Ahad, 23 November 2014

Darjatnya sama seperti ibu bapa sendiri

Oleh : SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sumber : Sinar Harian 
Tarikh : 21/11/2014

TIDAK dinafikan sekarang ini terdapat ramai pasangan yang mengalami masalah berkaitan penghormatan pasangan terhadap ibu bapa masing-masing.

Kebanyakan masalah yang dialami adalah berkaitan suami yang kurang atau tidak menghormati mertua dan juga kurang mengambil berat perihal mertua. Ini menyebabkan isteri berasa serba salah terhadap ibu bapanya. Sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada penghormatannya terhadap suaminya.

"Daripada sudut pandangan Islam, fokus ketaatan sudah pasti kepada suami selepas ALLAH dan Rasul-Nya. Isteri wajib taat kepada suami sebanyak 100 peratus tanpa sangsi selagi mana ia berlandaskan syariah dan tidak menyelewengkan akidah.

Isteri tidak boleh mengutamakan ibu bapa sendiri melebihi suami.

"Namun sebagai ketua keluarga yang bijak dan beriman, suami harus menunjukkan contoh akhlak yang cemerlang di hadapan isteri dan anak-anak dengan melaksanakan tanggungjawab yang sebenar menurut Islam.

Suami wajib menghormati dan mengambil berat ibu bapa mertua sama seperti dia mengambil berat ibu bapanya sendiri," kata anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi.

Menurutnya, dengan cara begini, isteri dapat memberi fokus mentaati sepenuhnya kepada suami dengan ikhlas. Dengan sifat toleransi daripada pihak suami sebeginilah dapat membawa kehidupan berkeluarga dengan lebih tenang dan harmoni.

Isteri apabila mereka berkahwin, tumpuannya hanyalah kepada suami dan anak-anaknya. Siapa lagi yang dapat membahagiakan dirinya jika bukan suaminya.

Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud: "Marilah Kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: "Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa…" (Surah al-An’aam: 151)

Dia berfirman lagi: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israa’: 24)


Harmoni, taat ibu bapa  & mertua

Rumah tangga mana yang tidak dilanda badai, namun apabila ALLAH menyuruh kita bersabar, bersabarlah kerana hikmahnya terlalu besar. Sebaik berlangsung sesebuah perkahwinan itu, secara automatiknya kita mendapat ibu bapa mertua.

Seandainya wanita itu meletakkan suami sebagai individu perlu ditaati selepas ALLAH dan Rasul-Nya, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka mesti menghormati ibu mertua diikuti bapa mertua selepas Dia dan Rasul-Nya.

Sejahtera dan amannya sesebuah rumah tangga bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Pengarah Institut Penyelidikan Zakat Malaysia, UiTM, Prof Madya Dr Ahmad Zaki Abd Latif berkata, suami seharusnya menjaga keharmonian rumah tangga dengan turut mengambil berat dan menghormati mertua. Selain daripada kewajipan yang perlu dilaksanakan, dengan cara ini dapat menggembirakan hati isterinya.

"Sebagai suami mereka harus memahami walaupun mereka menjadi ketua keluarga tetapi mereka juga harus menjaga perasaan si isteri yang sentiasa ada bersamanya menguruskan segala hal ehwal rumah tangga termasuk memberi perangsang semangat untuknya terus memimpin keluarga dengan cemerlang.

"Suami tidak seharusnya membezakan cara ketaatannya kepada ibu bapa sendiri dengan cara ketaatan kepada mertuanya," katanya.

Tambah Siti Fatahiyah lagi, begitu juga dengan isteri, usah berasa sedih seandainya suami tidak mengambil berat kepada ibu bapa isteri. Seharusnya tingkatkan lagi penghormatan kepada suami kerana itu tanggungjawab si isteri," katanya.

"Suami berasa gembira apabila dia dihormati. Tetapi apabila suami tidak dihormati atau berasa isterinya menghormati orang lain lebih daripada menghormati dirinya, perasaannya mudah terganggu dan diketepikan. Ini akan menyebabkan masalah makin besar.

"Sehubungan itu, isteri usah berpanjangan berada dalam kesedihan. Banyakkan berdoa kepada-Nya dan mengerjakan solat sunat dan solat pada malam hari. Insya-Allah, ALLAH sentiasa mendengar dan pastinya memakbulkan doa hamba-Nya," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman