najibah@iium.edu.my
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 14/11/2014
PERBINCANGAN secara ilmiah mengenai mahar jarang diperkatakan kerana peruntukan undang-undang Islam telah jelas tentang kewajipan membayar mahar mengikut jumlah yang ditentukan atau dipersetujui oleh pihak lelaki dan perempuan.
Bagaimanapun, amalan sekarang yang meletakkan kadar mahar yang tinggi menjadi antara punca kepada kejadian anak muda berkahwin di Thailand. Bayarannya lebih murah dan majlis juga cukup ringkas.
Kitaran sosial ini boleh mengundang banyak masalah terutamanya apabila pasangan tersebut tidak berusaha untuk mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan dengan institusi agama yang berkaitan.
Situasi itu disalah guna sindiket yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tertentu untuk memudahkan urusan pasangan berkahwin khususnya di selatan Thailand.
Ramai wanita yang menjadi mangsa perkahwinan segera ini tidak menyedari tentang masalah yang bakal dihadapi jika suami yang dikahwininya tidak bertanggungjawab menguruskan proses yang sepatutnya dilakukan.
Ada yang terpaksa menghadapi prosiding mahkamah yang sangat panjang dan belum tahu kesudahannya jika perkahwinan tersebut tidak kekal lama, menjadi retak serta mengundang perceraian.
Rukun perkahwinan
Hukum Islam tidak menjadikan mahar sebagai rukun perkahwinan walaupun ada ulama yang menjadikan syarat kepada sahnya sesuatu perkahwinan.
Bagaimanapun, pandangan yang menjadikan mahar sebagai bayaran wajib bertepatan dengan peruntukan undang-undang yang terpakai berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah.
Bayaran ini dibuat sebagai menghargai hubungan insaniah dan penghargaan terhadap kesediaan pasangan untuk menjadi pasangan suami isteri. Wanita juga seharusnya lebih arif tentang perkara ini dan mengambil kesempatan untuk membuat simpanan atau pelaburan yang boleh menjamin masa hadapan.
Dalam kebanyakan kes yang melibatkan perceraian, faktor kewangan merupakan masalah yang paling banyak dihadapi oleh pasangan suami isteri.
Allah berfirman: “Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedaya lagi baik.” (al Nisa:4)
Ayat di atas menjadikan mahar sebagai hak isteri yang mutlak kecuali pihak wanita itu membenarkan dengan rela hati. Perkara ini selalunya tidak difahami oleh masyarakat umum kerana lebih menekankan kepada perbelanjaan menguruskan majlis perkahwinan melibatkan kos yang besar.
Simpanan
Mahar yang sepatutnya menjadi simpanan isteri terpaksa digunakan untuk tujuan membayar hutang lain.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: “Berilah (isterimu itu) sekalipun hanya dengan sebentuk cincin besi.”
Semua mazhab dalam Undang-Undang Islam berpendapat, setiap sesuatu yang mempunyai nilai boleh dinamakan sebagai mahar. Namun, Rasulullah mengehadkan jumlah mahar tidak kurang daripada 10 dirham dan tidak lebih 500 dirham (jumlah yang ditetapkan oleh Rasulullah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuannya.
Apabila jumlah mahar tidak disebut dalam akad perkahwinan, isteri berhak mendapat mahar mithil iaitu jumlah mahar kakak atau ibu saudara sebelah bapa bersesuaian dengan kedudukannya.
Setengah ulama Islam menegaskan, seseorang perlu mengambil kira kedudukan ekonomi isteri, sosial, moral dan intelektual dalam menentukan jumlah mahar.
Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami atau wakilnya kepada isteri di hadapan orang yang melakukan akad dan disaksikan juga oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi.
Biasanya jumlah mas kahwin dibayar mengikut status, kedudukan dan pangkat pengantin perempuan. Namun, ia bukan satu bentuk ukuran yang mesti diikut sehingga menyusahkan pihak lelaki untuk meneruskan ikatan perkahwinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan