Ahad, 23 November 2014

Tetapkan KPI bagi selesai kes cerai, nafkah, mutaah - Jamil Khir

Sumber : Berita Harian - nasional
Tarikh : 22/11/2014

GURUN: Jabatan Agama Islam di negeri-negeri perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam penyelesaian kes tertangguh melibatkan penceraian, pemberian nafkah dan pembayaran mutaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ini kerana ada kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah negeri tidak dapat diselesaikan dengan cepat sehingga tertangguh lebih dua tahun.
Beliau berkata, menerusi peruntukan undang-undang dan enakmen sedia ada, hakim Mahkamah Syariah boleh mengambil tindakan keras dengan menjatuhkan hukuman penjara kepada suami yang gagal membayar nafkah kepada anak.

"Seperti di Wilayah Persekutuan, saya telah meletakkan KPI untuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk selesaikan kes tertangguh, dan dalam tempoh dua tahun, kita berjaya selesaikan semua kes yang tertangguh.
"Sekarang kita beri tumpuan kepada penyelesaian kes pemberian nafkah dan pembayaran mutaah kepada isteri," katanya kepada pemberita selepas perasmian perlumbaan 'Mountain Bike Gunung Jerai Challenge 2014' di sini, hari ini.
Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, hakim dan peguam syariah mencukupi untuk menyelesaikan kes tertangguh malah, ada beberapa Mahkamah Syariah mengambil inisiatif bersidang pada hari minggu dan waktu malam.
Menurutnya penyelesaian kes penceraian dan nafkah perlu diutamakan oleh Jabatan Agama Islam negeri berbanding meminda enakmen dan akta di bawah negeri masing-masing.
"Kuasa meminda Akta Syariah adalah bidang kuasa negeri-negeri dan kita setuju sekiranya akta dan enakmen dipinda mengikut kesesuaian masa kini. Tetapi soal penguatkuasaan adalah lebih penting," katanya.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman