Tarikh : 15/11/2014
BAGI mereka yang berkemampuan tidak kisah untuk berbelanja lebih kerana ia menjadi kenangan seumur hidup pada hari berbahagia. - GAMBAR HIASAN
Trend perkahwinan mewah tidak kira di rumah mahupun dewan atau hotel pastinya akan meriah, lebih-lebih lagi bagi anak pertama dalam keluarga kerana pada masa inilah ibu bapa akan menjemput seramai mungkin kenalan.
Perbelanjaan untuk pelamin, ruang makan, menu, dekorasi sehinggalah baju, artis jemputan dan paling utama jumlah hantaran membuatkan nilai sebuah perkahwinan bukan lagi sekadar yang mampu tetapi lebih daripada itu.
Setiap orang dikurniakan dengan rezeki masing-masing dan sebuah perkahwinan tidak boleh diukur dengan jumlah perbelanjaan mahupun hantaran yang dikeluarkan kerana kehidupan selepas perkahwinan adalah lebih penting.
Akibat daripada trend meminjam dalam kalangan generasi muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak syarikat swasta, koperasi dan bank mula mengambil kesempatan menawarkan pinjaman peribadi kepada bakal mempelai untuk membiayai majlis perkahwinan mereka.
Di corong radio, iklan di Facebook dan sebagainya tanpa berselindung menawarkan pinjaman kepada bakal mempelai membuatkan mereka sudah tidak kisah untuk melakukan pinjaman untuk berkahwin.
Carian di Google mendapati sebanyak 408,000 keputusan berkaitan pinjaman perkahwinan dan 546,000 untuk mereka yang mencari pinjaman peribadi membuatkan urusan ini sangat mudah.
Mengikut agama Islam, pinjaman untuk perkahwinan adalah diharuskan tetapi sebaik-baiknya tidak melakukan sebarang pinjaman dengan mengadakan majlis tersebut mengikut kemampuan sendiri.
Namun ikutan adat yang memerlukan pihak lelaki menghantar wang belanja, hantaran serba satu, selain ada juga yang menetapkan hantaran serba berdiri mahupun duduk membuatkan ramai lelaki yang sudah sampai seru terduduk mendengar jumlah yang perlu disediakan.
Inikan pula perbelanjaan lain yang perlu dikeluarkan bagi majlis di tempat sendiri yang memaksa mereka membuat pinjaman bagi mengadakan majlis perkahwinan.
Ruangan Fokus kali ini membincangkan isu berhutang untuk berkahwin bagi membolehkan bakal pengantin di luar sana berfikir dengan lebih mendalam sebelum mengambil satu-satu keputusan. – AMIRUL
Utamakan wajib daripada adat
Mas kahwin, hantaran, perbelanjaan hotel, dewan pelamin dan sebagainya bukanlah satu yang dituntut oleh agama kerana bagi sebuah perkahwinan, mahar adalah yang paling penting yang perlu disediakan lelaki untuk wanita yang ingin dikahwininya.
Jika di Selangor, jumlah mahar atau lebih dikenali mas kahwin adalah RM300 sahaja tetapi nilai hantaran yang beribu ringgit mengikut adat itu yang menyukarkan pihak lelaki untuk berkahwin.
Pada asasnya adalah mengikut syarak dan kemampuan lelaki tersebut, kerana hantaran cuma adat tetapi mahar atau mas kahwin wajib diberikan kepada pengantin perempuan.
Sebuah hadis meriwayatkan mengenai perkahwinan iaitu “sebaik-baik wanita adalah wanita yang rendah maharnya”. Hadis lain juga ada menyebut, “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing”.
Islam memudahkan dalam urusan membina masjid bagi bakal pengantin, namun adat dan budaya masyarakat kita sebenarnya banyak membuatkan ramai yang takut untuk berkahwin.
Bagaimana seorang lelaki yang baru bekerja dua tiga tahun mampu mencari wang sebanyak RM 10,000 bagi membayar hantaran, apatah lagi bagi mereka yang baru menamatkan pengajian.
Perkara seperti ini seharusnya dielakkan terutamanya bagi ibu bapa pengantin perempuan demi memudahkan laluan anak mereka untuk mendirikan rumah tangga.
Jika ini dapat diatasi maka masalah gejala sosial yang semakin membimbangkan akan dapat dihindari apabila lebih ramai generasi muda kita mampu mendirikan rumah tangga pada usia muda.
Selain itu, ingin mengikut trend atau bermegah-megah dengan persandingan anak-anak juga memberikan tekanan kepada bakal pengantin. Ada ibu bapa yang menyediakan garis panduan agar majlis yang dilangsungkan perlu menepati kriteria tertentu.
Ini amat dilarang dalam agama kerana sikap sebegini boleh mengakibatkan seseorang itu riak dan takbur atas kemewahan dan majlis yang mereka buat. Tiada lagi kemanisan dalam majlis perkahwinan jika ia berlaku.
Bakal pengantin pastinya mahu perkara itu berlangsung dengan mudah dan jimat. Jika
berkemampuan apa salahnya, asalkan majlis tidak keterlaluan dan membazir kerana kehidupan selepas berkahwin perlu lebih diutamakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan