Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 09/11/2014
Apakah hukumnya seorang isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami, sedangkan tujuannya ingin berselawat dan membaca yasin bersama kawan?
Alasan suami tidak membenarkan isteri keluar rumah kerana mengharapkan isteri menjaga anaknya. Tambahan pula, suami kerja jauh dari kelurganya dan hanya seminggu sekali pulang ke rumah.
KANDA
Sungai Besi
Apabila Allah SWT menetapkan suami supaya mencari dan memberi nafkah, ditetapkan kepada isteri supaya taat kepada suami.
Bahkan dalam masalah keluar rumah, Allah SWT melarang isteri meninggalkan rumah.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Hendaklah kamu tetap di rumah kamu dan jangan sekali-kali kamu keluar sebagaimana orang jahiliah yang dahulu." (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Arahan suami jelas melarang bertujuan menjaga anak, maka itulah sewajibnya ditaati, manakala selawat dan membaca surah Yasin dan ibadat lain boleh saja dibuat di rumah.
Firman Allah SWT bermaksud: "Maka perempuan yang soleh ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya.
"Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan bertujuan mengajarnya).
"Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." (Surah an-Nisa', ayat 34)
Wujud perselisihan ulama membolehkan isteri keluar tanpa izin hanya menziarahi ibu bapa kerana adanya arahan Allah SWT supaya tidak memutuskan silaturahim.
Selagi suami menunaikan nafkah dan melaksanakan tanggungjawabnya, selagi itu suami berhak ditaati.
Kesimpulanya, puan perlu berbincang dengan suami. Mana mungkin seminggu tidak keluar rumah sekurang-kurang untuk membeli keperluan hidup seperti ke pasar. Minta izin secara umum.
Kesimpulanya, puan perlu berbincang dengan suami. Mana mungkin seminggu tidak keluar rumah sekurang-kurang untuk membeli keperluan hidup seperti ke pasar. Minta izin secara umum.
Program yang baik seperti selawat dan bacaan Yasin seharusnya tidak dicemari dengan isteri derhaka kepada suami. Buktikan kepada suami bahawa anak puan turut berjaya terdidik, terpelihara dan terjaga akhlaknya, malah tindak tanduk puan sendiri meyakinkan suami. Semoga keluarga puan bertambah bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan