Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pembangunan Wanita, Maslinda Haron berkata, bantuan yang dilaksanakan itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan.

“Mekanisme yang disediakan ialah Talian NUR, One Stop Crisis Centre (OSCC) serta kursus dan seminar sebagai satu langkah yang diambil bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.

“Jabatan Pembangunan Wanita juga menyediakan perkhidmatan unit kaunseling untuk individu dan keluarga yang memerlukannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Intervensi Kaunseling Krisis dan Trauma di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Seremban, di sini hari ini.

Yang turut ialah Rektor UiTM cawangan Negeri Sembilan, Dr. Wan Ramlee Wan A. Kadir dan Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita negeri, Rashnizahwati A. Rashad.

Tambahnya lagi, keganasan terhadap wanita berdasarkan statistik PDRM dari tahun 2000 sehingga 2012 sebanyak 42,499 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan.

“Sebanyak 7,644 (18 peratus) orang mangsa terdiri daripada lelaki manakala 34,805 (82 peratus) orang mangsa pula adalah terdiri daripada wanita.

“Bagi tempoh yang sama juga, purata kes keganasan rumah tangga yang mangsanya terdiri daripada wanita adalah sebanyak 3,103 kes setahun.

“Keganasan yang berlaku ke atas lelaki juga pada masa kini di­lihat semakin meningkat,” ujarnya.