Jumaat, 7 November 2014

Wanita rela dipukul?

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 23/10/2014

Isteri wajar melaporkan kepada polis jika suami bertindak di luar batasan kemanusiaan 

TRAGIS, sedih dan simpati melihat nasib seorang wanita berusia 51 tahun yang patah tulang belakang kerana dipijak oleh suami. Lebih tragis kejadian itu berlaku pada hari kedua Aidiladha yang lalu. 


Kenapa suami sanggup perlakukan isteri hingga ke tahap itu? Bukankan ketika si suami mengambil keputusan untuk mengahwini perempuan tersebut kerana dia kasih dan sayang?

Mengapa sebelum berkahwin lelaki itu melayan wanita dengan baik, penuh kasih sayang, meninggi suarapun tidak? Adakah perasaan lelaki berubah setelah wanita itu menjadi isterinya? Mengapa perlu dipukul? Apakah duduk berbincang tidak dapat menyelesaikan masalah?

Jika sudah tidak ada lagi kasih sayang, sudah tidak suka kepada isteri kenapa tidak diceraikan sahaja? Kenapa sanggup mendera isteri hingga mengalami kecederaan serius seperti dan kemungkinan akan cacat seumur hidup.

Isteri pula kenapa membiarkan diri dipukul suami sebegitu? Adakah isteri fikir dia tidak berhak melawan atau melarikan diri dari suami yang sedang membelasahnya? Adakah isteri takut suami akan meninggalkannya dan mencari wanita lain? Apakah dengan membiarkan diri dipukul menjamin suami tidak mencari wanita lain? Atau kerana kasihankan masa depan anak-anak? Apakah masa depan anak-anak itu bergantung pada suami dan bapa kaki pukul?

Kerap berlaku isteri dipukul suami kerana beberapa sebab. Antaranya isteri selalu melawan cakap suami atau isteri kuat cemburu, pemalas, boros, tidak pandai melayan dan sebagainya. Namun semua ini tidak menghalalkan suami untuk memukul isteri.

Islam tidak merestui sebarang bentuk keganasan malah melarang apa juga bentuk kezaliman. Kitab suci Al-Quran dan hadis-hadis serta contoh teladan Rasulullah SAW sangat menekankan kasih sayang, perbuatan dan perkataan yang baik, kemesraan dan keadilan dalam perhubungan antara anggota keluarga.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Yang paling baik dalam kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya.” Ini bermaksud sebaik-baik lelaki ialah lelaki yang paling lemah lembut terhadap isterinya.

Aishah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul pesuruh atau isteri Baginda, dan Baginda tidak pernah memukul sesiapa dengan tangan Baginda sendiri.

Islam melarang suami mengambil tindakan yang keterlaluan terhadap isteri atau menuduhnya, memaki hamun, atau apa-apa yang menyebabkan jatuhnya maruah isteri atau dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat yang boleh menyebabkan rasa hormat isteri terhadap suami akan berkurangan.

Pukulan di muka adalah dilarang sama sekali. Hari ini ramai suami yang melakukan perbuatan yang melampaui batas ini walaupun jelas dilarang keras oleh Islam.

Perbuatan ini adalah salah di bawah Seksyen 127 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 di mana sekiranya suami disabit kesalahan menganiayai isterinya maka beliau boleh dihukum denda sehingga seribu ringgit atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menyalahi mana-mana pihak tidak akan menyelesaikan masalah. Kedua-dua pihak perlu faham apa sebenarnya tanggungjawab dan tuntutan sebagai seorang lelaki Islam yang mempunyai isteri dan anak, dan tanggungjawab dan tuntutan sebagai seorang perempuan Islam.

Jika suami berterusan bersikap ganas, kejam dan zalim, isteri wajar melaporkannya kepada polis dan kemudian keluar meninggalkan suami yang zalim itu atas alasan bimbangkan keselamatan diri dan anak.

Jika suami mengugut isteri nusyuz (dehaka), isteri perlu sedar bahawa sabit nusyuz atau tidak ke atas isteri adalah bergantung kepada keadaan sebenar yang berlaku.

Dari segi syarak mungkin telah berlaku isteri nusyuz, namun dalam undang-undang keluarga Islam negeri, isteri tidak disabitkan nusyuz selagi suami tidak membuat aduan isteri nusyuz ke mahkamah syariah dan selagi mahkamah tidak mensabitkan isteri sebagai nusyuz.

Perintah isteri perlu taat kepada suami hanyalah selagi mana tidak melanggar syarak. Jika suami menyakiti sehingga mencederakan (patah kaki tangan, hidung pecah, muka lebam, tulang retak, dan sebagainya), isteri perlu segera buat laporan polis dan laporan pemeriksaan dari hospital sebagai bukti isteri ada alasan kukuh keluar dari rumah dan bukannya nusyuz. Malah, laporan polis dan laporan hospital boleh digunakan untuk memohon fasakh (pembubaran perkahwinan).

Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lelaki itu menjawab: “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukullah dia.” Sahut Rasulullah: “Aku tidak bertanyakan alasanmu.” “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”

Ada ketika, Rasulullah SAW pernah bertanya isterinya, ada apa-apakah untuk dimakan pada hari itu, tetapi isterinya menjawab tiada apa-apa untuk dimakan, lalu Rasulullah SAW beritahu isterinya yang baginda akan berpuasa saja.

Namun kita dikejutkan dengan berita suami mengamuk marah dan pukul isteri kerana lambat masak mi segera.

Rasulullah SAW pernah pulang lewat dan pintu rumah berkunci lalu Rasulullah SAW tidur di luar rumah. Rasulullah SAW tidak menghempas-hempas pintu atau mengejutkan isteri supaya buka pintu atau pukul isteri kerana tidak menyambutnya pulang.

Perlakuan dan perkataan yang baik-baik dari Rasulullah SAW ini tidak pula dicontohi oleh ramai lelaki. Hanya bab kahwin empat sahaja yang tidak lupa dicontohi (walau tak cukup syarat).

“Dan mereka itu (para wanita) mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang patut.” (Surah al-Baqarah : 228) dan“Dan bergaullah dengan mereka (para wanita) menurut cara yang patut.” (Surah an-Nisaa’:19).

Isteri dan anak bukan untuk dipukul bertubi-tubi. Suami sepatutnya mencurahkan kasih sayang dan menjadi pembela. Ternyata hanya lelaki pengecut yang menjadikan isteri sebagai tempat melepaskan amarahnya.

Sampai bila wanita akan membiarkan dia diperlakukan begini? Sampai dia jadi cacat atau sehingga menemui ajal? Isteri yang dipukul seperti hamba abdi adalah bertentangan dengan kesucian Islam. Maka tidak salah jika isteri bertindak menyelamatkan diri dan anak-anaknya.

Riwayat Imam Ibnu Saad : “Tergamakkah seseorang kamu memukul isteri sepertimana memukul seorang hamba abdi, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia (suami) merasa malu?”

Bagi wanita yang dipukul dan masih bernyawa, anda sepatutnya tinggalkan lelaki yang bertindak kejam ke atas anda. Tiada jaminan anda akan masih bernyawa jika dipukul sekali lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman