Manusia biasanya apabila dalam kesusahan mereka lebih taat kepada Allah SWT. Sering berdoa dan memohon kepada-Nya untuk suatu kehidupan yang lebih baik.

Namun, apabila menjadi senang, manusia cuai akan tanggungjawab kepada Allah SWT yang telah memberi rezeki dan kesenangan itu. Manusia juga sering dihasut syaitan supaya terus mengumpul harta sehingga menjadi tamak dan lupa bahawa semua harta di dunia adalah milik-Nya.

Apabila seorang manusia meninggal dunia, semua harta akan ditinggalkan termasuk anak-anak dan isteri. Tiada apa yang dibawa ke liang lahat kecuali amalan baik serta doa anak soleh.

Persoalannya adakah ketika kita meninggalkan dunia ini, kita telah ada anak yang soleh yang boleh memandikan jenazah, mengkafankan, menyembahyang dan akhirnya mengebumikan kita? Adakah anak kita akan mendoakan kita setiap kali selepas solat tanpa henti? Adakah anak kita akan memberi sedekah atas nama kita daripada harta yang kita kumpul bertahun lama itu?

Beruntunglah seorang manusia jika kematiannya bukan sahaja ditangisi tetapi diiringi doa ikhlas anak-anak cucu-cicit supaya rohnya dirahmati Allah SWT dan dia ditempatkan daripada kalangan orang soleh dan solehah.

Membuat wasiat

Namun realitinya, apabila seorang ibu atau bapa meninggal dunia, biasanya dia meninggalkan harta benda yang akan diwarisi oleh isteri atau suami serta anak-anak.


Orang Islam di Malaysia sangat kurang membuat wasiat sebelum meninggal dunia. Kebanyakan orang Islam meninggal dunia tanpa wasiat. Apabila meninggal dunia tanpa wasiat, maka sukar diuruskan harta pusaka.

Keluarga Melayu Islam juga menganggap perbincangan mengenai harta pusaka memperlihatkan perangai tamak dan tidak sabar. Biasanya jika ayah meninggal dunia dan ibu tidak bekerja, tanggungjawab menanggung ibu dan adik perempuan yang belum berkahwin jatuh ke bahu anak lelaki yang telah dewasa atau adik atau abang si mati. Jika ayahnya masih hidup, ayahnya iaitu datuk kepada anak-anaknya boleh membantu menanggung cucu-cucu.

Namun, pengurusan harta pusaka perlu dibuat kerana jika tidak, banyak masalah akan dihadapi.

Jika harta si mati kurang daripada RM2 juta, permohonan tadbir pusaka boleh dipohon daripada Seksyen Pusaka Kecil, Pejabat Tanah atau Amanah Raya. Manakala, jika harta melebihi RM2 juta maka permohonan tadbir pusaka hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi.

Hanya selepas mendapat surat tadbir pusaka, pentadbir akan memohon kepada mahkamah syariah untuk sijil faraid. Selepas mendapat sijil faraid, maka harta pusaka akan dibahagi-bahagikan. Ini adalah kes paling mudah dan berakhir dengan aman damai.

Biasanya kes seperti ini membawa kepada lebih satu tahun. Jika pusaka lambat diuruskan ia akan mengambil masa yang lama. Ada juga keluarga yang membiarkan pusaka tidak dibahagikan kerana ibu masih hidup dan agak sensitif apabila ditanya mengenai harta.

Seandainya ditakdirkan salah seorang anaknya meninggal dunia sebelum harta sempat dibahagikan, maka anak tersebut masih berhak dan haknya akan diwarisi pula oleh anak dan isterinya. Ini yang kita sebut sebagai pusaka berlapis.

Jika si mati meninggalkan harta jutaan ringgit tetapi tidak dapat diselesaikan kerana waris sukar dikumpul dan ditemui, maka harta akan berterusan berada di tangan pentadbir pusaka.

Ini tidak termasuk sekiranya timbul bantahan waris atau tidak hadir dan tidak menurunkan tandatangan memberi persetujuan, bagaimana harta patut diuruskan, maka akan lebih lama harta itu berada di tahap ‘tergantung’ dan tidak bergerak ke mana.

Akhirnya, tiada siapa yang akan mendapat manfaat daripadanya dan si mati merintih di kuburnya kerana timbul perbalahan. Ada keluarga yang tidak bertegur sapa kerana harta, ada yang membenci dan mencaci antara satu sama lain kerana harta.

Isu perbalahan

Jelasnya harta ini seperti api, kecil menjadi kawan, besar menjadi lawan. Alangkah baiknya jika si mati membahagikan hartanya terus kepada waris semasa ia masih hidup. Ini dapat menyelesaikan isu perbalahan.

Namun orang Melayu Islam sering melihat pembahagian harta semasa pemilik masih hidup adalah sesuatu yang tidak baik. Ramai ibu bapa takut jika harta diberi semasa mereka hidup, anak-anak akan membiarkan mereka di hari tua kelak.

Sebenarnya zaman sekarang ini, telah ada ibu bapa yang dibiarkan di hospital kerana anak-anak terlalu sibuk bekerja dan berkeluarga. Malah tidak kurang juga yang dihantar ke rumah warga tua.

Ada anak-anak yang menjual semua harta peninggalan ayah mereka termasuk rumah keluarga dan hasil jualan tersebut dibahagikan mengikut faraid. Kesian seorang ibu yang terpaksa melepaskan rumah yang dia biasa tinggal tetapi hanya diberikan duit nilai haknya 1/8 daripada pusaka suaminya. Biasanya sebagai ibu dan isteri, dia tidak memohon hak harta sepencarian daripada pusaka suami kerana ia mahu hak anak-anak menjadi lebih besar.

DALAM satu kes, apabila anak-anak menjual rumah perkahwinannya, seorang ibu terpaksa berpindah-randah dari satu rumah ke satu rumah anak yang lain. Akhirnya, dia (ibu) terpaksa mencari perlindungan dan mendapat ketenangan di rumah warga tua.

Ada juga kes pewarisan yang melibatkan penipuan di mana kerana rasa tamak, seorang waris sanggup melakukan apa sahaja kerana ingin memiliki harta ibu atau bapa mereka itu. Misalnya, jika seorang lelaki beristeri lebih daripada satu dan anak-anak daripada isteri pertama yang ditinggalkan begitu sahaja semasa lelaki itu berkahwin baharu.

Ada masanya hubungan lelaki tersebut dengan anak-anak daripada perkahwinan pertama terputus begitu sahaja kerana kecuaian ayah itu. Apabila dia (ayah) meninggal dunia, anak-anaknya daripada perkahwinan pertama, kadang-kadang tidak tahu mengenai kematiannya. 

Ada juga kerana isteri kedua tidak tahu kewujudan isteri pertama maka kematian suami tidak dimaklumkan.

Hari ini agak sukar perkara seperti ini berlaku kerana kita sudah ada pelbagai alat berteknologi yang membolehkan kita tidak kehilangan hubungan antara ayah dan anak. 

Apapun ada kes di mana isteri kedua mengurus pusaka suaminya dengan tidak memasukkan hak isteri pertama dan anak-anaknya.

Bukan sahaja isteri pertama menanggung kesusahan ditinggalkan semasa suami berkahwin baharu, memelihara dan membesarkan anak-anak dan dia tidak pernah memohon cerai. 

Apabila suami meninggal dunia dia terus-terus dinafikan haknya untuk melihat dan mengurus jenazah suami dan mewarisi hartanya.

Sebagai isteri yang tidak diceraikan, haknya ialah 1/8 dan jika ada isteri yang lain, 1/8 dibahagi dua. Dia juga berhak memohon harta sepencarian terlebih dahulu, sebelum harta dibahagi mengikut faraid.

Biasanya seorang isteri sepertinya berkemungkinan boleh diberikan oleh mahkamah 1/3 harta sepencarian daripada keseluruhan harta suami. Namun ada kes di mana isteri ini langsung tidak tahu kematian suami, apatah lagi menuntut hartanya.

Kesedihan sepanjang hayat ini menyebabkan ia tidak memohon hak harta kerana hartanya sudah habis dibahagikan. Dalam kes seperti ini sangat sukar siapa yang hendak dipersalahkan kecuali si mati. Jangan lah kita mati meninggalkan harta yang banyak tetapi tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kita dan keluarga.

Dalam kubur kita seorang tanpa boleh dibantu sesiapa. Anak dan isteri tidak mendoakan kita kerana mereka tidak tahu kita telah tiada. Jika semua harta kita dapat diselesaikan dengan segera, kita juga akan aman menemui Pencipta.

Harta, tiada salah mencarinya tetapi tinggalkan ia secara terbaik sebelum kita mati.