Sekiranya saya ingin bertaubat, adakah saya perlu minta maaf dengan kawan saya itu dan suami saya sendiri? Tolonglah saya selesaikan masalah saya ini.
Mariati, Pasir Puteh, Kelantan

UKE: Puan Mariati, perbuatan berzina merupakan satu dosa besar di dalam Islam. Saya menasihatkan puan supaya bertaubat dengan taubat nasuha dan tidak boleh menangguh-nangguhkan bertaubat. Pada pendapat saya, di dalam memohon maaf kepada kawan Mariati adalah memadai bertaubat kepada Allah SWT kerana dibimbangi apabila Mariati memohon maaf secara terus kepada perempuan tersebut boleh mendatangkan masalah yang lebih besar.


Berbeza jika Mariati berhutang, mengumpat, memfitnah kepada perempuan tersebut maka wajarlah memohon maaf kepadanya kerana melibatkan diri perempuan tersebut. Di dalam kes ini, Mariati terlibat dengan suaminya, maka Mariati dan suaminya yang wajib bertaubat kepada Allah SWT. Memadailah memohon maaf kepada kawan Mariati secara umum apabila bertemu dengannya.

2) Solat puaskan hati suami

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum setelah bersolat jemaah Maghrib dengan isteri, dia berkata, “I solat ini hanya untuk memuaskan hati you sahaja”. Saya juga hendak tahu apa hukum suami menghantar isteri pergi makan malam dengan lelaki yang tidak saya kenal dan tidak diperkenalkan di sebuah hotel mulai pukul 7 malam hingga 9 malam. Isteri saya memakai baju jarang sehingga menampakkan tali baju dalam dan bertudung.
Saya ikut sahaja kehendaknya kerana tidak kuasa hendak bergaduh sebab isteri saya ini cepat naik angin dan sering bergaduh jika tidak ikut kehendaknya.
Simon, Kampung Baru,
Kuala Lumpur

UKE: Saudara Simon, di antara solat yang diterima oleh Allah ialah ikhlas. Apabila tiada ikhlas, kita bimbang amalan kita itu tidak diterima oleh Allah. Maka perbetulkanlah niat. Solat hanya untuk Allah. Sebagai suami, hendaklah memelihara kehormatan isterinya dan tidaklah boleh membiarkan isteri bergaul dengan lelaki yang bukan mahram. Perbuatan Simon membiarkan isteri berdua-duaan dan memakai pakaian yang kurang sopan adalah tidak cantik di dalam Islam.

Sepatutnya Simon sendiri berada di samping isteri apabila berlaku kes sedemikian dan memastikan isteri berpakaian dengan sempurna. Sebagai suami, anda wajib menjalankan tanggungjawab walaupun kadang-kadang menyakitkan hati isteri selagi mana kewajipan itu bersesuaian dari segi hukum agama. Jadilah seorang suami yang lembut tetapi tegas apabila berkaitan dengan hukum agama.

3) Berjasalah pada ibu

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin tahu siapa yang berhak mengangkat air sembahyang semasa emak sedang sakit. Adakah anak lelaki, anak perempuan atau menantu lelaki dan perempuan? Mak mentua saya sekarang sedang terlantar sakit dan tidak boleh bergerak sebab jatuh.
Rina, Kuala Lumpur

UKE: Sesiapa juga boleh mengangkat air sembahyang untuk ibu ketika beliau sakit sama ada lelaki, perempuan, menantu lelaki atau menantu perempuan. Mungkin didahulukan, anak perempuan daripada anak lelaki atau menantu perempuan daripada menantu lelaki. Pendek kata, berjasalah kepada ibu dan ketika ibu sakitlah anak-anak perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian.

4) Setahun tanpa nafkah

Saya sudah berkahwin hampir dua tahun. Masalah saya ialah sejak kandungan saya berusia tujuh bulan sehingga anak kini sudah berusia setahun, suami saya langsung tidak menyentuh saya. Suami juga tidak pernah memberikan nafkah kepada saya. Apakah hukumnya ustaz?
Amy, Muar, Johor

UKE: Puan Amy, wajib seorang suami memberi nafkah zahir dan batin terhadap isterinya dan berdosa jika suami mengabaikan perkara tersebut. Dalam hal ini, Puan Amy berhak menuntut hak dan mengadu masalah ini ke pejabat agama. Jangan takut untuk menyuarakan hak kerana Islam melindungi hak seorang wanita dan seorang isteri. Sabar, sabar juga tetapi sabar itu ada hadnya.

5) Status wali 
anak luar nikah

Assalamualaikum ustaz. Minggu lepas saya ada membaca hal anak luar nikah. Ustaz beritahu kalau perempuan itu tidak berkahwin, anak itu berbin atau berbintikan Abdullah. Soalan saya, bolehkah anak luar nikah berbin atau berbintikan nama lelaki itu sekiranya wanita itu berkahwin dengan lelaki yang menghamilkannya dan kalau anak itu hendak bernikah, bolehkah lelaki itu menjadi walinya?
Hamba Allah, Kota Damansara, Selangor.

UKE: Perkara ini hendaklah dilihat pada tarikh mereka berkahwin dan tarikh melahirkan anak. Jika perkahwinannya dan tarikh melahirkan anak kurang dari enam bulan, maka tidaklah boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki tersebut dan lelaki tersebut tidak boleh menjadi walinya jika anak itu anak perempuan. Walinya adalah wali hakim. Anak tidak sah taraf boleh diklasifikasikan di bawah tiga keadaan:
1) Anak itu ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada hasil daripada zina atau rogol.
2) Anak yang dilahirkan kurang enam bulan dua lahzah Qamariah (bulan Hijriah) dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
3) Anak yang dilahirkan lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaannya (suami isteri tersebut atau salah seorang daripada mereka dan tidak diingkari oleh pihak yang satu lagi) atau adanya empat orang saksi yang melihat berlakunya zina dan kesaksiannya pula memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

6) Anak majikan bawa balik teman lelaki

Assalamualaikum ustaz. Saya orang Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah dengan sebuah keluarga Islam. Masalah saya ialah anak perempuan majikan saya sering membawa pulang teman lelaki bermalam di biliknya. Saya sudah beberapa kali menegur tetapi tidak diendahkan.

Apa yang menyedihkan saya, majikan pun tidak kisah anak perempuannya membawa teman lelaki pulang ke rumah. Saya hendak tahu berdosakah saya dan halalkah pendapatan saya kerana membiarkan maksiat berlaku dalam rumah tempat saya mencari rezeki?
Suparti, Petaling Jaya, Selangor

UKE: Pekerjaan Suparti adalah harus dan pendapatannya adalah halal. Yang berdosa ialah anak majikan dan teman lelakinya dan ibu-bapanya yang melakukan perbuatan yang dilarang dan membenarkan perbuatan berlaku di dalam rumah mereka. Perbuatan Suparti menegur anak majikan tersebut adalah usaha yang bagus dan perkara seperti ini hendaklah berterusan dengan penuh hikmah. Saya yakin jika Suparti bijak di dalam berdakwah dengan anak majikan, lambat-laun perbuatan itu akan dihentikan. Suparti hendaklah sabar.

7) Hukum berpuasa pada 
10 Muharam
Saya hendak minta pencerahan daripada ustaz berhubung:
1) Adakah puasa sunat 10 Muharam (Asyura) yang kita ikut raikan merupakan amalam Syiah?
2) Betulkah doa awal dan akhir tahun merupakan bidaah yang mengikut amalan Syiah Ismailniah?
Halid, Pontian, Johor
UKE: 1) Sunat ke atas umat Islam berpuasa pada 10 Muharam dan disunatkan juga berpuasa tasu’a iaitu pada 9 Muharam.
2) Harus berdoa pada akhir dan awal tahun Hijrah. Hukumnya adalah harus.

8) Cucu tiri mahram
Assalamualaikum ustaz. Saya ada membaca penjelasan ustaz berhubung soal mahram. Saya ingin tahu sama ada cucu tiri iaitu anak kepada anak tiri termasuk dalam mahram atau tidak?

UKE: Cucu tiri adalah mahram yakni haram dinikahi.