susanalbs@thestar.com.my
Sumber : mStar Online
Tarikh : 18/11/2014
PETALING JAYA: Pernikahan berstatus poligami yang dijalankan di luar negara adalah sah daripada segi hukum agama Islam dengan syarat, setiap rukun dan nikah dipenuhi semua pihak terlibat.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadot berkata, jika pernikahan itu dilakukan dengan adanya wali perempuan (bapa) atau wakil iaitu adik-beradik (perempuan), saksi dan cukup syarat, maka pernikahan tersebut adalah sah.
Katanya, pernikahan tersebut juga sah jika ia dikendalikan oleh jurunikah yang mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama di sesebuah negara itu.
"Tetapi sekiranya pernikahan itu dilakukan oleh pihak berkuasa agama yang tidak bertauliah atau tidak cukup syarat ditetapkan, maka status pernikahan tersebut tidak sah," katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan suami kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu yang terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November selepas bernikah di negara jiran di utara tanahair.
Bagaimanapun, Noh berkata, individu yang ingin berpoligami sepatutnya menghantar permohonan tersebut ke mahkamah dan proses pernikahan pula mesti dilakukan di dalam negara.
"Semua individu yang memohon untuk berpoligami perlu bernikah di dalam negara. Kita ada peraturannya... mohonlah kepada mahkamah walaupun status isteri masih belum diketahui," katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Amli Embong menyatakan pandangan berbeza mengenai kes poligami di mana akad nikahnya diadakan di luar negara.
Katanya, mana-mana pernikahan di luar negara dianggap tidak sah di sisi undang-undang di negara ini kerana pegesahan di mahkamah syariah di Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu.
"Sepatutnya dia tunggu pengesahan mahkamah untuk menentukan status pernikahan tersebut. Kalau ikut hukum asal, memang mereka tidak dibenarkan tinggal bersama kerana belum ada pengesahan lagi," katanya.
Beliau berkata, mengikut undang-undang, individu tersebut tiada halangan untuk berkahwin di negara ini kerana dia hanya perlu mendapat kebenaran untuk berpoligami daripada pihak berkuasa agama.
"Sebenarnya dia boleh berkahwin di Malaysia tetapi mengapa dia tidak berbuat demikian? Apa yang perlu dilakukan adalah mengikut prosedur, kemuka permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah.
"Selalunya yang akan ambil jalan pintas berkahwin di Thailand ini mungkin nak elak daripada diketahui isteri pertama tapi dalam kes suami mangsa MH370 ini, dia ada alasan untuk mohon berpoligami kerana status isterinya masih tidak diketahui," katanya.
Jelas Amli, mereka yang ingin berpoligami sebenarnya tidak perlu mendapat kebenaran daripada isteri pertama atau isteri-isteri sedia ada tetapi keputusan tersebut hanya ditentukan pihak berkuasa agama negeri.
"Kalau isteri pertama setuju, mahkamah tak setuju tak boleh juga. Mahkamah kena siasat suami sama ada dia layak atau tidak untuk berpoligami. Oleh itu, siasatan pihak berkuasa agama amat penting," katanya.
Amli berkata, individu terbabit mungkin berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah kerana poligami tanpa kebenaran mahkamah.
"Sepatutnya dia kena dapatkan khidmat nasihat peguam yang arif untuk menjelaskan mengenai perkara itu sebelum bertindak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan