Sedari kecil, dia melihat bagaimana kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh ibu dan adik-adiknya yang masih kecil. Sekalipun ketika itu baru berusia 10 tahun, namun dia cukup faham penderitaan seorang isteri yang ditinggalkan suami tanpa khabar berita.

Ayah Amirul meninggalkan keluarga pada malam itu hanya kerana sedikit pertengkaran. Dari saat itu, maka bermulalah juga episod duka dalam keluarganya. Ibunya seorang suri rumah, pada awalnya hilang arah sebaik ditinggalkan suami. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sehinggalah pada suatu malam, Amirul menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah demi kelangsungan hidup adik-adiknya.

Puas si ibu melarang. Namun dia memberikan alasan, apabila kehidupan agak stabil dia akan meneruskan kembali persekolahannya. Kini enam tahun berlalu. Sepatutnya Amirul berada di tingkatan empat.

Si ibu memujuk agar Amirul kembali ke alam persekolahan. Namun Amirul hanya tersenyum. Bagi Amirul selagi tiga adik-adiknya tidak lepas belajar, selagi itulah kudratnya akan diperah demi kepentingan pendidikan mereka.

Dirinya? Amirul percaya dengan takdir Allah SWT. Untuk apa mementingkan diri andai nasib keluarga terus melarat. Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh ayah. Amirul berazam untuk memastikan ibu dan adik-adiknya tidak lagi dikecewakan.

Bagi Amirul sekalipun bekerja sebagai pembantu kedai, namun dia bangga. Walaupun gaji tidak sebesar mana, adik-adiknya tidak kelaparan. Yang pasti, dia mahu ibunya terus kuat dan tidak patah semangat. Dia tidak sanggup melihat setiap malam, ibunya menangis setelah adik-adiknya masuk tidur.

Dia tahu semua itu. Tapi dia tidak akan sesekali menceritakan keperitan keluarganya. Prinsip Amirul mudah. Anak jantan perlu kuat. Anak jantan perlu menjadi pelindung keluarga. Namun dalam ‘kekuatan’ diri yang diperoleh, hanya satu kelemahan yang sukar untuk ditangkis. Dia benci ayahnya yang menjadi punca dia berhenti sekolah dan ibu serta adik-adiknya hidup susah. 


BERKORBAN apa saja, harta atau pun nyawa. Itulah kasih mesra sejati dan mulia”. Tatkala penulis sedang mencoret catatan ini terdengar lagu nyanyian Tan Sri P.Ramlee sedang berkumandang di corong sebuah stesen radio. Begitu terusik hati penulis kerana mengenangkan sebuah kisah keluarga yang amat terkesan sekali.

Paparan kisah minggu ini bukanlah cerita baharu dalam masyarakat namun jarang untuk kita memahaminya kerana ia tidak berlaku kepada diri dan keluarga kita sendiri. Cuba bayangkan bagaimana tabahnya jiwa raga seorang isteri yang ditinggalkan suami bersama anak-anak yang sedang membesar dan amat memerlukan bantuan untuk segala keperluan. Demikian juga perasaan anak-anak yang masih kecil amat dahagakan kasih dan belaian seorang ayah yang pengasih dan penyayang.

Namun dek kerana perasaan dan fikiran yang berkecamuk ketika itu, keputusan yang dibuat amat pentingkan dirinya tanpa memikirkan masa depan keluarga yang ditinggalkan. Inilah keadaan keluarga yang bakal melahirkan generasi yang pincang jika tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

Malahan sikap bapa yang pentingkan dirinya sahaja membuatkan anak-anak menanggung kesan yang tidak sepatutnya. Inilah nasib seorang isteri dan ibu yang terpaksa membanting tulang pagi dan petang demi sesuap nasi untuk anak-anak yang tersayang.

Dalam situasi ini bukan sahaja ibu terpaksa memikirkan keadaan keluarga, bahkan anak-anak yang masih kecil tetapi sudah memahami kesusahan yang dilalui ibu turut menderita, menanggung bersama apa yang ditinggalkan ayah yang tidak bertanggungjawab. Sudahlah menghilangkan diri tanpa berita isteri dan anak-anak terpaksa menelan segala keperitan untuk meneruskan kehidupan.

Anak-anak menjadi mangsa keadaan sehingga memaksa mereka melakukan semua tugas orang dewasa demi melihat ibu dan adik-adik yang lain tidak kelaparan seharian walaupun terpaksa mengorbankan cita-citanya sendiri. Inilah nasib yang perlu dipertaruhkan oleh anak dan isteri kerana kebaculan seorang lelaki bernama suami dan bapa.

Kesan daripada apa yang terjadi bukanlah menjadi tanggungan sehari dua. Namun ia akan tertanam sehingga ke akhir hayat isteri dan anak-anak semua. Mereka akan menyimpan perasaan dendam dan sakit yang ditanggung sekian lamanya. Walaupun luka kepayahan itu akan sembuh dengan sendiri namun parutnya sentiasa mengingatkan kesakitan yang mereka alami.

Justeru, seorang ayah atau suami yang mempunyai sekelumit rasa tanggungjawab dan amanah Tuhan sedarilah bahawa keluarga bukanlah mengikut apa yang kita rasa tetapi cubalah bayangkan apakah jawapan kita di hadapan Tuhan apabila menghadapi saat kematian.

Setiap tanggungjawab yang kita tinggalkan akan dituntut oleh anak-anak yang tidak berdosa disebabkan perbuatan khianat kita kepada mereka semua. Kesenangan yang kita nikmati di dunia ini mungkin di atas kegetiran anak-anak menghadapi kehidupan yang mereka hadapi. Malahan semua itu tidak dapat ditebus dengan wang ringgit dan kemewahan yang kita miliki.

Fahamilah wahai suami dan bapa sesungguhnya Tuhan tidak akan pernah lupa untuk memerintahkan malaikat-Nya untuk mencatat apa jua kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh kita semasa di dunia.

Isteri dan anak-anak yang sabar, tabah dan tawakal kepada Allah dalam mengharungi ujian dan dugaan Tuhan akan menerima balasan yang setimpal. Sebaliknya suami dan ayah yang lupa tanggungjawabnya di dunia ini pasti tidak dapat melepaskan diri daripada balasan Tuhan kepadanya.

Di saat itu mungkin sudah terlambat untuk melakukan sesuatu kepada mereka kerana segala peluang yang diberikan Tuhan sudah tidak berguna lagi. Padah laku dan sikap kita di dunia hanya akan terampun apabila kita diampunkan oleh isteri dan anak-anak yang tidak berdosa.

Tip kaunselor
SEORANG ibu atau bapa yang matang akan sentiasa memerhatikan keperluan anak-anak sesuai dengan kemampuan mereka untuk menghadapi kerenah dunia yang pancaroba ini. 

Tip kaunselor minggu ini berkongsi maklumat mengenai panduan bagaimana ibu atau bapa memahami keperluan anak-anak secara rohani dan jasmani untuk menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat nanti apabila dewasa.

1. Anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kurniaan ini merupakan hadiah yang kekal selamanya. Bahkan mereka ibarat ‘talian hayat’ yang dapat membantu kedua-dua ibu bapa selagi mereka beramal solih dan taat akan perintah Tuhan.
2. Ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan baik, ganjarannya cukup besar. Bahkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut, “Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-Nya untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Juga untuk seorang.” (riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
3. Anak-anak yang dibesarkan dengan belaian dan kemesraan ibu bapa akan menjadi manusia yang menghargai kehidupan dan mensyukuri pemberian Tuhan dengan kerelaan berkongsi dengan insan lain yang lebih memerlukan.
4. Ibu bapa yang bertanggungjawab sekali-kali tidak akan membiarkan anak-anak menghadapi kesusahan dalam kehidupan kerana setiap anak mempunyai hak yang mesti ditunaikan sepertimana yang diperintahkan Tuhan.
5. Ibu bapa yang leka dengan keseronokan dunia sehingga lupa tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak akan hanya memahami akibatnya ketika tua. Di saat itulah kemesraan anak-anak terhadap mereka pudar sebagaimana pudarnya layanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum itu.
6. Setiap anak yang dilahirkan adalah amanah Allah. Justeru, tanggungjawab mendidik, membesar dan memberikan ilmu agama adalah satu kewajipan. Apatah lagi sebagai seorang ayah, tanggungjawab memberi nafkah tidak akan terputus sehinggalah anak-anak tersebut berkahwin.
7. Dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan, tanggungjawab menunaikan hak anak adalah tanggungjawab bersama iaitu suami dan isteri. Hatta jika berlaku perceraian dalam perkahwinan yang dibina, hubungan di antara bapa dengan anak mahupun ibu dan anak tidak akan terputus. Jangan sesekali tanam rasa benci anak-anak terhadap kita atas kesilapan yang kita lakukan.

Petikan daripada koleksi Senarai Hadis dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
DARIPADA Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu. (riwayat Muslim)
Huraian:
Memperbaiki hati dan niat diutamakan dan didahulukan daripada amalan anggota zahir, kerana niat itu mengesahkan amalan anggota.
Berbuat sesuatu tanpa niat tiada nilainya di sisi Allah.
Amalan-amalan zahir daripada seseorang biasanya mencerminkan keikhlasan dan ketaatannya kepada perintah Allah.
Apabila seseorang itu berniat untuk melakukan perkara mungkar tetapi tidak menzahirkan apa yang diniatkan maka tiada catatan dosa terhadapnya. Sebaliknya jika seseorang itu berniat melakukan kebaikan, ia sudah tertulis pahala untuknya.