Rabu, 26 November 2014

Teruskan komitmen banteras keganasan wanita

Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 25/11/2014

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu komitmen dan usaha diteruskan bagi menamatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, selain komitmen, perlu juga ada usaha untuk memastikan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan menikmati kesaksamaan dalam hal ekonomi dan sosial.

Beliau menegaskan, usaha membanteras segala bentuk keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi keutamaan Suhakam selaras dengan prinsip negara ini menerima rangka kerja hak asasi manusia untuk mencegah, menghukum dan mengutuk diskriminasi terhadap wanita.

"Keganasan terhadap wanita bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah boleh dikatakan sebagai sumber asas diskriminasi berasaskan gender.

"Keganasan ini merangkumi pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada sesuatu negara, budaya, bangsa, agama atau kumpulan," katanya dalam kenyataan sempena memperingati Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita, di sini hari ini.     

Hasmy berkata, walaupun perhatian global dan kemajuan mengenai isu-isu hak wanita semakin meningkat di negara ini, kebimbangan terhadap keganasan itu masih menjadi kebimbangan utama sosial.

Bagaimanapun, bagi mencegahnya, Malaysia telah melancarkan Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja (1995) di bawah Kementerian Sumber Manusia, katanya.

Selain itu, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 juga digubal bagi membolehkan tindakan diambil terhadap seseorang, jika jenayah termasuk dalam bidang kuasa Kanun Keseksaan. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman