sama, diselitkan nasihat dan panduan untuk mengelak insiden ini berulang daripada pejabat agama Islam tiga negeri berkenaan.

‘Jangan sayang suami warga asing 100 peratus’

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015

ALOR SETAR 29 Mac – Cik Su (bukan nama sebenar) berasal dari Sik berusia awal 50-an dan bergelar isteri kepada seorang warga asing yang bera­sal dari Myanmar berusia awal 30-an.

Cik Su semasa menceritakan pengalamannya menjadi isteri warga Myanmar kepada wartawan Utusan, Safina Ramli (kiri), baru-baru ini.

Cik Su mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suaminya yang 20 tahun lebih muda daripadanya kerana mahu menamatkan status janda yang dipegang selama dua tahun sejak suaminya, seorang rakyat tempatan meninggal dunia.

Cik Su yang merupakan seorang peniaga berkata, dia berkenalan dengan suaminya ketika bertugas sebagai tukang masak di sebuah tapak pembinaan rumah.

“Suami saya bekerja sebagai buruh kontrak di situ dan kami berkenalan sebagai rakan biasa sahaja namun lama-kelamaan suami melamar saya.

“Saya setuju kerana saya telah lama menjanda dan dugaan sebagai janda sangat hebat, jadi dengan berkahwin saya rasa lebih selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bahagia walaupun ‘kahwin ekspres’

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015

GUA MUSANG 29 Mac – Tempoh perkenalan singkat selama sebulan dan terus mengambil keputusan untuk berkahwin tidak menghalang keutuhan rumah tangga pasangan Nik Azmarilla Nik Pa, 32, dan Hakim Bara Khan, 46.

Perbezaan latar belakang kehidupan, budaya dan bangsa tidak menjadi penghalang apabila hati sudah dipenuhi dengan rasa cinta serta kini mereka masih kekal bahagia walaupun usia perkahwinan menginjak 12 tahun.

Pasangan itu yang bernikah pada tahun 2003 telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Imramnullah Akasha Khan, 11, Ilhamnullah Asraf Khan, 9, dan Siti Ibtisha Afiqa, 1 tahun 8 bulan.

Berkongsi cerita tentang pertemuan pertama dengan suaminya yang berasal dari Peshawar, Pakistan, menurut Nik Azmarilla, perkenalan mereka pada mulanya adalah sebagai pekerja dengan majikan.

“Saya bekerja di kedai karpet dan perabot milik Hakim di Bandar Lama, Gua Musang. Sikap tanggungjawab dan penyayang yang ditunjukkannya membuatkan saya jatuh cinta kepadanya dalam masa singkat.

“Ternyata saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana setelah sebulan saya bekerja di kedainya Hakim menyuarakan hasrat ha­tinya untuk mengahwini saya,” katanya yang berasal dari Melor, Kota Bharu.

Katanya, dengan penampilan seorang lelaki budiman, Hakim datang berjumpa dengan ibu bapanya dan turut meminta keizinan keluarga yang tinggal di Peshawar.

“Dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak, kami melangsungkan perkahwinan dan sehingga kini kami masih lagi meniti bahagia walaupun kami diibaratkan seperti ‘kahwin ekspres’.

Isnin, 30 Mac 2015

Jadilah isteri yang penyayang

Oleh : Prof. Dr. Muhaya Muhamad
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/03/2015

Mengapakah perlu kita menjadi isteri penyayang dan bagaimanakah hendak menjadi isteri penyayang? Jom audit diri adakah kita memiliki ciri-ciri isteri/ibu yang penyayang? Wanita dikahwini kerana empat perkara. Pertama, kerana rupa parasnya. Kedua, kerana hartanya. Ketiga, kerana keturunannya. Keempat, kerana agamanya. Jika cukup empat perkara ini daripada seorang wanita, insya-Allah dapatlah lelaki atau suami itu seorang isteri yang baik dunia dan akhiratnya. Lelaki yang bijaksana akan menikahi wanita itu kerana kebaikannya; dari segi hati budi dan agamanya. Kebaikan hati budi seseorang itu datang dari hati/jiwa dan rohnya.

Yang membezakan mayat dengan manusia ialah roh. Mayat tidak ada roh tetapi seorang manusia/insan itu ada roh dan jiwanya. Apabila jiwa kita penuh dengan kasih sayang, wajah akan sentiasa tersenyum, dan orang sekeliling akan bahagia. Isteri penyayang itu mestilah seorang yang mampu menyejukkan mata suami memandang, dan menyejukkan hati suami mengenang.

Sebelum menjadi isteri, berkenalanlah dengan bakal suami dan keluarganya. Layanan kita sebagai bakal isteri, iaitu dari segi pertuturan, budi bahasa, adab perilaku kita dengan pasangan kita perlu dijaga dengan baik. Pastikan apa-apa yang kita buat kebaikan sebelum kita berkahwin itu berkekalan, malah menjadi semakin baik setelah kita berkahwin. Sebab apabila berkahwin, sebenarnya kita berkahwin dengan tiga orang. Pertama, kita berkahwin dengan orang yang kita sangka siapa dia. Kedua, selepas kita kahwin baru kita kenal siapa sebenar dia (negatif/positif). Ketiga, siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Sebelum kita berkahwin memang kita kena bersedia, mantapkan akidah, ibadah dan akhlak serta ekonomi kita. Kalau mantap keempat-empat perkara ini, insya-Allah sesudah berkahwin kita akan dapat apa yang kita idamkan, iaitu rumah tangga yang bahagia.

Anakku didera

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/03/2015


“BELA babi lebih baik daripada bela engkau!.” “Astaghfirullah, apa abang cakap ni? Idham kan anak kita. Dia bukan binatang!,” Aina lalu memeluk anaknya yang berusia enam tahun itu. Kanak-kanak kecil itu telah diikat oleh bapanya sendiri, Suparman di tiang rumah yang disewanya itu.

Aina dalam masa yang sama cuba membuka ikatan tersebut tetapi dihalang oleh Suparman. “Kalau kau buka ikatan tu, dengan engkau sekali aku ikat,” begitu tegas Suparman memberi amaran kepada isterinya itu.

Kedua-dua beranak itu saling menangis dan berpelukan. Aina tidak mampu berbuat apa-apa kerana takutkan suaminya yang panas baran itu. Dia khuatir Suparman akan bertindak lebih kejam ke atas anaknya.

Kejadian seumpama itu bukan sekali dua. Bahkan sudah banyak kali. Cuma Aina tidak mengadu kepada sesiapa pun kerana khuatir membuka aib keluarga. Sebagai isteri yang ‘taat’ kepada suami, Aina ada kalanya membiarkan sahaja perlakuan kejam suaminya ke atas anak hasil daripada perkahwinan mereka itu.

“Idham sayang ayah tak?”

“Sayang.”

“Mak?”

“Sayang.”

“Ayah pernah pukul Idham tak?”

“Pernah. Selalu ayah pukul. Ayah ikat Idham. Ayah pukul Idham dengan tali pinggang. Ayah kata Idham babi. Tapi Idham sayang ayah.”

Petah Idham berbicara tatkala dia ditanya dalam satu sesi kaunseling ekoran aduan yang dibuat oleh guru tadikanya yang melihat kesan pukulan di badan Idham. Secara tulus dan jujur, setiap soalan yang diajukan kepadanya dijawab tenang. Namun ada kalanya riak di wajahnya mempamerkan ketakutan apabila dia mula menceritakan ayahnya juga pernah mengugut untuk memukulnya dengan tukul besi.

“Habis simen rumah pecah. Ayah ketuk banyak kali. Ayah juga cuba buat pada Idham. Tapi mak halang,” lagi Idham bercerita membongkar segala ‘rahsia’ yang selama ini tersimpan kemas daripada diketahui oleh sesiapa pun.

Sanggup tinggal dengan bekas kakak ipar

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/03/2015

BIASANYA perpisahan antara suami isteri akan memisahkan juga hubungan antara
kedua-dua keluarga jika tidak kena caranya. Tetapi ada juga yang kekal.

Apapun saya percaya kasih sayang memainkan peranan untuk mengekalkan hubungan tersebut terutama bagi mereka yang pernah menumpang kasih pasangan suami isteri yang terbabit dengan perpisahan.

Inilah yang berlaku kepada Nita (bukan nama sebenar) apabila abangnya berpisah dengan isterinya yang telah menjadi tempat Nita menumpang kasih sejak ibu bapanya meninggal dunia
10 tahun lalu.

Sedih dengan apa yang berlaku, Nita tekad untuk terus tinggal bersama kakak iparnya sebagai membalas jasa dan mengenang budinya menjaga dia sejak sekolah menengah, masuk universiti sehingga sekarang.

Kita ikuti cerita Nita, yang bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Rabu, 25 Mac 2015

Bendung keganasan rumah tangga

Tanpa penguatkuasaan, undang-undang tiada bermakna

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/03/2015

SAYA percaya kita semua membaca kisah seorang isteri cuba menyelamatkan diri daripada bekas suaminya sehingga cedera parah. Wanita malang itu baru sahaja bercerai kali ketiga dengan bekas suaminya itu. Beliau dilaporkan telah terjun daripada kereta bekas suaminya selepas dipaksa naik.

Menurut kisahnya, sepanjang tempoh perkahwinan, wanita itu telah didera hebat malah selepas perceraian pun, bekas suami itu sudah beberapa kali datang ke rumah, menderanya dan cuba membunuhnya.

Peristiwa ini bukan yang kita tonton dalam drama televisyen tetapi adalah satu realiti kehidupan. Secara munasabahnya kita akan terfikir betapa nekadnya wanita ini mengambil keputusan yang sudah pasti membahayakan diri.

Insiden tragis ini membuat kita terfikir kenapa seorang manusia sanggup melakukan kekejaman kepada manusia lain sedemikian rupa. Dalam perkahwinan suami isteri berjanji melalui akad nikah untuk mengambil tanggungjawab bersama.

Suami isteri mempunyai tanggungjawab yang jelas dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ikatan tanggungjawab ini diperkukuh dengan kasih sayang kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: ..dan jadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang... (al-Rum:21)

Persoalan yang sering kita tanya ialah ke manakah perginya kasih sayang dan cinta itu? Mungkinkah pasangan yang dahulunya tidak boleh bernafas atau tidak kenyang jika tidak melihat wajah orang yang dicintainya atau tidak lena tidurnya kerana tidak mendengar suara, namun apabila sudah berkahwin, tiba-tiba menjadi benci.

Apa yang menyedihkan, apabila salah seorang pasangan yang saling cinta mencintai semasa berkahwin itu menjadi ganas dan ada yang sanggup memukul pasangannya yang satu lagi.

Jaga tak nak, duit nak

Bekas suami minta duit daripada anak-anak yang selama ini diabaikan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/03/2015


Duit boleh membuatkan seseorang lupa tanggungjawab dan hilang rasa malu. - Gambar hiasan

Jika diikutkan cerita-cerita seperti ini sudah biasa didengari, malah bagi yang pernah mengalami atau mengetahui cerita seperti ini, sudah tentu bukan satu perkara yang baharu.

Namun, apabila berpeluang berjumpa kawan-kawan lama di sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini, cerita yang sama masih diulang-ulang oleh seorang rakan yang hadir sebagai tetamu pada majlis berkenaan.

Sebagai rakan, kami semua sudah mengetahui Rina (bukan nama sebenar), 55, telah berpisah dengan suaminya sejak 25 tahun lalu akibat perselisihan faham yang berpunca daripada peranan orang ketiga.

Berkahwin awal, iaitu pada usia 19 tahun, Rina akhirnya bercerai dengan suaminya, Borhan, (bukan nama sebenar), selepas 10 tahun berumah tangga.

Setelah bercerai, Borhan kembali mendirikan rumah tangga bersama pasangan baharu setahun kemudian, sementara Rina tidak berkahwin lagi sehingga sekarang.

Rina yang seakan serik dengan peristiwa perceraiannya itu, menjaga dengan baik keempat-empat anaknya.

Isnin, 23 Mac 2015

Isu perkahwinan kanak-kanak

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19/03/2015


MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:


i) Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baru di Malaysia dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini. Perkahwinan Baginda Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah ra tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah ra tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.

ii) Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.


Berpisah tapi hati masih sayang

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 19/03/2015


Apabila keputusan telah dibuat, 
bererti pasangan bersedia hadapi risikonya

FARHAN bingung. Semakin dia memikirkan permintaan bekas isterinya, semakin gundah-gulana dibuatnya. Simpati memikirkan nasib bekas isteri, ada kalanya perasaan Farhan mula tergugat. Bukan dia tidak sayang lagi kepada Najihah. Tapi segala-galanya sudah berlaku. Dan yang pasti apa yang dilafazkannya tidak mampu untuk ditarik balik. Farhan tahu, dia juga tersilap langkah apabila terburu-buru membuat keputusan.

Apa tidaknya, malam itu apabila Najihah memaksanya untuk menceraikannya, keegoannya sebagai suami mula tercabar. Dia menjadi semakin rimas apabila Najihah terus-menerus membuat provokasi kepadanya. Dia tahu, Najihah sebenarnya ingin melihat sejauh mana Farhan sanggup melakukan dan menyahut permintaannya.

Bukan sekali, bahkan banyak kali. Namun sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya, Farhan seboleh mungkin mahu mempertahankan rumah tangga yang dibinanya. Dia tidak mahu, hanya kerana hal yang kecil, dia dan Najihah berpisah. Sekali gus anak-anak akan kehilangan kasih sayang mereka.

Namun sikap Najihah tidak pernah berubah. Cemburunya yang keterlaluan membuatkan Farhan rimas. Biarpun beribu kali Farhan memberikan penjelasan, namun Najihah tetap menolak. Dia terus mencabar ego Farhan.

Sehinggalah pada malam itu, Farhan terus diasak dan dicabar untuk menceraikan Najihah. Bukan dengan talak satu bahkan tiga! Dengan egonya Najihah mengatakan, dia takkan mati kelaparan dan terhegeh-hegeh meraih cinta dan kasih Farhan selepas diceraikan.

Cemburu kemesraan anak, suami

Oleh Hasliza Hassan
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 13/03/2015


SUKA ambil mudah menyebabkan kita sering terlepas pandang atau bersikap sambil lewa sedangkan tanggungjawab adalah kewajipan perlu dilaksanakan. 

Jika tidak, masakan berlaku kes isteri dan anak teraniaya disebabkan suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Sebenarnya, banyak faktor menyebabkan kita gagal menseimbangkan perhatian terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Namun, itu sebenarnya bukan alasan jika kita tahu keutamaan sepatutnya didahulukan.

Lagipun, sebagai umat Islam kita akan dipersoalkan atas setiap tindakan kita. Justeru, sebaiknya setiap tanggungjawab dan amanah dilaksanakan sebaiknya untuk kepentingan diri serta semua pihak di sekeliling kita.

Jangan sampai terlalu leka dengan perkara lain, tugas yang sepatutnya menjadi keutamaan kita lupakan. Itu yang berlaku kepada Zaimah Abdullah, yang sibuk memanjang dengan kerja dalam parti dan persatuan wanitanya hingga tugas sebagai isteri terabai.

Jumaat, 20 Mac 2015

Setia yang sia-sia



Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/03/2015

Bertahun menunggu tetapi akhirnya tidak menjadi

WANITA mana yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi dengan lelaki yang disayangi dan telah dikenali lama. Masing-masing sudah mengenali perangai, hati dan perasaan. 

Bagaimanapun siapa kita yang boleh menetapkan apa yang dirancang. Kita tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat. Itu semua adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Itu yang telah diluahkan oleh Rosnah (bukan nama sebenar) bersimpati dengan nasib yang menimpa anak tunggal perempuannya, kini sudah mencapai usia lebih 30 tahun.

Rosnah ialah ibu kepada dua orang anak, yang sulung perempuan bernama Amirah (bukan nama sebenar) dan yang bongsu Amirul (juga bukan nama sebenar).

Amirah dari kecil merupakan seorang anak yang baik, pintar dan menurut kata. Percakapannya lemah-lembut dan tidak pernah menimbulkan masalah. Rosnah bersama suaminya amat bersyukur kerana dikurniakan anak seperti Amirah.

Katanya, sejak bersekolah rendah lagi, Amirah telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam pelajaran. Setiap tahun namanya tidak pernah ketinggalan untuk menerima hadiah penghargaan kerana mendapat markah tertinggi. Sehinggalah memasuki sekolah menengah, dia tetap menjadi kebanggaan sekolah dan ibu bapanya.

Khamis, 19 Mac 2015

Daftar kahwin luar negara meningkat di Kelantan

Oleh : SITI NURAZLINA 
JAMALUDIN
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/03/2015

KOTA BHARU 17 Mac – Le­bih 100 pasangan di negeri ini membuat pendaftaran perkahwinan luar negara dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dalam tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jaheaik, Mohd. Zawawi Che Hussin berkata, jumlah tersebut menunjukkan trend meningkat memandangkan pendaftaran perkahwinan luar negara bagi sepanjang tahun lalu hanya melibatkan lebih 200 pasang­an sahaja.

“Saya tidak dapat memberi jumlah yang berkahwin di luar negara kerana pasangan terbabit perlu mendapatkan pengesahan pihak mahkamah dahulu sebelum membuat pendaftaran de­ngan Jaheaik.

“Maksudnya, banyak kes yang masih menunggu keputusan pihak mahkamah sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak sebelum membuat pendaftaran.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, lebih 100 pasangan mendaftarkan perkahwinan yang telah mendapat pengesahan pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bilangan pasangan Malaysia bernikah di selatan Thailand meningkat

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/03/2015

KRABI (Selatan Thai) 16 Mac – Bilangan pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thai tahun lepas meningkat dan antara sebab utamanya ialah keinginan berpoligami tetapi menghadapi tentangan isteri atau keluarga.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Faizal Razali berkata, ia membabitkan 3,831 pasangan tahun lepas berbanding 3,485 pasangan pada 2013.

Katanya, statistik menunjukkan peningkatan purata antara 20 hingga 25 pasangan sehari pada tahun lepas berbanding 15 hingga 20 pasangan sehari pada 2013.

Pada Januari dan Februari 2015 pula, sebanyak 675 pasangan telah bernikah di Selatan Thai.

Kira-kira 80 peratus perkahwinan tersebut membabitkan pasangan sesama rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Malaysia dengan warga negara asing terutama lelaki dari negara sub-kontinen, kata Mohd Faizal.

Ahad, 15 Mac 2015

Kepentingan mendaftar perkahwinan

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo
Tarikh : 13/03/2015

PASANGAN yang berkahwin mengikut perundangan di negara ini akan memudahkan pengurusan konflik rumah tangga. – Gambar hiasan



SAYA diundang ke Kabul, Afghanistan baru-baru ini untuk berkongsi tentang pengalaman Malaysia dalam melakukan reformasi undang-undang keluarga Islam. 

Afghanistan boleh dikatakan terkehadapan dalam kanun undang-undang sehingga menjadi contoh kepada negara-negara lain berkaitan isu-isu hak kekeluargaan terutama hak isteri yang tidak diberi perhatian.

Namun, masih terdapat dalam kalangan masyarakat Islam di sana yang mengamalkan tradisi seperti menjodohkan anak-anak sejak kecil dan menjadikan tempoh pertunangan panjang.

Anak-anak tidak mempunyai kebebasan untuk memilih jodoh mereka. Bagi sesetengah keluarga yang mementingkan hubungan kekeluargaan, isu itu boleh menjadi punca pergaduhan dalam keluarga.

Keadaan itu mengingatkan sedikit sebanyak tentang keperluan diwujudkan undang-undang pendaftaran kahwin dan cerai.

Selain penting untuk tujuan pentadbiran dan keadilan, langkah itu dapat memastikan elemen seperti kahwin bawah umur, kahwin paksa atau perceraian dan rujuk yang tidak terkawal dapat dielakkan.

Proses permohonan perkahwinan akan memastikan segala syarat untuk berkahwin dapat dipenuhi.

Akukah yang bersalah?

Oleh :



Akukah yang bersalah?  
Sebagai wanita tentu sekali mengimpikan kebahagiaan dalam rumah tangga. - Gambar hiasan






KALAU awak kasihankan saya sebagai perempuan, tolonglah tinggalkan suami saya. Kalau awak rasa menderita, saya dan anak-anak lebih menderita kerana kehilangan dia.”
Suria merayu dengan linangan air mata. Baru sekejap tadi kami bergaduh dalam telefon macam orang gila. Dia maki hamun saya, dan saya tak kurang juga memaki hamunnya.

Entah macam mana bila mata kami bertentangan, hati saya meruntun hiba. Suria datang dengan wajah pilu sambil mengheret dua anak yang masih kecil. Dia merayu dan menuntut suaminya dikembalikan. Suami Suria, suami saya juga.

Empat tahun kami bermadu, tiada sedetik pun yang merapatkan kami. Hubungan kami berlaku sinis, pedih dan perih. Kami saling berlawan meraih perhatian.

Di hadapan suami kami berlagak baik tapi di belakangnya kami berantakan. Saling bertikam lidah dan mengagungkan kebaikan masing-masing.

Saya peluk Suria erat-erat. Hari itu dalam sejarah. Selama empat tahun bermadu, saya memeluk Suria dengan perasaan penuh luluh dan kasihan.

Sabtu, 14 Mac 2015

Bahana suami penagih dadah

Bahana suami penagih dadah


Gambar hiasan

Oleh : NOR KHALILAH GUSTI HASSAN & WAN AMALIA WAN MOHD DAUD
Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 08/02/2015


BAHANA bersuamikan seorang penagih dadah, akibatnya kekadang tak tercapai dek akal fikiran. Memang tidak waras!” Tegas Rasya sewaktu saya menemuinya baru-baru ini. Intonasinya tegas, penuh penyesalan dan kemarahan.
Rasya (bukan nama sebenar) tidak sekali pun terfikir bahawa keterbukaannya menerima suami yang dikatakan sudah insaf daripada menjadi penagih itu telah menjerat dirinya sendiri. Dia bukan sekadar menjadi hamba seks dan wang suaminya, malah menjadi punching bag suami sendiri sekiranya keinginan tak dipenuhi.

“Hati ikhlas terima dia. Terima kisah silamnya. Konon sebab cinta. Sebab dia dah berubah dan mahu jadi suami yang baik. Tapi hakikatnya itu kebodohan saya. Bodoh sebab cinta...” Sambung Rasya lagi. Kali ini nadanya mendatar, lebih menyerah. Ada air mata mengalir di pipi mulus milik Rasya. Saya memegang bahunya. Sebagai orang luar, saya hanya mampu mendengar, memberikannya bahu untuk bersandar dan meluahkan derita hati yang berolak dan berputar.

“Sepatutnya selepas dia mengaku bekas penagih dadah dulu, saya kena undur diri dan batalkan rancangan perkahwinan. Saya masih belum terlambat. Tapi entah kenapa saya jadi bodoh. Saya abaikan semua ciri-ciri penting seorang suami tanpa fikirkan kesan hari ini. Sungguh menyesal. Sampai mati pun saya akan kesal...”


Rasya, seorang wanita berusia lewat 20 an kini terpaksa menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta bagi menangani masalah tekanan yang teruk atau depressi. Rasya jadi begitu selepas dipaksa untuk turut sama-sama mengambil dadah oleh bekas suaminya dalam tempoh yang lama; lebih-lebih lagi ketika mahu menjalinkan hubungan intim.

Wanita tersebut, yang saya namakan Rasya di kolum ini pernah dirawat di hospital di Kuala Lumpur dan kemudiannya dibawa pulang oleh keluarganya ke negeri Pantai Timur untuk menjalani rawatan alternatif. Dia juga pernah mengalami kemurungan setelah bercerai dengan suami atas campur tangan keluarga yang menyedari perubahan drastik terhadap tubuh dan personaliti Rasya.
Itu kisah Rasya; yang boleh dikategorikan sebagai wanita bernasib baik meski pun terpaksa melalui tempoh tragik sepanjang bergelar isteri dengan seorang bekas penagih dadah yang kemudiannya menjadi penagih semula.

Ramai lagi wanita, dan banyak lagi kisah wanita yang tidak terungkap di luar sana. Barangkali masih belum terbela nasibnya atau masih belum terfikir kesudahan kisahnya dek kerana dihimpit dengan pelbagai faktor dan situasi lain.

Dibenci mertua, adik-beradik suami

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 08/03/2015


HAJAT di hati nak bermenantukan orang Kelantan… Nak buat macam mana, dapat orang Kuala Lumpur…” Kata-kata itu meluncur laju daripada bibir ibu mertua saya saat bersalaman dengan sanak saudara yang hadir pada majlis kenduri kami.
Sungguh saya kecil hati dengan kenyataannya. Kata-kata itu disambut dengan hilai tawa saudara sambil menjeling sepintas lalu ke arah saya yang sibuk melayan tetamu lain.

Tiada majlis bersanding atau upacara bergambar. Sekadar jamuan makan dan tahlil diiringi jamuan makan bersama-sama saudara dan jiran tetangga. Suasana harmonis itu membuatkan saya bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan keluarga yang baik ilmu agamanya berbanding saya, yang tidak bertudung dan jauh lebih sosial ini.

Memang, saya berpenampilan tidak seperti adik-beradik perempuan suami yang bertudung labuh dan berbaju litup kesemuanya. Saya tidak bertudung.

Berpakaian tidak cukup kain dan perang rambutnya. Tapi pada hemat saya ketika itu, saya ada budi bicara dan susila. Saya dididik untuk menghormati orang tua dan saudara seagama.
 

Berkecil hati
Saya amat menitikberatkan soal penampilan dan kerjaya, malah ibu bapa saya seorang yang menjaga kata-kata. Kami adik-beradik diasuh untuk bercakap hanya bila perlu dan tidak suka mengumpat orang sekeliling. Di rumah suami, saya hanya menjauhkan diri daripada orang ramai kerana berasa terasing dan berasa rendah diri apabila diperli.

Jumaat, 13 Mac 2015

Cerai: Yatt Hamzah Mohon Sebulan Bincang Masalah Rumah Tangga

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
Sumber : Mstar
Tarikh : 12/03/2015

KUALA LUMPUR: Pelakon Yatt Hamzah memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis untuk menangguhkan sebutan kes tuntutan cerai yang difailkan terhadap suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor pada awal Februari lalu.

Yatt menerusi peguam syarie, Nuraini Fauzi membuat permohonan itu selepas menyatakan ingin menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi mereka secara baik dan meminta tempoh sebulan untuk berbincang.

Nuraini ketika memberitahu mahkamah, pasangan itu yakin menerusi perbincangan secara mendalam ia dapat membuka ruang dalam menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama enam tahun itu. 


Kes disebut dihadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah. 

Mahmud Abu Bekir Nafi Gagal Laksana Tanggungjawab

Sumber : Mstar 
Tarikh : 18/02/2015


KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib menafikan dakwaan bekas isterinya Shahnaz Abdul Majid bahawa beliau gagal menjalankan tanggungjawab selama 10 tahun perkahwinan mereka.

Mahmud Abu Bekir turut menafikan bahawa tindakannya yang mula tinggal berasingan dengan Shahnaz menjadi punca Shahnaz hilang keupayaan menambah zuriat.

Katanya, beliau tidak berniat melukakan hati bekas isterinya itu, malah pernah memberitahu Shahnaz bahawa beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Shahnaz ingin bercerai (dalam tempoh 10 tahun itu).

"Saya telah bincang perkara ini, kalau beliau hendak bercerai saya tiada masalah untuk benarkan tetapi dia tidak mahu bercerai.

"Saya tiada niat untuk seksa dia (Shahnaz) malah beberapa kali saya bertanyakan perkara ini (cerai) kepada dia (Shahnaz). Perkara ini dah lama," kata Mahmud Abu Bekir dalam perbicaraan kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan Shahnaz.

Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 22.
 

Khamis, 12 Mac 2015

Tuntutan nafkah: Mahkamah Syariah perlu tegas

Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 11/03/2015

KUALA LUMPUR - Mahkamah Syariah perlu bertindak lebih tegas dan adil dalam mengendalikan kes-kes berkaitan tuntutan nafkah, khususnya melibatkan wanita yang telah bercerai dan mempunyai anak, demikian menurut seorang penganalisis. 
 
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, antara kelemahan sistem Mahkamah Syariah pada hari ini ialah kes bekas suami enggan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak pada waktu dan kadar yang ditetapkan.
 
Katanya, mahkamah seharusnya boleh mengeluarkan arahan tindakan lanjut kepada pihak majikan bekas suami untuk melakukan pemotongan gaji bagi tujuan nafkah anak. 
 
"Apakah tindakan Mahkamah Syariah sekiranya bekas suami gagal membayar nafkah pada kadar sepatutnya atau tidak membayar secara konsisten? Mengapa tiada kerjasama dan penyelarasan antara mahkamah syariah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan majikan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perkara ini? 
 
"Apabila ada penyelarasan antara ketiga-tiganya, JPA (dalam hal melibatkan penjawat awam) boleh bertindak terus dengan membuat potongan gaji bulanan bekas suami untuk diberikan kepada bekas isteri sebagai nafkah (bekas isteri dan anak). PDRM pula perlu bertindak sekiranya bekas isteri membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya kepada Bernama. 
 

Selasa, 10 Mac 2015

Tidak tunai tanggungjawab selaku isteri

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 15/02/2015


Saya mempunyai beberapa soalan berkaitan tanggungjawab isteri.

Pertama, apakah hukumnya jika seorang isteri tidak menjalankan tanggungjawab sepenuhnya seperti menjaga makan, minum dan pakaian suami?

Kedua, apakah hukumnya jika isteri suka mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suami?

Ketiga, apakah hukumnya jika suami memberikan nafkah zahir seperti wang sekadar mencukupi kepada isteri kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang?

Keempat, apakah hukum suami membiarkan isteri yang nusyuz tanpa mendapat sebarang layanan bertahun-tahun lamanya, dan hanya memberi nasihat tetapi tidak diendahkan isteri?

Terakhir, apakah hukum isteri yang nusyuz? Adakah layak baginya menerima hak suami seperti wang dan sebagainya?

SHAMSUL, Batu Gajah, Perak


Tanggungjawab dalam rumah tangga terbahagi kepada tiga iaitu tanggungjawab suami, tanggungjawab isteri dan tanggungjawab bersama.

Hukum nikah gantung

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 15/02/2015


Apakah yang dimaksudkan dengan nikah gantung? Apakah hukumnya dan cara pelaksanaannya?

AZRIL, Raub, Pahang

Hukum nikah gantung adalah sah selagi menepati rukun nikah iaitu suami, isteri, saksi, wali dan akad.

Pada adat Melayu, mereka menikahkan pasangan lelaki dan perempuan tetapi tidak diizinkan bersama atas sebab tertentu yang dibenarkan syarak berdasarkan kemampuan pasangan melaksanakan tanggungjawab.

Nikah gantung bolehlah diistilahkan nikah khitbah seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika menikahi Aisyah RA.

Isnin, 9 Mac 2015

Hantar mesej ugut cerai isteri

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 01/03/2015


Saya berselisih faham dengan isteri lantas menghantar mesej berbunyi: “Saya dah membuat keputusan untuk menceraikan awak nanti, cuma saya memerlukan kekuatan untuk melaksanakannya.”

Soalannya, adakah lafaz itu boleh menjatuhkan talak? Jika tidak jatuh, adakah saya perlu menceraikan isteri nanti kerana dalam mesej saya mengatakan demikian? Niat saya ketika menghantar mesej itu bukan mahu bercerai ketika itu juga.

Bagaimana pula jika saya tidak jadi menceraikan isteri? Malah, isteri turut bertanya saya sama ada jatuh talak atau tidak.

Oleh kerana was-was dengan mesej itu, saya mengatakan kepadanya saya sudah melafazkannya, sedangkan saya sendiri tidak tahu adakah mesej itu membuatkan jatuhnya talak atau tidak.

Adakah dengan mengatakan saya sudah melafazkannya membuatkan talak itu jatuh, sedangkan niat sebenar saya tidak mahu menjatuhkan talak ketika itu?

FAUZI, Melaka

Kuasa menceraikan isteri terletak pada suami. Berdasarkan mesej yang dihantar, ia menunjukkan saudara mengugut mahu menceraikannya pada masa akan datang.

Minta isteri simpan gaji demi zuriat

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 01/02/2015


Saya berkahwin pada pertengahan 2014 dan bakal bergelar bapa sedikit masa lagi. Saya dan isteri bekerja tetapi tidak berpendapatan tinggi. Masalah yang saya hadapi sekarang, setiap bulan isteri memberi duit kepada ibu, bapa dan adiknya serta menanggung perbelanjaan keluarganya sehingga dia sendiri tidak ada duit perbelanjaan.

Apabila melihat isteri tidak ada duit perbelanjaan, saya memberi sedikit wang kepadanya sedangkan gaji saya hanya cukup makan. Boleh dikatakan setiap bulan saya meminjam wang daripada kawan untuk perbelanjaan.

Sepanjang perkahwinan, kami langsung tiada duit simpanan. Oleh kerana risaukan masa depan, saya meminta isteri menghentikan pemberian wang kepada keluarga, sebaliknya disimpan untuk kegunaan zuriat yang bakal lahir.

Untuk pengetahuan ustaz, saya dan isteri tingggal di rumah ibu saya dan setiap hujung minggu kami balik ke rumah ibu isteri.

Isteri adalah anak sulung manakala adik lelaki kedua tidak bekerja, jadi saya berpendapat tanggungjawab menjaga keluarga harus dipikul bapa mentua dan adik ipar sendiri, malangnya isteri enggan mendengar nasihat saya.

Mohon ustaz memberi nasihat kerana saya tidak mahu isteri menjadi derhaka. Tindakan ini bukan untuk kesenangan sendiri, sebaliknya kebahagiaan keluarga dan anak yang bakal lahir.

HAMBA ALLAH
Pulau Pinang

Cerita keburukan suami kepada anak

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 01/02/2015


Saya asyik bercerita mengenai keburukan suami demi melepaskan apa yang terbuku di hati dengan anak yang dewasa. Saya tertekan kerana suami selalu mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Adakah saya dan anak berdosa besar? Adakah ini satu daripada punca doa saya tidak dimakbulkan Allah SWT?
MAMA
Meru

Menceritakan sesuatu keburukan walaupun benar dipanggil mengumpat. Menceritakan perkara yang tidak benar pula dipanggil fitnah.

Mengumpat termasuk dosa besar. Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu.

"Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentu kamu semua membenci memakannya." (surah al-Hujurat, ayat 12).

Batasan dengan bukan mahram

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 18/01/2015

Saya mempunyai teman lelaki yang juga anak kepada kenalan keluarga. Setiap kali keluar bersama, kami akan mendapatkan kebenaran ibu bapa dan mereka membenarkannya. Adakah pertemuan seperti ini tidak dibenarkan dalam Islam?

Tambahan pula, kami tidak pernah melebihi batasan agama seperti berpegangan tangan mahupun berduaan di kawasan yang menimbulkan fitnah.

MAS
Masjid Tanah, Melaka

Hukum asal pergaulan lelaki dan perempuan adalah haram, kecuali perkara yang dibolehkan. Walaupun mendapat kebenaran ibu bapa, ia tetap tidak dibenarkan melainkan ada bersama mahram dan jelas terhindar daripada maksiat.

Bertakwalah kepada Allah SWT apabila Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menderita tanggung hutang bekas suami

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 07/03/2015


SETIAP isteri mengimpikan seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan menjaganya sehingga ke akhir hayat. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan isteri hidup bahagia bersama suami dan keluarga masing-masing.

Namun ada juga yang ditinggalkan tanpa sebarang khabar, digantung tidak bertali dan terpaksa naik dan turun mahkamah syariah bagi mendapatkan kebebasan.

Ada juga yang dianiaya suami dengan bebanan hutang dan masalah yang tidak mudah hendak diselesaikan seperti mana yang dilalui oleh pembaca setia ruangan ini yang mahu dikenali sebagai Faizah (bukan nama sebenar).

Kami bertemu dalam satu majlis. Perbualan hampir dua jam merungkai segala kekusutan yang terbuku di hati Faizah. Sebagai penulis, saya berpendapat cerita Faizah sangat menarik dan perlu dikongsi sebagai teladan.

Kita ikuti kisah Faizah

“Saya berusia awal 40-an, pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki yang sudah berumah tangga dan dikurniakan dua orang cucu.

“Saya masih bekerja untuk menyara hidup di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang ibarat kata, cukup-cukup makan dan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya dan anak-anak.

“Kedua-dua anak saya yang sudah berkahwin mempunyai kehidupan mereka sendiri sekarang dan saya hanya menjaga anak bongsu saya yang kini sedang menuntut di universiti.

“Alhamdulillah, kedua-dua anak yang berkahwin juga tidak pernah melupakan saya sejak saya menjadi ibu tunggal tujuh tahun lalu.

Ahad, 8 Mac 2015

Suami baran bisnes merudum

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 28/12/2014


Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata. Di awal perkahwinan, hubungan suami isteri sangat baik. Namun apabila suami mengalami kerugian dalam perniagaan, dia berubah sikap dan menjadi baran sama ada terhadap saya mahupun anak.

Apakah hukumnya jika saya menemui pengamal perubatan Islam untuk mendapatkan air bacaan al-Quran sebagai pelembut hati suami? Adakah perkara ini dibolehkan?

SHIMA
Bentong

Anda perlu memahami konsep perubatan Islam iaitu satu ikhtiar penyembuhan penyakit jasmani dan spiritual berdasarkan hukum syarak oleh orang yang mahir dengan kaedah rawatan (seperti doktor dan pengamal perubatan) dan dilakukan semata-mata kerana Allah (ikhlas).

Konsep perubatan Islam sangat luas. Pelbagai penyakit fizikal atau spiritual boleh dirawat melalui kaedah pengubatan Islam.

Kaedah ini termasuk menggunakan doa tertentu yang diambil daripada al-Quran dan hadis serta amalan al-Salaf al-Soleh. Bahan tertentu yang halal di sisi syarak boleh juga digunakan dalam rawatan ini.

Wanita musafir tanpa mahram berdosa

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 28/12/2014


Saya sudah berkahwin dan bekerja dalam sektor kerajaan. Bidang tugas saya memerlukan saya kerap ke luar negara dan terpaksa meninggalkan suami dan anak di rumah. Apakah hukumnya bermusafir tanpa ditemani mahram?

FARA
Putrajaya

Islam meletakkan wanita di tempat tinggi demi menjaga kemuliannya dan hak mereka. Justeru, syariat sangat mengambil perhatian teliti dalam masalah wanita bermusafir.

Banyak hadis melarang wanita bermusafir lebih daripada dua marhalah, antaranya sabda Rasulullah bermaksud: "Tidak boleh wanita musafir kecuali bersama mahramnya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Janganlah wanita melakukan bermusafir selama tiga hari kecuali bersama mahramnya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Suami ugut cerai jika keluar rumah

Oleh : Dr Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 12/12/2014


Saya ingin tahu berkaitan dengan cerai taklik. Pada satu malam, kami bertengkar kerana atas sebab saya hendak ke rumah keluarga saya, tetapi suami melarang.

Kami bertengkar di depan rumah dan suami melafazkan: "Kalau kau keluar juga, aku ceraikan kau."

Selepas itu saya keluar dari rumah dan keluar dari pagar rumah, lalu suami saya menghidupkan enjin motosikal dan menghantar saya ke rumah keluarga saya.

Dalam situasi ini, macam mana status perkahwinan kami?

Apa hukumnya dan apa yang perlu kami buat?

Rara
Kuala Lumpur

Elak berjauhan terlalu lama

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 19/10/2014


Saya berkahwin dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan. Masalah rumah tangga kami timbul akibat perkahwinan jarak jauh. Saya di ibu kota manakala suami di utara tanah air.

Suami pernah memohon berpindah ke ibu kota namun tiada jawapan daripada pengurusan. Masalah bertambah daripada pihak keluarga mentua yang tidak dapat menerima perkahwinan kami. Saya cuba merapatkan hubungan namun sambutannya dingin.

Lebih menyedihkan, keluarga mentua tidak pernah datang ke rumah kami, malah tidak menziarahi cucu baru dilahirkan. Perkara ini turut menjadi isu dalam rumah tangga dan menyebabkan kami kerap bergaduh, tambahan pula kami berjauhan.

Apa harus saya lakukan untuk menjaga keharmonian rumah tangga?

SITI
Kuala Lumpur

Kehidupan adalah perjalanan menghadapi ujian. Sebenarnya terlalu banyak ujian yang puan lalui namun berjaya mengatasinya dengan tenang.

Sabtu, 7 Mac 2015

Hilang sudah kasih sayang

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/02/2015

Ibu sibuk dengan kehidupan sosial hingga abaikan anak-anak

AMIRUL mengesat air matanya yang tumpah. Tidak mampu lagi untuknya menyekat air jernih yang sekian lama bertakung di kolam matanya. Namun hari ini dia tewas. Hati lelakinya yang keras, menjadi selembut kerak nasi yang direndam air.

Entah apa penghujung kesudahan hidupnya. Hatinya merintih. Mahu sahaja dia membawa lari adik-adiknya untuk keluar dari rumah yang telah hilang sinarnya.

Dulu, kehidupan mereka adik-beradik tidak begitu. Namun sejak ibunya bercerai dengan ayahnya, ibu seakan lupa diri.

Tanggungjawab kepada anak-anak langsung tidak diambil peduli. Soal makan-minum disediakan ala kadar. Soal pelajaran? Sekalipun tidak pernah si ibu bertanya apa perkembangan yang dilalui oleh anak-anaknya.

Lulus atau gagal bukan lagi menjadi urusannya. Pandai-pandailah anak-anak memilih untuk berjaya atau tidak.

Pernah sesekali Amirul menegur sikap ibunya yang lebih mementingkan kehidupan sosialnya bertemu rakan-rakannya daripada ambil tahu tentang anak-anak. Namun ini jawapan yang diterima oleh Amirul: “Engkau apa tahu. Hati aku kosong, sunyi dan kecewa. Pedihnya hanya aku yang rasa. Ini semua salah ayah kamu.”

Hati lelaki Amirul tidak lagi boleh menahan sabar. Selama ini tanggungjawab menjaga adik-adiknya dilepaskan kepadanya 100 peratus.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman