Kak Za, Kuantan, Pahang.

UKE: Waalaikumsalam Kak Za. Kalau suami Kak Za sekarang telah bertaubat dan berubah, menjadi orang yang baik serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya, maka adalah baik jika Kak Za berdamai semula dengan suami. Memang saya tahu hati Kak Za kecewa dan hati Kak Za sangat sedih tapi apa salahnya Kak Za beri peluang kedua kepadanya.
Mungkin selepas ini, dia akan menjadi lebih baik kerana dia pernah melakukan kesalahan dan telah membuat pengakuan di depan Kak Za. Tutuplah aib suami di depan anak-anak dan kalau Kak Za rasa tak boleh hidup lagi dengannya, terpulanglah pada Kak Za untuk meminta cerai atau tidak. Saya hanya boleh memberi nasihat. Apa-apa keputusan di tangan Kak Za.

2) Hukum nenek jaga cucu

Ustaz, saya ingin bertanya hukum ibu kandung saya menjaga dua anak saya semasa saya keluar bekerja. Ini kerana saya ada terbaca di sebuah laman sosial hukumnya haram jika kita membiarkan ibu kandung kita menjaga anak kita.
Walau apa pun alasannya termasuk kekangan kewangan kerana ia seperti ibu kandung kita melahirkan ‘tuan’. Saya ada memberi duit kepada ibu sebagai balasan untuk menjaga anak-anak saya.
Maziah, Klang, Selangor


UKE: Puan Maziah, laman sosial mana yang mengatakan haram itu? Jika kita salah memilih laman sosial, dibimbangi salahlah pula maklumat di dalamnya. Sebaik-baiknya kita hendaklah berguru dan berkitab. Boleh ada soal jawab di dalamnya. Berkenaan memberikan wang kepada ibu kandung yang menjaga anak puan Maziah, adalah harus jika si ibu itu sukarela mengasuh anak puan dan tidaklah boleh dianggap seperti ibu kandung melahirkan ‘tuan’.

Yang paling afdal biarlah ibu bapa kandung berehat di usia tua dengan melakukan amal ibadat yang bersesuaian dengan mereka. Mereka telah bersusah-payah menjaga kita dari kecil dan sekarang mereka telah tua maka berilah mereka berehat dan peluang untuk beribadat. Tetapi, pada dasarnya, tidaklah menjadi kesalahan memberi wang kepada ibu bapa yang menjaga cucu-cucunya dan penjagaan itu pula berlaku secara sukarela daripada pihak ibu bapa itu sendiri.

3) Isteri difitnah adik ipar

Saya sangat sayang dan hormat ibu saya. Saya mengesyaki adik perempuan saya sering membaca Facebook isteri saya dan kemudian membuat fitnah atau cerita tidak betul dan disampaikan kepada ibu saya. Kemudian, ibu telefon saya dan percakapannya seolah-olah tidak menyukai isteri saya.
Saya sangat kecil hati dan perkara ini telah berlarutan selama lima tahun. Adik perempuan saya itu tinggal dengan ibu saya di utara manakala saya di Kuala Lumpur. Apa harus saya buat ustaz?
Anak Keliru, 
Shah Alam, Selangor.

UKE: Anak keliru, pertama sekali, anda mengesyaki adik perempuan anda membaca Facebook isteri anda dan membuat fitnah disampaikan kepada ibu anda. Perbuatan syak ini pun, sudah menjadi kesalahan. Adakah anda telah menyiasat sebenar-benarnya adakah perbuatan itu telah dilakukan oleh adik perempuan anda?

Jangan kita cepat menuduh tanpa sebarang bukti kerana boleh merenggangkan hubungan silaturahim. Dalam kes ini, anda tidak perlu berkecil hati dengan kata-kata ibu anda kerana beliaulah yang melahir dan membesarkan anda. Apa sekalipun perbuatan ibu, kita sebagai anak simpanlah di dalam hati dan banyakkan bersabar. Jika kita tidak bersetuju atau mungkin berasa kecil hati dengan tindakan ibu, maka adalah lebih baik kita mengambil jalan untuk terus berbaik-baik tanpa mengira siapa yang bersalah.

Sebagai anak, kita hendaklah berlapang dada dan berjiwa besar. Tidak perlu merajuk atau berkecil hati dengan ibu. Bab adik perempuan, berterima kasihlah kepada dia kerana sanggup menemani ibu yang berada di utara tanah air. Mungkin ada satu kesilapan yang dia lakukan, tetapi ada banyak lagi kebaikan yang diperbuatnya. Nasihat saya, kenanglah kebaikan dan jangan dikenang keburukan.

4) Hukum menyarung cincin selepas nikah

Saya ingin bertanya apa pandangan ustaz berkenaan pasangan pengantin lelaki dan perempuan mengadakan upacara menyarung cincin selepas akad nikah kerana amalan itu menyerupai amalan agama Kristian. Adakah ini boleh dibenarkan dalam Islam dan adakah ia dilakukan pada zaman Rasulullah?
Intan, Melaka

UKE: Puan Intan, harus menyarung cincin pasangan lelaki dan perempuan selepas upacara akad nikah.

5) Bayi mati dalam kandungan

Assalamualaikum ustaz. Saya ada dua kemusykilan:
a) Bayi lelaki saya meninggal setelah lapan bulan dalam kandungan. Saya terkilan bila anak saya itu cuma dimandi dan dikapankan tetapi tidak disembahyangkan. Menurut imam di kampung saya, anak yang meninggal dalam kandungan tidak perlu disembahyangkan. Dapatkah anak saya itu memberi syafaat kepada ibu bapanya di akhirat kelak walau akikahnya telah disempurnakan?

b) Bolehkah diakikahkan anak setelah kedewasaannya kerana ketika bayinya tidak berkesempatan berbuat demikian, sedangkan akikah itu merupakan tebusan bagi anak dari berbagai musibah di samping dapat memberi syafaat kepada ibu bapanya di akhirat kelak.
Kamsiah, Nilai, Negeri Sembilan

UKE: a) Puan Kamsiah, mengikut pandangan mazhab Syafie, bayi atau janin yang lahir sebelum berusia enam bulan (di dalam kandungan) jika terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya) hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup.

Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat, jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan) hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disolatkan. 

Jika belum kelihatan lembaga berbentuk manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (iaitu membersihkan dari darah kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam, tidak perlu mandi dan disolatkan.

Insya-Allah anak yang meninggal waktu kecil boleh memberi kebaikan kepada ibu bapanya yang sabar dan reda dengan kematiannya di hari kiamat kelak.

b) Apabila seseorang tidak dibuat akikah ketika kecilnya, maka apabila sudah dewasa tidak perlu diakikahkan lagi. Memadailah dia melakukan ibadat korban untuk dirinya sendiri.

6) Ragui petunjuk solat istikharah

Assalamualaikum ustaz. Sudah dua kali saya melakukan solat istikharah tentang pemilihan pasangan dan mendapat petunjuk yang sama. Tetapi saya masih meragui adakah benar petunjuk itu kerana bakal pasangan saya membuatkan hidup saya tidak bahagia.
Ikhmal, Paroi, Negeri Sembilan

UKE: Saudara Ikhmal, jika anda tidak yakin dengan solat istikharah anda, kerana bakal pasangan anda itu membuatkan anda tidak bahagia, maka sebenarnya, itulah jawapan kepada solat sunat istikarah. Ikhmal rasa tak selesa, rasa tak tenteram, tak membahagiakan. Itulah jawapan kepada solat istikharah anda.

7) Betulkah anak tidak sah taraf tidak boleh jadi imam?
Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai seorang anak angkat lelaki yang tidak sah taraf. Adakah benar anak tidak sah taraf tidak boleh mengimamkan solat?
Ida, Seremban, Negeri Sembilan

UKE: Puan Ida, jawapannya solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas kelayakannya. Mengikuti kriteria-kriteria sebagai seorang imam. Fasih bacaannya, sebutannya jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi masalah dan solat jemaah tersebut adalah sah. Persoalannya adalah bagaimana status anak angkat tersebut dengan Puan Ida.

Adakah disusukan sewaktu kecil atau siapa hubungannya dengan Puan Ida. Yang itu jawapan yang Puan Ida perlu selesaikan terlebih dahulu. Bab sembahyang, bab imam dan anak luar nikah adalah persoalan lain. Kenapa perlu membenci anak luar nikah sedangkan dia tidak bersalah, malah sangat mulia mendidik seorang anak luar nikah sehingga boleh menjadi seorang imam. Seperti yang saya katakan tadi, Puan Ida kena selesaikan dahulu apakah status anak angkat itu dengan Puan Ida.