Sudah terang-terang Zalina berlaku curang kepadanya. Sebelum ini, Zaril cuba menepis segala ‘berita’ yang diterima daripada kawan-kawannya. Tetapi setelah Zalina membuat pengakuan akan kecurangannya apabila didesak berkali-kali, dunia Zaril bagaikan gelap seketika.

Selama ini Zaril begitu yakin, isterinya tidak mungkin melakukan kerja gila tersebut. Lebih-lebih lagi, mereka sama-sama telah menempuh kegagalan dalam perkahwinan pertama. 

Tidak mungkin Zalina sanggup melihat perkahwinan kedua yang dibina hancur lagi. Begitu juga Zaril. Biarlah perkahwinan keduanya itu, kekal hingga ke akhir hayat. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah, kehancuran perkahwinan pertamanya sudah cukup membuatkannya menderita.


Tetapi, apakah kerana mahu memastikan perkahwinan keduanya ini juga tidak gagal, Zaril harus merelakan perlakuan maksiat isterinya berterusan berlaku? Begitu tegarnya Zaril - bukan sahaja mendiamkan perlakuan maksiat isteri, bahkan dia seakan sudah hilang akal apabila mengarahkan pula isterinya merakamkan ‘adegan panas’ Zalina bersama kekasih gelapnya itu.

Kata Zaril, kalau itu yang dimahukan oleh Zalina, dia juga mampu melakukan ‘aksi’ yang sama. Dengan syarat, rumah tangga dapat dipertahankan!

Gilakah aku? Suami jenis apakah aku? Bertalu-talu persoalan mengacau pemikirannya. Temannya, Roslan sudah banyak kali menasihatkan Zaril agar menceraikan isterinya. Tidak guna lagi Zaril menyimpan ‘isterinya’ kerana kecurangan yang dilakukan oleh Zalina bukan sahaja menjatuhkan maruah Zaril sebagai seorang suami tetapi melibatkan perkara yang lebih besar, iaitu dosa berzina?

“Zaril, fikirlah masak-masak. Perasaan malu kerana bercerai buat kali kedua hanya hukuman dunia! Tapi malu di hadapan Allah dan balasan yang menanti di akhirat kelak, itu persoalan besar yang harus kau fikirkan.

“Malu hanya untuk seketika tapi hukuman Allah itu kekal selama-lamanya,” begitu nasihat Roslan kepadanya.

Hati Zaril sebak. Mengapa perkara yang berlaku dalam rumah tangga tidak mampu ditanganinya dengan akal yang waras. Ke mana perginya sekelumit iman dalam hatinya. Sanggup mempertahankan perlakuan maksiat hanya mahu mencari kebahagiaan dunia!

“Bertindaklah, sebelum terlambat,” itu nasihat Roslan kepadanya sambil bahu Zaril ditepuk-tepuk bagi menenangkan fikiran dan perasaan temannya itu.

Roslan tahu, Zaril, kawan yang baik. Tapi kebaikan itu tiada nilai di sisi Allah selagi Zaril, terus membiarkan isterinya bergelumang dengan maksiat. Zaril mengesat air matanya. 

“Apakah ini pengakhiran ikatan perkahwinanku...,” getus hati kecil Zaril sambal memeluk anak perempuannya yang berusia dua tahun itu.

DALAM surah ar-Rum ayat ke-21 Allah berfirman yang bermaksud: Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.

Sementara itu, dalam surah an-Nisa ayat 1 Allah menjelaskan yang bermaksud: Wahai manusia bertakwa lah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua daripada jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan...

Dapat difahami daripada kedua-dua ayat di atas, bahawa keharusan perkahwinan di dalam Islam, bukan sekadar memenuhi tuntunan hawa nafsu, bahkan ia perlu disertai dengan sikap kebertanggungjawaban daripada kedua-dua pihak - suami dan isteri dalam memastikan kebahagiaan dan ketenteraman dalam kehidupan akan tercapai.

Jika tanggungjawab ini dapat difahami, maka hak sebagai suami mahupun isteri yang dimanahkan oleh Allah SWT akan dapat disempurnakan sebaik mungkin. Lantas apa jua kemungkaran yang membawa kepada kehancuran rumah tangga dapat dielakkan selagi mana kedua-duanya meletakkan perkahwinan itu sebagai amanah Allah.

Sesuatu yang agak malang apabila dalam sebuah perkahwinan yang dibina di dalamnya wujud unsur-unsur penipuan. Suami yang bertindak menipu atau curang kepada isteri, mahupun isteri yang mempunyai aktiviti ‘gelapnya’ demi memenuhi kepentingan diri masing-masing, selamanya tidak akan merasa bahagia.

Apa tidaknya, setiap saat dan ketika, masing-masing akan diburu dengan perasaan gelisah, cuak, bimbang, khuatir andai tindakan yang dilakukan dihidu mahupun dapat diketahui oleh pasangan. Justeru, di mana letaknya kebahagiaan andai kebimbangan sering membelenggu diri? Apatah lagi, andai perkara yang dilakukan menyalahi syariat Islam.

Kepura-puraan dalam kehidupan bersuami isteri, bukan hanya meletakkan institusi perkahwinan itu gagal, bahkan persoalan yang lebih besar daripada itu ialah melibatkan integriti diri, khususnya apabila dilihat daripada sudut kejujuran. Kejujuran bukan hanya terhadap manusia, bahkan terhadap Allah SWT.

Pentingnya nilai kejujuran dalam Islam sehingga diangkat ke peringkat yang mulia di sisi Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu semua bersikap jujur, karena kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga. (riwayat al-Bukhari)

Hakikatnya kelima-lima kejujuran yang disebutkan, juga menjadi tuntutan dalam mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga. Apa pun berbalik kisah di atas, soal curang dalam perkahwinan bukan perkara baharu. Bahkan, ketika di zaman Nabi Yusuf a.s, akibat daripada godaan syaitan, Zulaikha ‘terlalai’ seketika akan status diri sebagai seorang isteri, lalu telah mendorongnya untuk menggoda Nabi Yusuf a.s.

Namun, keimanan dan ketakwaan Nabi Yusuf terhadap Allah SWT, telah menyelamatkan dirinya daripada perangkap syaitan.

Cerita di atas sekali gus meletakkan, agama adalah paksi dalam mengukur kebahagiaan. Melalui agama, isteri mahupun suami akan menjaga tanggungjawab serta hak masing-masing. Tanpa agama, ibarat rumah yang dibina tanpa tiang, ‘bumbung’nya (kebahagiaan yang menjadi falsafah perkahwinan) mana mungkin dapat ditegakkan.

Tip kaunselor

AMALAN kehidupan yang menyimpang daripada ajaran agama didorong oleh banyak faktor yang menarik dan menolak. Tip kaunselor kali ini memandu pembaca agar perkara dalam kisah yang dipaparkan dapat dielakkan. 

Antaranya:
1. Gejala sosial masa kini terutama yang melibatkan alam perkahwinan atau kehidupan berkeluarga disebabkan oleh faktor pendidikan agama yang amat cetek dan lemah. Perkara ini berlaku bukanlah disebabkan kelemahan pihak lain tetapi persekitaran hidup yang menyimpang daripada ajaran al-Quran dan as-sunnah.

2. Memahami agama dan menunaikan segala syariatnya, melalui proses yang panjang. Ia bukan hanya perlu dipelajari ketika hendak berkahwin, bahkan sejak dari awal kelahiran lagi. Tanggungjawab ini sudah tentu terletak di bahu ibu bapa.

Kerana itu, dalam perkahwinan Islam meletakkan pemilihan calon isteri mahupun suami kepada beberapa kriteria. Antaranya, kerana hartanya, kecantikannya, keturunan dan agama. Namun dalam empat perkara tersebut, Islam meletakkan agama sebagai keutamaan.

3. Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah. Begitu jugalah agama tanpa diamalkan, tidak membawa apa-apa makna. Pincangnya pegangan agama dalam kehidupan, akan membawa kepada kerosakan dalam kehidupan.
Justeru tidak hairanlah, apabila hari ini, suami mahupun isteri hanya berdiam diri, sekalipun maksiat berlaku di depan mata. Lebih malang lagi, apabila kegiatan maksiat dilihat sebagai sumber pendapatan dalam mencari ‘kebahagiaan.’

4. Peranan suami sebagai nakhoda dalam rumah tangga menuntut kebijaksanaan. Kelalaian dalam membuat sesuatu keputusan, akan mendatangkan kemudaratan bukan hanya di dunia, bahkan di akhirat.

Hal ini diingatkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: ...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

5. Hak sebagai suami ialah menegur ahli keluarganya termasuk isteri, yang melakukan kesilapan dengan cara yang berkhemah. Mendiamkan kemungkaran yang dilakukan oleh mana-mana ahli keluarga, bukan bermaksud sporting, sebaliknya dianggap sebagai dayus!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak”. Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”
Berkata Nabi: “Iaitu orang-orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dana nak-anaknya) (riwayat at-Tabrani: Majmaaz-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

6. Pepatah mengatakan, “Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,” begitu jugalah manusia, yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Setiap diri manusia itu ada kelebihan dan kekurangan. Andai sesuatu keburukan itu boleh diperbaiki, maka berusahalah ke arah tersebut. Jangan dibiarkan kudis menjadi nanah. Mudaratnya akan menjadi lebih teruk.
Sebaliknya berusahalah untuk mendapatkan keampunan Allah SWT.