Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain memutuskan demikian setelah Rozana melalui peguam syarie, Majdah Muda mengemukakan sepucuk surat yang dikeluarkan JHEINPP pada 4 Julai lalu, memaklumkan surat perakuan nikah pasangan itu tidak terdapat dalam Daftar Perkahwinan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Pulau Pinang.

Beliau berkata, akuan bersum­pah itu perlu dibuat oleh pihak yang mengeluarkan surat berkenaan jika mahu disertakan sebagai dokumen dalam kes hadanah (hak penjagaan anak) sementara tiga anak pasa­ngan itu.

“Mahkamah tidak boleh menerima ia sebagai dokumen jika tiada perakuan itu kerana bimbang butiran yang sampai kepada saya bukan yang sepatutnya sedangkan ia penting,” katanya semasa pro­siding perbicaraan kes permohonan mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak (ex-parte) yang difailkan Rozana terhadap Awie.


Menurut beliau, pihak responden iaitu Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, juga berhak untuk menilai kesahihan dokumen itu dan mahkamah perlu mengeluarkan sepina terhadap pegawai terlibat untuk memberi keterangan jika pihak responden mempunyai isu berbangkit berhubung dokumen itu.

Rozana, 36, mempertikaikan kesahihan sijil nikah yang dikemukakan Awie dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah hak jagaan sementara terhadap tiga anak mereka lantas membuat semakan kepada JHEINPP bagi mendapatkan pengesahan mengenai sijil nikah itu.

Menurut Majdah, anak guamnya itu telah menerima kiriman surat tersebut daripada JHEINPP pada tarikh berkenaan menyatakan surat perakuan nikah yang dikemukakan Awie dalam permohonannya itu tidak wujud dalam daftar perkahwinan.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan Awie untuk mendapat hak penjagaan sementara terhadap anak-anak mereka, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada prosiding itu, Rozana hadir dengan ditemani ahli keluarganya manakala, Awie juga hadir bersama peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 November ini untuk pihak Rozana memasukkan afidavit akuan bersumpah itu dan menyerahkannya kepada pihak responden manakala 18 Disember ini untuk pegawai JHEINPP memberi ke­terangan di mahkamah jika sepina dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 27 November ini untuk pendengaran permohonan Rozana membatalkan permohonan Awie mendapatkan hak penjagaan kekal ketiga-tiga anaknya.