Selasa, 4 November 2014

Kerajaan cari mekanisme terbaik selesai masalah kes perceraian sivil - Jamil Khir

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 03/11/2014

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah kes perceraian sivil dan hak penjagaan anak apabila suami atau isteri memeluk agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata usaha pencarian mekanisme itu mengambil kira kedudukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Katanya, ini memandangkan ketiga-tiga undang-undang berkaitan iaitu Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]; Akta Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]; dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri serta menyentuh kepentingan masyarakat beragama Islam dan bukan Islam.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata kerajaan menyedari permasalahan agama anak yang berbangkit daripada pemelukan agama Islam oleh seorang ibu atau bapa.
Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian yang hendak dibuat perlu merujuk kepada peruntukan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana agama bagi kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.
"Dalam kes Subashini a/p Rajasingam lawan Saravanan a/l Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, persetujuan satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) ini adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang bermaksud ibu atau bapa atau penjaga," katanya.
Jamil Khir turut menyentuh tentang pindaan undang-undang berkaitan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]; Akta Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]; dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persektuan) 1984 [Akta 303].
"Pada masa ini, rundingan semula sedang dijalankan dengan negeri-negeri dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kes-kes hak penjagaan anak membabitkan ibu atau bapanya memeluk agama Islam," katanya.
Beliau berkata, dalam kes hak penjagaan anak, pertimbangan utama yang perlu diambil perhatian adalah kebajikan kanak-kanak berkenaan walaupun pihak ibu atau bapa yang terlibat juga mempunyai kepentingan dalam penjagaan kanak-kanak.
"Kepentingan kanak-kanak lebih mengatasi kepentingan pihak lain sama ada ibu atau bapa atau penjaga. Justeru, kerajaan sedang meneliti semua sudut secara holistik demi menjaga kepentingan masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman