Isnin, 17 November 2014

Jabatan hantar tiga surat

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 15/11/2014

Kangar: Jabatan Kehakiman Syariah Perlis mengesahkan perkahwinan Jusoh dengan Lia masih belum terbatal dan siasatan juga sudah dilakukan mengenai tindakan wanita itu ‘memadukan’ suaminya.

Ketua Pendaftar jabatan itu, Mohamad Zaidi Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati semua perkahwinan wanita berkenaan dengan keempat-empat suaminya dilakukan di selatan Thailand.

Menurutnya, siasatan juga mendapati walaupun masih berstatus isteri yang sah kepada Jusoh, Lia berkahwin dengan lelaki lain di Thailand selepas dia mengemukakan sijil kematian suami pertamanya.

“Apa-apa saja boleh dilakukan di selatan Thailand dan apa yang penting mereka hanya perlu memiliki wang secukupnya. Semua dokumen berkaitan kahwin dan cerai boleh dibuat.

“Wanita bersuami juga boleh membeli surat pengakuan cerai palsu dan berkahwin dengan lelaki lain di sana,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Mohamad Zaidi juga mengesahkan proses perceraian Lia dengan suami keduanya adalah sah dan perkahwinan wanita itu dengan Jusoh di selatan Thailand juga sudah disahkan pihaknya.


Menurutnya, berikutan tindakan Lia yang bersuami lebih daripada seorang dalam satu masa, pihaknya sudah menghantar tiga surat meminta wanita itu tampil untuk diambil keterangan, namun tiada sebarang maklum balas.

“Selain itu kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah juga sudah pergi ke rumahnya berdasarkan alamat terakhir di Kedah, namun rumah itu kosong dan tidak berpenghuni. Jiran juga memaklumkan tidak tahu ke mana dia pergi,” katanya.

Sementara itu, Pakar dan Perunding Motivasi Mohd Fauzan Hushim berkata, wanita yang tergamak berkahwin lain tanpa bercerai, tidak ubah seperti pelacur kerana perkahwinan barunya palsu dan tidak sah mengikut hukum syarak.

Bagaimanapun, katanya, dalam meneliti kes membabitkan Lia, masalah mungkin bukan berpunca daripada pihak perempuan semata-mata namun ia mungkin juga ada kaitan dengan pihak lelaki.

“Semua ini boleh berlaku apabila suami ada masalah dan si isteri pula menagih cinta daripada pihak ketiga. Apabila suami enggan melafazkan talak, si isteri terus hilang pertimbangan dan nekad berkahwin dengan lelaki itu walaupun masih bergelar isteri orang,” katanya.

Mohd Fauzan berkata, apabila perkara ini berlaku, institusi kekeluargaan akan musnah sebelum sistem di dalam masyarakat akan musnah.

“Kita tidak mahu, anak-anak yang tidak dinasabkan sebagai anak kepada bapa kandungnya berkeliaran serta menjadi sebahagian daripada keluarga kita.

“Siapa yang akan menjadi wali perkahwinan anak luar nikah ini? Malah soal pembahagian harta akan menimbulkan masalah sehingga menyebabkan konflik dalam keluarga,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman