Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusof Hamdan Diego berkata, perkara seumpama itu bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap institusi kekeluargaan, malah akan merosakkan masa hadapan negara.

Hal demikian kerana jelasnya, kesan daripada keganasan serta kehancuran rumah tangga akan ‘turun’ kepada anak-anak.

“Keganasan terhadap wanita bukan sahaja melibatkan rumah tangga tetapi merentasi jenayah lain termasuk penganiayaan dalam isu pemerdagangan, penderaan jenayah siber atau juga keldai dadah.

“Sehubungan itu, golongan wanita perlu peka terhadap keselamatan diri dan keluarga dengan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran supaya mereka tidak mudah dianiaya oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Wanita Anti Jenayah (Waja) di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria dan Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor.

Mengulas lanjut beliau berkata, oleh itu penguatkuasaan Akta Keganasan Rumah Tangga perlu dipertingkatkan bagi melindungi kebanyakan mangsa yang menderita ‘secara senyap’.

“Jumlah wanita sekitar 14.4 juta atau 48.6 peratus daripada keseluruhan rakyat, namun kadar jenayah melibatkan keganasan rumah tangga di negara ini adalah tinggi.

“Perkembangan gejala tersebut dipercayai disebabkan golongan wanita bersifat mudah percaya serta tidak mengetahui hak ke atas diri mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, masih ramai masyarakat tidak mengetahui hak mereka di dalam rumah tangga serta perlindungan daripada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang diwujudkan bagi membela nasib mangsa keganasan rumah tangga.