Rabu, 5 November 2014

Soal Jawab Isu Keluarga: Selesai semua tuntutan sebelum harta difaraid

Oleh : Rohidzir Rais
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 08/09/2014
Ruangan : Soal Jawab Isu Keluarga


KAMI lima beradik, saya anak yang sulung. Saya mempunyai tiga adik perempuan dan seorang adik lelaki. Siapa paling layak dalam urusan harta pusaka, adik lelaki saya atau saya. Setakat ini atas persetujuan mulut , kami bersetuju beri rumah pusaka pada adik kedua kerana dia tinggal menjaga ibu ketika hayat ibu masih ada dan adik lelaki dapat tanah. Ada satu tanah pertanian tetapi tiada geran yang ditanam dengan getah dan kelapa sawit. Bolehkah saya menuntutnya sebagai anak sulung.
Rafeah Sulung, Tumpat Kelantan

Jawapan:
Faraid dari segi bahasa adalah ketetapan. Dari aspek pembahagian harta ia bermaksud harta pusaka yang ditetapkan syarak untuk ahli waris. Menurut Syeikh Syamsudin Muhammad al-Khatib asy-Syarbini dalam bukunya, Mughni al-Muhtaj, antara perkara yang wajib dilakukan oleh waris terhadap harta si mati adalah:
  • Menunaikan zakat yang belum ditunaikan.
  • Menebus barang gadaian yang belum ditebus.
  • Melunaskan hutang ke atas harta yang ditinggalkan.
  • Membahagikan harta sepencarian dengan pasangannya.
  • Menyelesaikan wakaf yang dilakukan ketika hidup.
  • Menunaikan nazar yang tidak sempat dilakukan.
  • Menunaikan hibah yang lengkap rukun-rukunnya, iaitu pemberian berupa hadiah kepada siapa sahaja yang dikehendakinya tetapi belum sempat diberikan atau dipindah milik.
  • Kos perbelanjaan pengebumian.
  • Menunaikan wasiat yang berkaitan dengan hartanya.

Selepas selesai semua tuntutan yang berkaitan dengan harta si mati, kemudian bakinya difaraidkan kepada waris yang tinggal. 

Faraid adalah ketetapan yang diwajibkan oleh Allah dalam al-Quran. Dalam surah an-Nisa ayat ke-7, 11, 12 dan 176, Allah memberikan garis panduan melaksanakan faraid. 

Antaranya dalam ayat ke-11, Allah berfirman yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang saja, maka bahagiannya ialah separuh harta itu. Dan bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang daripada keduanya seperenam daripada harta yang harta yang ditinggalkan jika si mati ada anak. Tetapi jika si mati tiada anak, sedang yang mewarisinya hanyalah ibu bapanya, maka bahagian ibunya sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa saudara, maka bahagian ibunya ialah seperenam.

"(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya lebih dekat manfaatnya kepada kamu. Ini adalah ketetapan daripada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Dalam kes yang diutarakan ini, sebaiknya tuan dan waris-waris lain perlu memohon pembahagian faraid daripada mahkamah syariah setempat. Pihak mahkamah akan mengambil butiran harta dan jumlahnya dan menetapkan siapa antara warisnya yang layak menerima faraid dan kadar pembahagiannya. Pihak mahkamah kemudian akan mengeluarkan surat rasmi yang menyenaraikan kadar yang diterima oleh setiap waris.

Menggunakan surat ini, saudara boleh kemukakan kepada bank, jabatan tanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mana-mana pihak bagi menuntut harta yang ditinggalkan oleh si mati. Pihak-pihak ini akan mengeluarkan harta atau wang mengikut ketetapan kadar yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah kepada waris secara berasingan. 

Kaedah ini lebih baik bagi mengelakkan tipu daya dan ketidakpuasan hati dalam kalangan waris.

Selepas pembahagian itu, sekiranya waris bersetuju memberikan mana-mana harta seperti rumah pusaka atau tanah kepada waris yang lain, ia boleh dilakukan sebagai hibah. 

Kesepakatan saudara dan adik beradik dalam membahagikan harta pusaka dengan cara perbincangan adalah tindakan terpuji dan patut dicontohi. Dengan cara ini adik beradik yang kurang berada dapat dibantu dengan harta peninggalan ini. Ia juga mengelak berlaku perpecahan dan perkelahian antara saudara.

Berkenaan tanah pertanian yang tidak ada geran itu, pihak saudara perlu berurusan dengan pejabat tanah bagi menentukan status tanah berkenaan. Sekiranya ia milik si mati, tanah itu juga menjadi sebahagian daripada harta pusaka yang perlu difaraidkan dengan adil. Tetapi sekiranya semua waris bersetuju memberikan tanah berkenaan kepada saudara, ia boleh dilakukan.

Pastikan juga harta yang telah difaraidkan seperti tanah dan rumah dipindah milik secara rasmi kepada waris yang layak bagi mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman