Tiada lagi istilah kes terpencil, kerana keganasan terhadap wanita melangkaui batas sempadan negara, bangsa, agama dan warna kulit. Malah mengikut rekod, sejak 1994, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 3,000 laporan keganasan rumah tangga di seluruh negara setiap tahun.

Kajian yang dilakukan oleh sebuah organisasi bebas bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pula menganggarkan satu daripada 10 wanita menjadi mangsa dera suami mereka.

Kempen Heforshe, yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima oleh semua negara di dunia sempena sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2014, bertujuan mengetengahkan peranan lelaki sebagai pelindung wanita, disifatkan sebagai tepat pada waktunya.


Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dalam konteks lelaki sebagai pelindung wanita, kita dapat melihat bagaimana lelaki hebat di seluruh dunia berjaya dengan sokongan wanita yang dicintainya.
Katanya, kehebatan lelaki terserlah dengan sokongan tidak berbelah bahagi wanita di belakangnya.

Malangnya beliau berkata, masyarakat hari ini sedang menyaksikan keruntuhan peradaban manusia yang menghakis nilai-nilai murni dan pengabaian tanggungjawab oleh lelaki dalam anggota masyarakat.

“Kerakusan segelintir lelaki mengasari kaum Hawa telah menjadikan institusi kekeluargaan semakin hilang kepentingan dan signifikannya dalam sesebuah peradaban. Pengukuhan institusi keluarga perlu dititikberatkan bagi memastikan kaum wanita dilindungi.

“Golongan lelaki perlu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap wanita dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap segala bentuk keganasan dan diskriminasi yang dihadapi oleh golongan wanita.

“Hentikanlah keganasan terhadap wanita. Jangan mencederakan mereka, membuli mereka atau mengasari dan menyakiti mereka. Wanita merupakan kaum Hawa yang dijadikan cukup lembut sifatnya.

“Belailah mereka, berikan kasih sayang sepenuhnya dan hormatilah, cinta dan berlemah lembut dengan mereka. Nescaya mereka akan membalasnya dengan kasih sayang dan cinta yang tiada tolok bandingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2014 di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kempen tersebut, pihak kementerian telah turut menjemput beberapa selebriti tanah air sebagai tanda sokongan atau tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dalam mencetuskan kesedaran supaya keganasan terhadap wanita dihentikan.

Antara selebriti yang terlibat dalam kempen ini ialah Datuk Aznil Nawawi, Fahrin Ahmad, Mark Adam, Tony Eusoff, Chef Zam dan Persatuan Artis Veteran.

Menurut Rohani lagi, di Malaysia masih terdapat segelintir wanita yang kurang bernasib baik dan dilayan buruk tanpa belas kasihan. Oleh itu pada tahun ini, KPWKM telah memanjangkan tempoh kempen kepada 90 hari bermula 2 Oktober lalu hingga 30 Disember 2014 daripada kempen 60 hari pada tahun lalu.

Kata beliau, dalam tempoh 90 hari itu sebanyak 196 program telah dirancangkan dan 165 program telah dilaksanakan sehingga 24 November lalu yang melibatkan seramai 24,289 orang peserta bagi meningkatkan kesedaran umum supaya menghentikan keganasan terhadap wanita dan memberikan kesedaran kepada wanita yang terlibat agar berani tampil membuat laporan bagi mendapatkan bantuan dan pembelaan.

Kempen ini, ujarnya, telah dijalankan secara walk-about di tempat-tempat awam seperti pusat beli belah, stesen LRT, bas, teksi, tempat rekreasi awam dan sebagainya di seluruh negara dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri dan rakan-rakan strategik KPWKM.

“Keganasan terhadap wanita bukan isu terpencil malah merupakan fenomena universal. Wanita terdedah kepada pelbagai bentuk keganasan fizikal, seksual, psikologi dan ekonomi dalam kedua-dua situasi dalam dan luar rumahtangga.

“Data PBB Wanita 2013 menyatakan 35 peratus wanita di seluruh dunia pernah mengalami sama ada keganasan fizikal atau seksual. Peningkatan kesedaran terhadap keganasan terhadap wanita telah menjadikan tarikh 25 November setiap tahun diwartakan sebagai Hari Antarabangsa Menghentikan Keganasan Terhadap Wanita oleh Bangsa-bangsa Bersatu dengan warna tema yang dipilih ialah jingga.

“Tema Orange Your Neighbourhood oleh PBB dengan menekankan aspek break the silence stop the violence yang dipilih oleh KPWKM turut mengajak semua lelaki dan wanita agar tidak lagi berdiam diri apabila berhadapan dengan kes keganasan terhadap wanita.

“Berdasarkan rekod pihak Polis DiRaja Malaysia, pada Januari sehingga September tahun lalu, sebanyak 2,558 kes keganasan rumahtangga dilaporkan berbanding tahun ini yang hanya mencatat sebanyak 3,673 kes keganasan rumahtangga pada tempoh yang sama, iaitu peningkatan yang ketara sebanyak 43.6 peratus pada suku ketiga tahun ini,” kata Rohani.

Tambah beliau, kempen yang dijalankan melalui Jabatan Pembangunan Wanita dan semua agensi di bawah KPWKM telah berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya menghormati wanita dan menghentikan keganasan terhadap golongan tersebut.

Ini dilaksanakan melalui program seperti Program Amanita dengan PDRM, Komuniti Perwani 1Malaysia, Talian Nur 15999, Childline 15999, One Stop Crisis Centre (OSCC), program advokasi seperti Seminar Kepekaan Gender, Literasi Undang-undang, Wanita Anti Jenayah (Waja), Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Gadis, Selamatkan Diri Anda (Sedia), Program Kesejahteraan Emosi dan Program Transformasi Minda.

Beliau berkata, kementerian turut menerima permintaan daripada golongan lelaki supaya diadakan program khusus untuk mereka sahaja kerana mereka mahu pendapat mereka juga didengari. Setakat ini pihaknya telah mengadakan sebanyak tiga seminar untuk lelaki dan seminar yang sama akan diadakan lebih banyak lagi pada masa hadapan.