Tarikh : 16/11/2014
Kuala Lumpur: Mahkamah Syariah perlu mengambil tindakan terhadap wanita yang ‘memadukan’ suaminya dalam kes yang berlaku di Arau, Perlis, kerana ia jelas melanggar syariat Islam.
Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata, tindakan wanita itu yang sanggup memalsukan dokumen perceraian dengan suaminya yang lumpuh akibat kemalangan untuk berkahwin lain adalah suatu perkara yang mengejutkan.
Katanya, wanita terbabit perlu segera tampil kerana di dalam sistem perundangan Islam sendiri terdapat pelbagai kaedah dan cara sekiranya dia ingin menuntut perceraian daripada suaminya.
“Tak perlu sampai memalsukan dokumen, dalam Islam sendiri wanita boleh menuntut fasakh sekiranya suami sudah tidak mampu menyediakan segala keperluan zahir dan batin.
“Sebab itu saya tidak pernah menggalakkan perkahwinan di negara jiran, sebab di negara kita sendiri sudah cukup dengan dokumen sekiranya terjadi apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sekiranya pasangan sudah bernikah di negara jiran, mereka perlu segera mendaftarkan perkahwinan di negara ini bagi mengelakkan masalah berlaku di masa depan.
“Urusan pendokumentasian di negara kita lebih sempurna berbanding di sana, di sana ada perkahwinan sindiket dan sebagainya dan saya berpendapat masalah ini dapat dielakkan sekiranya bernikah di negara kita sendiri,” katanya.
Laporan muka depan akhbar ini semalam memaparkan keluhan seorang lelaki lumpuh yang seolah-olah ‘diceraikan’ isteri sendiri sebelum wanita itu berkahwin dengan lelaki lain menggunakan fakta dan dokumen palsu.
Semakan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Perlis juga mengesahkan perkahwinan Jusoh dan Lia masih belum terbatal dan siasatan juga sudah dilakukan mengenai tindakan wanita itu yang sudah berkahwin lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan