Sumber : Berita Harian - Rencana
Tarikh :07/09/2014
Apabila berlaku perceraian, dan ada anak yang masih bawah umur, pada kebiasaannya mereka dijaga oleh ibu. Ia seiring dengan fitrah sifat wanita yang penyayang, pelindung dan mempunyai empati yang tinggi.
Di sisi syariah, kebajikan anak adalah keutamaan sekali pun hubungan suami isteri tidak dapat diselamatkan. Maka, tanpa mengira pihak mana yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak yang terbabit dalam perceraian mana-mana pasangan suami isteri, maslahah anak adalah perkara yang mesti diberikan perhatian serius.
Malah, penjagaan mereka dari sudut emosi sebenarnya perlu lebih dititikberatkan kerana mereka menjadi mangsa dalam konflik ibu bapa mereka.
Justeru, jika dibuat tinjauan, sukar sebenarnya untuk bertemu situasi iaitu ibu bapa yang sudah bercerai, tetapi masih bekerjasama secara erat dalam membesarkan anak dan membimbing mereka ke alam dewasa. Jika ada pihak masih mengekalkan semangat bekerjasama menjaga kebajikan anak sehingga mereka benar-benar boleh berdikari, sudah tentu tidak akan timbul soal tarik tali mengenai keperluan anak dari sudut material.
Hubungan baik
Hubungan baik yang wujud antara anak dengan bapa sebagai orang yang menunaikan tanggungjawab nafkah juga akan mengekalkan kesejahteraan hidup anak yang sedang meningkat dewasa. Anak yang sudah pada peringkat mumaiyiz (sekurang-kurangnya), boleh menyatakan secara langsung keperluan dirinya kepada bapa. Seperti soal pembayaran yuran persekolahan, aktiviti kokurikulum yang memerlukan perbelanjaan, rawatan gigi dan sebagainya.
Pada pengamatan saya, keadaan hubungan antara bapa dengan anak biasanya seiring dengan tahap tanggungjawab bapa terhadap anak. Walau apa pun keadaan hubungan ibu dan bapa yang sudah bercerai. Biasanya bapa yang tidak mahu membina hubungan yang baik dengan anaknya, adalah bapa yang bermasalah dalam pelaksanaan tanggungjawab memberikan nafkah. Di sini bermulanya permasalahan soal nafkah anak.
Lazimnya, apabila isteri sudah membuat keputusan bercerai, ia akan merancang untuk meneruskan kehidupan dengan membawa sekali gus anak ke fasa kehidupan seterusnya. Satu jumlah tertentu akan dinyatakan dalam borang yang merujuk kepada nafkah anak.
Ada juga kalangan wanita yang fokusnya hanya mahu keluar daripada konflik perkahwinan dan penjagaan anak, termasuk perkara yang berkaitan dengan nafkah anak hanya difikirkan selepas ia berjaya keluar daripada kemelut perkahwinannya. Selepas matlamatnya tercapai, baru ia akan bergerak ke langkah seterusnya bagi mendapatkan hak penjagaan anak, termasuk dalam mendapatkan perintah mahkamah berhubung nafkah anak.
Wujud juga kes terpencil dengan si ibu mendapatkan perintah hak jagaan anak secara sementara sekali gus dengan ketetapan kadar nafkah anak yang dijaganya.
Nafkah anak
Sebenarnya terdapat panduan atau formula dalam membuat kiraan ketika menentukan kadar munasabah berkaitan dengan nafkah anak. Umur dan tahap pendidikan anak antara kriteria utama bagi mendapatkan jumlah yang sesuai bagi setiap anak.
Biasanya, ibu yang menjadi penjaga anak ini akan meletakkan satu jumlah tertentu yang pada perkiraannya tidak membebankan bapa. Itu yang lebih menjadi pertimbangannya berbanding menghasilkan suatu jumlah yang benar-benar wajar bagi keperluan setiap anak.
Sesetengah ibu enggan memperuntukkan sebahagian masa mereka untuk turun naik mahkamah, bertarik tali dengan bapa serta tawar-menawar dalam menentukan kadar konkrit dalam hal nafkah anak. Sebabnya menjadi ibu tunggal, walaupun belum secara rasmi, sudah tentu menuntut masa yang banyak bagi menyelesaikan pelbagai tugasan yang terletak di bahu mereka.
Jika bapa boleh diajak berunding dan prihatin terhadap kebajikan anak, saya percaya pihak ibu tidak perlu bersusah-payah membuat tuntutan nafkah bagi anak. Malah, tanpa dipinta sesiapa pun bapa akan sentiasa mengambil berat dan bertanyakan keperluan anak.
Majlis Sulh
Apabila tuntutan dibuat bagi memohon perintah mahkamah, pihak mahkamah akan menawarkan terlebih dahulu Majlis Sulh kepada pihak berkenaan sebagai suatu rundingan secara damai dalam membincangkan jumlah nafkah anak. Ia suatu mekanisme yang bertujuan membantu pihak berkenaan mencapai penyelesaian tanpa melalui prosedur perbicaraan. Secara tidak langsung, ia juga membantu mahkamah dalam melaksanakan fungsinya secara lebih efektif dan cekap.
Kaedah ini bertepatan dengan saranan Sayidina Umar al-Khattab yang antaranya menyebut: "Suruhlah mereka yang bertelingkah supaya duduk semeja agar mereka berunding. Jika hakim memutuskannya, mereka akan saling benci-membenci."
Dalam majlis itu, pihak yang menjaga anak akan meletakkan satu jumlah tertentu yang dirasakannya munasabah untuk dibayar bapa. Pihak bapa barangkali akan bersetuju dengan jumlah berkenaan. Barangkali juga tidak bersetuju dan mencadangkan semula jumlah yang pada perkiraannya mampu untuk dibayar.
Pegawai Sulh dalam majlis ini akan berperanan sebagai perantara antara pihak berkenaan bagi mendorong mereka membina persefahaman berhubung dengan jumlah itu. Memang lazimnya akan berlaku tarik tali antara mereka dan di sini pegawai akan memandu perbincangan ke arah penyelesaian dalam keadaan damai. Jika kedua-duanya gagal untuk bersetuju dengan sebarang jumlah yang dicadangkan, atau cadangan balas oleh pihak satu lagi, maka mahkamah akan mengambil tempat bagi menentukan jumlah nafkah secara pasti.
Kemampuan bapa
Kriteria yang menjadi pertimbangan dalam Majlis Sulh atau mahkamah, sudah tentu kemampuan bapa melunaskan secara konsisten dalam tempoh yang tertentu. Lazimnya sehingga anak mampu mencari sumber pendapatan sendiri. Dalam undang-undang ia ditetapkan sehingga berumur 18 tahun. Atau menurut amalan dibenarkan oleh undang-undang sehingga anak itu mendapat ijazah pertama.
Bagaimanapun, sebenarnya terdapat keciciran dalam hal ini. Walaupun persetujuan yang dapat dihasilkan dalam Majlis Sulh itu mengikat dan perintah mahkamah adalah sesuatu yang wajib dipatuhi. Jika keperluan secara hakiki bagi anak sebenarnya melangkaui kadar kemampuan bapa, maka ibu tanpa sebarang pilihan perlu menanggung baki berkenaan.
Walaupun dalam keadaan jumlah baki adalah lebih besar daripada kemampuan bapa. Mungkin kekurangan itu boleh dicukupkan oleh ibu jika ia mempunyai pendapatan besar. Masalahnya di sini, kelompangan yang berlaku tetap ditanggung ibu sekalipun ia daripada kalangan yang kurang berkemampuan. Sudahlah tugas ibu tunggal yang sedia ada itu berganda kerana tidak mempunyai pasangan yang harus membantu, ditambah lagi dengan tugas mencari pendapatan lebih bagi menampung kekurangan yang wujud.
Ada ketikanya anak yang kematian ayah lebih bernasib baik kerana status anak yatim memberi ruang kepada mereka mendapat pelbagai bantuan. Manakala anak yang ibu bapa mereka bercerai benar-benar menjadi mangsa keadaan disebabkan secara realitinya mereka masih mempunyai bapa.
Maka, perlu difahami persetujuan pihak berkenaan (yang mungkin sebenarnya ibu terpaksa menerimanya secara paksa rela), belum tentu benar-benar menjaga kebajikan anak. Dalam hal ini setiap pihak dalam masyarakat mempunyai tugas supaya keciciran ini dapat ditampung dan anak dapat menjalani kehidupan normal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan