Rabu, 12 November 2014

Pertahan Islam dalam apa cara

Oleh : MOHD. SHARIZA ABDULLAH (pengarang@utusan.com.my)
Tarikh : 10/11/2014

Waspada gelombang tentangan bentuk baharu

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Semua pihak perlu memahami bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan peruntukan larangan lelaki berpakaian seperti wanita adalah bertujuan mencegah berkembangnya amalan lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) yang bercanggah dengan ajaran agama tersebut. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berikutan itu rayuan perlu dibuat dalam masa yang ditetapkan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan negara bagi menjaga kepentingan agama Islam.

Beliau berkata, hal demikian adalah kerana melibatkan kewibawaan pihak berkuasa agama Islam negeri sebagai badan yang memelihara kepentingan umat Islam.

“Ia juga bagi menunjukkan ke­tegasan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam membendung aktiviti yang cenderung kepada amalan LGBT dalam kalangan masyarakat Islam,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan kelmarin mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Hakim Datuk Mohd. Hishamuddin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan.

Menurut Jamil Khir, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memohon untuk mencelah dalam prosi­ding rayuan yang dibuat oleh pihak berkaitan kelak memandangkan tindakan itu amat penting sebagai satu usaha menentukan bidang penguatkuasaan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Selain itu katanya, tindakan tersebut adalah bagi mempertahankan ajaran Islam itu sendiri dalam sebarang cara dan keputusan tersebut akan memberikan kesan kepada peruntukan undang-undang yang sama di negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Sisters In Islam (Sis) mencabar fatwa mengenai fahaman liberalisme melalui mahkamah sivil merupakan usaha untuk cuba mengheret institusi agama Islam agar dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau mengingatkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes berkaitan fatwa ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd., pada 2010 pernah menolak permohonan pihak yang mencabar fatwa di mahkamah sivil atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa mendengar kes-kes berkaitan fatwa dan syariah.

Katanya, pihaknya menyedari terdapat agenda di luar yang bersungguh-sungguh untuk memesongkan akidah umat Islam menerusi pelbagai cara.

“Oleh itu adalah penting umat Islam untuk berwaspada dengan fahaman ini demi mempertahankan akidah masing-masing. Institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri perlu berganding bahu bagi menghadapi gelombang tentangan bentuk baharu terhadap Islam,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman