Tarikh : 05/11/2014
Kesabaran Zalimah berhadapan dengan sikap dingin suami berbalas
SERONOK dan gembira melihat Zalimah (bukan nama sebenar) yang kini nampak bahagia. Lama berkawan dengannya, saya sudah terbiasa mendengar rintihan dan curahan perasaannya, tetapi saya akui dia merupakan seorang wanita yang kuat, tabah, tidak mudah mengalah dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri serta ibu dengan sebaik mungkin.
Zalimah mempunyai suami yang berjawatan tinggi dengan pendapatan lima angka. Rumah tangga yang dibina atas pilihan sendiri dikurniakan empat orang cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.
Suaminya, Shukri merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. Tidak dinafikan dia memiliki personaliti yang selesa dipandang.
Bagaimanapun, bagi mereka yang mengenali Shukri pasti sukar untuk percaya bahawa dalam keadaan dia yang pendiam dan tidak banyak bercakap, rupa-rupanya masih sempat menjalin hubungan dengan wanita lain di luar.
Pekerjaan Shukri memerlukan dia bertugas di luar kawasan selama dua minggu dan dua minggu lagi di pejabat. Ini bermakna dalam sebulan dia hanya ada di rumah selama dua minggu sahaja.
Oleh itu, Zalimah yang mengambil-alih semua tugas termasuk menguruskan anak-anak seperti menghantar anak-anak ke sekolah, menjemput pulang, menghantar anak tuisyen dan sebagainya.
Segala yang dilakukan oleh Zalimah adalah ikhlas demi keluarga, namun dia merasakan seperti satu tamparan hebat apabila mengetahui bahawa Shukri bermain kayu tiga dan mempunyai hubungan di luar dengan rakan sekerjanya.
Perkara ini diketahui pun apabila suatu hari dia ternampak mesej-mesej berbaur cinta dalam telefon bimbit suaminya. Ketika itu suaminya sedang tidur dan tidak menyedari dia membaca mesej dalam telefon tersebut.
Memang Zalimah sedih tetapi dia cuba sedaya upaya tidak menunjukkan kesedihannya.
Dia berlagak seperti biasa dan tidak bersemuka atau bertanyakan suaminya mengenai mesej tersebut. Suaminya pula selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Sejak itu, Zalimah mula perasaan apabila di rumah, Shukri hanya menghadap telefon bimbit atau komputer ribanya.
Setiap kali balik kerja, suaminya akan mengunci diri dalam bilik hingga berjam-jam sanggup tidak turun makan, katanya ingin berehat sebab penat tetapi saya tahu sebenarnya dia sedang ‘melayan’ telefon.
Sakit hati dan sakit mata tetapi Zalimah cuba bersabar dan menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa.
Dia masih menyediakan makanan yang disukai oleh suami, menemani suami yang mengajak keluar dan sebagainya, tanpa sepatah pun bertanya mengenai mesej-mesej yang dibacanya malam itu.
“Suami pula buat tidak tahu sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Setiap malam, dia akan duduk di luar dan melayan telefon, saya yang menunggunya dalam bilik dia langsung buat tidak kisah. Seperti isteri-isteri lain, saya juga mahukan belaian seorang suami. Sudahlah kami jarang berjumpa, apabila di rumah dia langsung tidak melayan saya.
“Kadang-kadang ke bilik air pun dia akan membawa masuk telefonnya dan berbalas mesej. Saya tahu dia sedang ‘berhubungan’ dengan kekasihnya itu tetapi kerana tidak mahu bergaduh dan bimbang anak-anak terdengar, saya diamkan.
“Perhubungan mereka bertahun juga sampai anak-anak yang semakin membesar perasan mengenai sikap dingin ayah mereka apabila berada di rumah. Bukan sahaja dia buat tak kisah terhadap saya, dengan anak-anak pun jarang bertanya dan berbual.
“Keadaan itu menyebabkan anak-anak seperti tidak menyukainya. Mereka selalu mengelak daripada bercakap dan lebih suka duduk di dalam bilik kalau ayah mereka balik. Jika anak-anak hendakkan apa-apa, mereka akan bercakap dengan saya sahaja.
“Begitu pun, saya selalu memberitahu anak-anak supaya jangan buat macam itu kepada ayah mereka. Kata saya, ayah jarang berada di rumah jadi jangan buat tidak layan dengan ayah atau bermasam muka,” kata Zalimah.
Tambahnya, walaupun hatinya terkilan sikap dingin suami, demi anak-anak yang masih bersekolah, dia biarkan dan berusaha mempertahankan rumah tangganya.
Pernah juga terfikir hanya akan bersabar sehingga anak-anaknya selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memasuki kolej atau universiti.
Waktu itu mungkin kalau suami mahu menceraikannya pun dia tidak kisah. Zalimah juga tidak kisah kalau terpaksa menyewa rumah pangsa, menjual kuih atau menjadi tukang sapu. Biar hidup susah asalkan hatinya lapang. Anak-anak yang waktu itu mungkin telah dewasa sudah boleh memilih jalan hidup mereka sendiri.
Namun tanpa disangka kesabaran Zalimah akhirnya berbalas. Selepas bertahun-tahun hidup dalam ‘dunianya’ sendiri, Shukri tiba-tiba berubah.
Jika selama ini mereka hanya menyewa rumah tetapi entah mimpi apa tiba-tiba suaminya ingin membeli rumah. Rumah yang dibeli pula adalah rumah mewah berharga hampir setengah juta ringgit.
Shukri mengajak Zalimah dan anak-anak berpindah ke rumah baharu. Di rumah baharu ini Zalimah melihat perubahan suaminya semakin ketara.
Jika dahulu suaminya begitu dingin dan lebih banyak mendiamkan diri tetapi kini sudah mula mahu berbual dengannya.
“Jika suami hendak ke mana-mana, dia pasti akan mengajak saya menemaninya. Dia tidak akan pergi jika saya tidak bersama. Sebelah malam pun jika dia teringin hendak minum teh tarik di kedai mamak, dia akan mengajak saya.
“Mungkin dia menyedari kesilapannya setelah melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran dan kesabaran saya selama ini. Saya gembira dan bersyukur dia tidak hanyut dengan perasaannya ingin berkasih walaupun telah mempunyai anak-anak yang semakin dewasa. Sekarang ini dia nampak begitu menyayangi saya dan sanggup bersusah payah demi menggembirakan saya.
“Saya berdoa semoga rumah tangga kami yang pernah diduga ini akan terus aman dan kami sekeluarga hidup bahagia hingga ke akhirnya. Kepada kaum lelaki yang ingin berseronok menjadi seperti orang bujang dan mempunyai kekasih, beringatlah. Jangan sampai kebahagiaan yang susah payah dibina bersama isteri hilang begitu sahaja.
“Kepada para isteri pula, jika boleh bersabar, bersabarlah. Jangan abaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sambil itu, banyakkan berdoa supaya rumah tangga akan terus kekal bertahan sehingga ke akhir hayat,” ujar Zalimah yang kini semakin ceria dan berseri-seri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan