Ahad, 30 November 2014

Isteri berhak tuntut nafkah semasa idah

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 28/11/2014


SEORANG isteri yang diceraikan akan melalui proses menunggu atau idah untuk memastikannya tidak mengandung demi menjaga taraf keba­paan anak itu.
Tempoh idah itu membolehkan pihak yang bercerai mengambil masa untuk memperbaiki konflik rumah tangga dan berbaik semula (rujuk) tanpa akad yang baharu jika perdamaian adalah lebih baik kepada pasangan tersebut.
Dalam tempoh idah, seorang isteri yang diceraikan masih lagi berhak mendapatkan sejumlah nafkah idah untuk memastikan kelangsungan hidup selepas bercerai. Ini merupakan peruntukan kewangan yang diberikan kepada isteri berdasarkan kepada andaian bahawa perkahwinan masih ada walaupun setelah bercerai.
Nilai nafkah mengambil kira ke­upayaan suami untuk bayar, status sosial isteri dan keperluannya. Walaupun terdapat pandangan mazhab yang berbeza daripada sudut tanggungjawab membayar nafkah idah, pendekatan yang biasa dipakai di Malaysia ialah mengambil pandangan mazhab Shafie iaitu ianya terpakai dalam idah talak yang boleh dirujuk kecuali isterinya hamil.

Namun, nafkah tempat tinggal terpakai dalam semua bentuk perceraian. Tanggungjawab nafkah selepas tempoh idah ialah kembali kepada wali perem­puan iaitu bapa atau saudara lelakinya.
Undang-undang Malaysia tidak menyatakan dengan jelas tentang perbezaan mazhab dalam tuntutan nafkah idah. Sebaliknya ia hanya menetapkan bahawa suami perlu memberi nafkah kepada isterinya atau isteri yang telah diceraikan.
Menurut pandangan ulama Shafie, isteri yang diceraikan dengan talak yang tidak boleh dirujuk iaitu perceraian me­lalui perintah hakim dan tiga talak tidak berhak untuk mendapat nafkah semasa idah kerana tiada harapan untuk kedua-dua pihak rujuk dalam tempoh idah.
Sebaliknya, mazhab Hanafi membenarkan isteri membuat tuntutan nafkah dalam apa jua bentuk talak kerana dilihat sebagai sokongan kewangan bagi wanita selepas perceraian. Kedua-dua pendapat mempunyai asas-asas yang kukuh daripada segi teori.
Namun, pandangan mazhab Hanafi boleh membantu meringankan beban isteri yang telah diceraikan jika suami merupakan satu-satunya pencari nafkah semasa perkahwinan.
Satu masalah yang biasanya ditimbulkan oleh pihak suami selepas perceraian ialah tuduhan nusyuz isteri dengan berniat untuk mengelakkan daripada bayaran nafkah idah atau nafkah tertunggak jika ada tuntutan dan boleh memanjangkan prosiding mahkamah.
Nafkah tidak perlu diberi sekiranya isteri disahkan nusyuz (ingkar atau derhaka) oleh Mahkamah Syariah selama mana dia kekal nusyuz. Isteri dikatakan nusyuz sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab rumah tangga sebagai seorang isteri.
Contohnya apabila dia menolak melakukan hubungan kelamin dengan suaminya atau meninggalkan kediaman suaminya tanpa izin suami; atau dia menolak untuk berpindah dan tinggal bersama suaminya di rumah atau tempat lain tanpa sebarang sebab munasabah menurut Hukum Syarak.
Semua tuduhan memerlukan bukti yang mesti diperhalusi oleh pihak mahkamah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman