Tarikh : 26/11/2014
Tidak ada seorang pun berkahwin untuk bercerai atau untuk menderita
RABU lalu saya menjadi ahli panel forum di Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Malaysia di Melaka. Forum tersebut bertajuk, Perkahwinan: Antara Nikmat dan Azab. Bagi saya ia suatu tajuk yang sangat menarik kerana apabila menyebut mengenai perkahwinan, orang jarang bercakap mengenai keburukannya. Yang selalu dibicarakan adalah aspek keindahan dan kemanisan alam rumah tangga.
Hakikatnya, forum itu membangkit persoalan yang sangat menarik tetapi jarang dibincangkan. Perkahwinan adalah sunnah Nabi SAW yang menyatukan individu lelaki dan individu perempuan melalui akad nikah.
Setiap orang yang berkahwin sudah tentu mengimpikan kebahagiaan yang berkekalan hingga akhir hayat. Tidak ada seorang pun berkahwin untuk bercerai atau untuk menderita. Nikmat perkahwinan adalah hidup berkasih sayang.
Ramai yang merasakan nikmat perkahwinan hanya terletak kepada hubungan seksual. Nikmat perkahwinan ialah keupayaan dua insan melayari kehidupan rumah tangga dengan kepelbagaian perbezaan, memahami hak dan kehendak di antara satu sama lain dan melalui suka duka bersama.
Nikmat sebuah rumah tangga ialah melalui proses mengandung dan merasa sakit melahirkannya, melihat ia mula melangkah, langkah pertamanya dan mendengar anak pertama menyebut “mak” atau “papa” atau apa saja yang dia boleh sebut.
Nikmat perkahwinan adalah menyelami hati budi pasangan masing-masing, mendengar keluh-kesahnya apabila ditimpa masalah dan berkongsi kegembiraan. Nikmat perkahwinan adalah apabila menghantar anak ke sekolah di hari pertamanya dan kemudian melihatnya berjaya dari satu tahap ke satu tahap hingga ke universiti. Jika tidak sampai ke universiti, hari gembira ibu bapa ialah melihat anaknya diakadnikahkan.
Setiap orang yang berkahwin tidak terfikir bahawa perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu boleh menjadi neraka dunia. Namun ada perkahwinan yang menjadi azab kepada suami atau isteri. Persoalannya, bagaimanakah sebuah rumah tangga yang dibina dengan rasa cinta boleh menjadi seperti neraka?
Suami pendera
Sebuah perkahwinan boleh menjadi azab kepada isteri jika suaminya seorang pendera. Penderaan isteri bukan fenomena baharu tetapi jarang hendak dibincangkan kerana suatu masa dahulu, ia dianggap sebagai asam garam kehidupan berumah tangga.
Sebelum Akta Keganasan Rumahtangga diluluskan pada 1994, isteri yang didera, hidupnya menderita dan merasa amat malu menceritakan kisah hidupnya kepada orang lain. Baginya penderitaan itu adalah takdir yang tidak dapat ditolak.
Ada yang hidup sebagai suami isteri berpuluh tahun hingga bercerai mati. Ada isteri yang menderita akibat dipukul, diterajang, ditumbuk dan pelbagai penderaan fizikal lain, sehingga ada yang meninggal dunia. Malah ada juga yang menjadi gila kerana tekanan emosi. Ada yang diugut dan hidup dalam ketakutan. Ugutan yang paling kerap diterima ialah diugut untuk dicederakan atau mencederakan anak-anak atau akan disimbah asid atau dibakar dan sebagainya.
Ada kes isteri yang didera akan mendera anak-anak kerana terlalu amat tertekan. Inilah azab perkahwinan. Hanya yang telah melaluinya akan tahu betapa menderitanya hidup mereka dan ia menjadikan mangsa sentiasa berada dalam ketakutan.
Tiada siapa akan menyangka orang yang paling dicintainya sanggup melakukan kezaliman. Ia seperti suatu mimpi ngeri yang ingin dilupakan. Ramai isteri yang terus menderita dan dia tidak berhenti berdoa kepada-Nya supaya ditamatkan penderitaannya. Penderitaan itu akan tamat dengan kematiannya.
Ada isteri terlalu takut untuk membuat aduan atau laporan polis kerana bimbang menjadi isteri derhaka, malu dan tidak mahu suami dikenakan tindakan undang-undang. Tidak kurang juga ramai yang jahil hukum sehingga sanggup menanggung penderitaan dan membawa ke ajalnya.
Ada juga wanita yang menderita dalam sebuah rumah tangga kerana ditinggalkan oleh suami tanpa khabar berita. Suami yang meninggalkan isterinya begitu sahaja adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab dan sangat lemah imannya.
Ada isteri ditinggalkan semasa sedang sarat mengandung, ada yang setelah mempunyai tiga atau lima anak. Ada juga ditinggalkan dalam keadaan yang belum disentuh dan ada yang ditinggalkan suami tanpa sebab atau alasan. Kebanyakan isteri seperti ini, tidak sempat berfikir untuk mempersoalkan kenapa ia ditinggalkan kerana terlalu malu dan merasa rendah diri.
Dirahsiakan
Pada kebiasaannya, kehilangan suami dirahsiakan daripada pengetahuan jiran tetangga dan keluarga. Ada yang terpaksa mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup diri dan anak-anak.
Ramai juga yang kembali semula ke rumah keluarga untuk menjimatkan kos kehidupan. Ada juga yang merasa amat malu sehingga jatuh sakit. Bagi wanita mangsa ditinggalkan langsung itu, penderitaan mental dan fizikal sangat mencabar. Mereka diumpat oleh keluarga dan jiran tetangga.
Neraka dunia ini adalah azab perkahwinan. Ada pelbagai contoh azabnya selepas berkahwin. Ini semua diketengahkan kerana kita jarang bercakap mengenai kebahagiaan sebenar dan nikmat perkahwinan.
Dalam penganugerahan Keluarga Mithali semua ini diambil kira. Keluarga Mithali adalah keluarga contoh untuk menunjukkan nikmat perkahwinan. Mereka melalui suka duka kehidupan bertahun-tahun tetapi tetap bahagia.
Kebahagiaan ini adalah sesuatu yang subjektif. Bahagia orang yang miskin ialah mendapat kemewahan dan bahagia orang mewah ialah mendapat kasih sayang yang tiada penghujung. Keluarga Mithali berjaya membawa sesebuah keluarga dari satu kehidupan yang susah kepada kehidupan yang lebih baik.
Sebenarnya dalam sebuah keluarga yang telah hidup bersama selama 40 ke 50 tahun, nikmat dan azab perkahwinan telah mereka lalui kerana hidup ini adalah ujian daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Bagi yang sabar, perkahwinan akan kekal ke anak cucu, Bagi yang tidak, ia akan terkandas di tengah jalan.
AZAB perkahwinan dalam bentuk penderaan telah banyak dibincangkan. Selain itu, perkahwinan boleh menjadi azab apabila perkahwinan itu diakadnikahkan di luar negara tanpa kebenaran mahkamah syariah.
Yang menderita dalam kes perkahwinan di luar negara ini ialah isteri. Ini kerana, isteri memerlukan surat nikah Malaysia untuk memastikan dia telah bernikah secara sah mengikut hukum syarak.
Perkahwinan di luar negara yang tidak mengikut prosedur boleh mengundang malang, yang mana pernikahan tersebut boleh diisytiharkan sebagai tidak sah kerana ia dilangsungkan oleh sindiket. Lebih menakutkan apabila wanita itu telah hamil dan pernikahan masih belum didaftarkan.
Jika semasa berkahwin, wanita itu tidak memberitahu ibu bapa atau saudara maranya, maka ketiadaan surat nikah serta hamil adalah cabaran paling berat bagi seorang wanita.
Kerisauan ditangkap kerana berzina (kerana tiada bukti perkahwinan) serta disisih oleh keluarga tidak berhenti-henti menghantuinya. Bayangkan dalam keadaan mengandung dan kerisauan, tentulah anak dalam kandungannya juga terjejas emosinya kerana ibunya hidup dalam kerunsingan. Bagi pasangan seperti ini nikmat perkahwinan hanya seketika namun azabnya lebih lama dan berbahaya kepada kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan